SISIPAN Mega dalam akhbar Utusan Malaysia menganjurkan Peraduan Gerbang Cinta MEGA Utusan bermula pada 20 Ogos hingga 20 Oktober ini . Sepanjang dua bulan itu, para pembaca berpeluang merebut hadiah lumayan yang ditawarkan. Antara penaja peraduan adalah Orked Art and Decoration, Mastar Catering, Syok Kahwin.com, MAEPS, Picture Elements, Kampung Pengantin, jurusolek Afidah Khamis, T & T Boutique, Rumah Acara dan QM Worldwide Holidays yang menawarkan hadiah bernilai RM300,000 untuk 10 pasangan bertuah yang terpilih.
Menurut Eksekutif Kanan, Pengurusan Jenama, Jabatan Komunikasi Korporat Utusan Melayu (M) Berhad, Hazura Ahmad Halil, peraduan pertama kali dianjurkan itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat Malaysia khasnya pembaca setia Utusan Malaysia yang akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat ini memenangi pakej perkahwinan lumayan yang ditawarkan.
Di samping itu, katanya, peraduan ini juga memberi peluang kepada Utusan Malaysia untuk berinteraksi secara terus dan lebih dekat dengan para pembaca.
"Caranya mudah iaitu anda perlu menghantar tiga keping gambar yang paling menarik bersama pasangan berukuran 5R semasa majlis pertunangan anda. Nyatakan tarikh dan lokasi majlis diadakan di belakang gambar tersebut. Kumpulkan sekurang-kurangnya 50 kepala akhbar Utusan Malaysia. Lengkapkan slogan tidak lebih daripada 15 patah perkataan dan hantarkan ke alamat yang diberitahu beserta dengan borang penyertaan asal yang lengkap," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di Kuala Lumpur.
Hanya 25 pasangan akan terpilih di peringkat saringan dan pasangan ini akan ditemuramah oleh pihak penganjur untuk memilih 10 pasangan yang layak ke peringkat akhir.
Berita eksklusif 10 pasangan ini akan disiarkan di dalam laman web Syok Kahwin.com yang mana undian pasangan paling digemari boleh dibuat oleh orang ramai. Undian akan meliputi 30 peratus daripada jumlah markah. Baki markah sebanyak 70 peratus akan ditentukan oleh juri profesional yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Antara syarat-syarat yang ditetapkan termasuklah pasangan mestilah akan berkahwin buat pertama kali dan harus mematuhi semua syarat tentang jadual majlis perkahwinan yang ditetapkan penganjur.
Hadiah-hadiah yang ditawarkan adalah seperti berikut:
* Pertama: Tajaan pakej perkahwinan bernilai RM150,000
Lokasi majlis adalah Kampung Pengantin, Setapak, Kuala Lumpur
* Kedua: Tajaan pakej perkahwinan bernilai RM55,000
Lokasi majlis adalah Dewan MAEPS, Serdang, Selangor
* Ketiga: Tajaan pakej perkahwinan bernilai RM30,000
Lokasi di kampung halaman pemenang yang terpilih.
Sementara itu, sebanyak tujuh pemenang hadiah saguhati akan menerima hadiah bernilai RM4,000 setiap satu.
Peraduan ini telah dilancarkan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman baru-baru ini di Dewan Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, Selangor. Borang penyertaan peraduan mula disiarkan di dalam sisipan MEGA sejak 20 Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: