KUALA LUMPUR - Bank Islam akan melengkapkan peningkatan sistem pengurusan risiko yang mampu menyumbang dalam pengurusan risiko secara lebih efektif dan efisien terhadap kredit, pasaran dan operasinya menjelang bulan April 2010.
Menurut Ketua Pegawai Pengurusan Risiko Bank Islam, Jeroen Thijs, perlaksanaan Sistem Pengurusan Risiko SAS yang terbahagi kepada dua fasa pendekatan itu akan mempertingkatkan keupayaan membuat keputusan strategik dan pengurangan risiko melalui pengesanan yang tepat pada masa dan pengawasan risiko yang proaktif.
"Pertama adalah untuk memastikan penghantaran automatik laporan Modal Kecukupan ke Bank Negara (CAFIB) yang turut melibatkan kewujudan elemen penting pusat data risiko keseluruhan bank yang membentuk asas pelaksanaan tambahan fungsi risiko lain pada masa hadapan.
"Ia dijangka siap pada bulan Januari 2010, manakala fasa kedua akan melibatkan pembangunan Laporan Penganalisis Risiko Kredit dalaman yang diramalkan lengkap menjelang bulan April tahun yang sama," kata beliau pada majlis menandatangani persetujuan usaha sama dengan pakar bidang maklumat dan perkhidmatan serta perisian analitik perniagaan, SAS Institute Sdn. Bhd. (SAS Malaysia).
Thijs mewakili Bank Islam manakala SAS Malaysia diwakili oleh Pengarah Urusannya, Jimmy Cheah. Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Penolong Pengurus Besar Divisyen Pengurusan Risiko Bank Islam, Khairul Muzamel Perera dan Pengarah Perkhidmatan Kewangan SAS Malaysia, P. Ganesarajah.
SAS Malaysia akan menyediakan penyelesaian risiko pintar yang akan membantu menguruskan risiko dalam pelbagai proses di setiap aras bank tersebut.
Enggan mengulas lanjut mengenai pelaburan yang terlibat, Thijs berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian peruntukan keseluruhan peningkatan sistem teknologi maklumat Bank Islam untuk jangka masa lima tahun.
"Sistem ini hanya sebahagian kecil daripada peruntukan tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: