Friday, August 28, 2009

Kesibukan laluan bawa padah


PASUKAN bomba dan penyelamat turut terlibat dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran.


SELAT Melaka merupakan sebuah laluan warisan dan penting sejak ratusan tahun lalu. Kepentingan selat itu diwarisi sehingga hari ini sehinggakan memberi impak besar kepada pembangunan tiga negara yang mengelilinginya iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura. Hari ini, ia bukan sahaja kaya dengan hidupan marin tetapi juga muncul sebagai laluan perkapalan yang tertua dan tersibuk di dunia.

Ia bertindak sebagai laluan penting bagi pergerakan dan pemunggahan kapal kargo di antara rantau Indo-Eropah dan benua Asia serta Australia. Lazimnya, Selat Melaka dikategorikan sebagai laluan laut yang terdekat dan terpantas bagi menghubungkan dunia Timur dan Barat.

Setiap tahun, kira-kira RM3.8 trilion barangan dan perkhidmatan melalui selat ini. Menjelang tahun 2015, jumlah kapal yang menggunakan Selat Melaka dijangka meningkat sehingga 120,000 buah sedangkan pada tahun 1999, jumlahnya hanya 43,965. Tahun lalu, angka itu meningkat hampir 40 peratus sekali gus mencecah 70,718 buah kapal yang melalui selat tersebut.

Kebaikan dan kelebihannya dinikmati hampir semua negara. Negara Jepun, misalnya berjaya berjimat sebanyak RM1.3 bilion setahun dalam industri petroleum. Malah, Selat Melaka menjadi nadi pembangunan negara jiran, Singapura yang mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai pusat pelabuhan entrepot terpenting di dunia.

Namun begitu, kesibukan lalu lintas di Selat Melaka mendedahkannya kepada banyak risiko kemalangan termasuk serangan lanun. Sejak tahun 2002, Biro Maritim Antarabangsa (IMB) merekodkan sebanyak 258 kes serangan lanun di selat ini.


SALAH seorang anak kapal yang cedera menerima rawatan kecemasan.


Kira-kira dua tahun lalu, Ketua Pusat Laporan Lanun IMB, Noel Choong berkata, dalam sesetengah kes, pemilik kapal mengarahkan kapten kapal tidak mengadu tentang kes rompakan atau serangan yang menimpa kapal mereka.

"Bagi mengelakkan publisiti negatif terhadap syarikatnya atau menghalang siasatan yang berpanjangan, kejadian itu terus dirahsiakan," jelasnya.

Selain serangan lanun, kemalangan jiwa yang melibatkan pelanggaran kapal turut disaksikan dalam sejarah pembukaan Selat Melaka. Baru-baru ini, media melaporkan pelanggaran dua buah kapal besar. Salah satu daripada kapal itu terbakar lebih daripada 40 jam sebelum api dapat dipadamkan.

Kapal tangki MT Formosa Product Brick dari Liberia yang sedang dalam perjalanan ke Korea Selatan berlanggar dengan kapal kargo Ostende Max sekitar pukul 8.52 malam pada 18 Ogos lalu. Ia berlaku kira-kira 10 batu nautika dari barat daya pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian ngeri itu, kapal tangki MT Formosa Product Brick yang membawa 25 orang anak kapal terbakar secara tiba-tiba. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila kapal itu membawa muatan berbahaya.

Kapal tersebut yang dimiliki sebuah syarikat Taiwan, Formosa Plastics Marine Corp., membawa muatan seberat 53,000 metrik tan minyak mentah ringan, Naphtha yang mudah terbakar. Bahan itu biasanya digunakan dalam proses pembuatan petrokimia.


SEBAHAGIAN daripada anak-anak kapal yang terselamat.


Meskipun badan kapal diperbuat daripada dua lapisan kuat, ia gagal dan tidak mampu bertahan daripada menumpahkan minyak mentah itu ke laut. Ini ditambah pula dengan percikan api yang marak dan bahang api yang tidak terkawal.

Adalah dipercayai bahawa pengeluar petrokimia, Honam Petrochemical Corp dan LG Chem Ltd. di Korea Selatan, menantikan penerimaan bekalannya masing-masing sebanyak 25,000 metrik tan. Selebihnya adalah untuk sebuah syarikat lain.

Dalam kejadian ngeri itu, hanya 16 daripada 25 anak kapal termasuk kapten kapal berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal kontena yang lalu di situ.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), peluang menjumpai mangsa yang hilang amat tipis memandangkan tiada sebarang petunjuk krew kapal terjun ke laut. Jika mereka terperangkap di dalam kabin atau bilik enjin, lebih sukar untuk mereka meloloskan diri.

"Api yang marak dengan cepat disusuli bahang dan kekurangan bekalan oksigen, boleh membunuh," kata Pengarah Mencari dan Menyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim, Tan Kok Kwee pada keesokan hari selepas kejadian itu berlaku. Beliau mengetuai dan memantau Operasi Carilamat di perairan tersebut.

Walaupun kapal tangki MT Formosa Product Brick mengalami kerosakan teruk, kapal kargo Ostende Max berjaya ditunda ke pelabuhan Port Dickson untuk siasatan. Kebakaran di kapal MT Formosa Product Brick yang berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.32 pagi pada 20 Ogos lalu, bagaimanapun tidak dibenarkan mendekati pelabuhan kerana bimbang membahayakan kapal lain.

Berikutan keadaan struktur kapal yang masih panas, tempoh masa 24 jam diberi supaya sepasukan jurunilai dapat memastikan keselamatan dan kekuatan kapal. Dan sebaik pihak APMM, pasukan bomba, polis dan jabatan laut diberi isyarat hijau untuk masuk, selonggok tulang dan tengkorak dijumpai dan dipercayai milik dua orang anak kapal.

Tulang dan tengkorak yang masih belum diketahui jantina dan identiti itu dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat. "Haba yang terhasil mungkin menjadi punca mayat mangsa hanya tinggal tulang," jelas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Port Dickson, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh.


DUTA China ke Malaysia, Liu Jian melawat kapten kapal tangki MT Formosa Product Brick di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan.


Setakat ini, nasib tujuh lagi anak kapal masih belum diketahui.

Dalam pada itu, perkara yang paling digeruni adalah sejauh manakah tumpahan minyak memberi kesan pada hidupan marin dan mengurangkan kualiti air? Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas memberi jaminan bahawa kejadian tempoh hari tidak serius sehingga mencemarkan air laut.

"Menurut pakar, simbahan minyak Naphtha seluas lima kilometer di Selat Melaka telah mengewap dalam tempoh dua jam selepas terkena sinaran matahari," katanya yang telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan mengawasi situasi itu sejak minggu lalu, dibantu APMM dan kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Dr. Ahmad Fariz Mohamed, menegaskan bahawa selagi tumpahan itu tidak terdiri daripada minyak mentah gred rendah dan belum diproses, ia akan cepat mengewap.

"Minyak yang telah diproses agak sukar untuk mengewap dan sama juga minyak tar yang cepat mengeras," katanya yang menambah adalah wajar memberi tumpuan dan kepentingan terhadap kadar tumpahan Naphtha agar tidak membahayakan habitat hidupan laut.

Beliau juga yakin bahawa kepesatan trafik laluan kapal sejak beratus-ratus tahun dahulu, menyebabkan Selat Melaka mengalami tahap pengurangan kualiti air dan pencemaran. Faktor-faktor lain juga tidak boleh diketepikan termasuk pembangunan dan industri penangkapan ikan di kawasan sekitar.

Bagi setiap kapal yang melalui Selat Melaka, komuniti setempat dan antarabangsa perlu menyedari bahawa wujud risiko kejadian malang seperti pelanggaran dan pertumpahan minyak dari kapal kargo.

Dengan trafik laluan kapal yang tinggi, kejadian itu boleh diminimumkan jika diteliti dan diamati oleh badan-badan yang berkaitan. Dari tahun 1978 hingga 1994, sebanyak 476 kemalangan dilaporkan berlaku di Selat Melaka. Ia bersamaan purata 30 kes dalam setahun.

Dr. Fariz juga meminta agar jawatankuasa antarabangsa turut terlibat dalam perbincangan menangani masalah pencemaran di Selat Melaka sekiranya tumpahan minyak dari kapal kapal tangki MT Formosa Product Brick itu memasuki perairan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: