KUALA LUMPUR - Setiap kali solat Jumaat, Masjid Jamek di sini selalunya dipenuhi dengan ribuan jemaah hingga melimpah ruah ke luar pagar masjid berkenaan.
Itu mungkin pemandangan biasa pada setiap kali Jumaat di ibu kota namun sejak Ramadan bermula, suasananya agak berbeza yang memperlihatkan sudah sewajarnya masjid yang sedia ada diubahsuai bagi menampung keperluan itu.
Umat Islam di ibu kota tidak ada pilihan lain asalkan dapat menunaikan solat Jumaat yang diwajibkan oleh Islam. Tambahan pula, mereka mengharapkan keberkatan dan janji pahala yang berlipat kali ganda sepanjang bulan Ramadan.
Semalam, ribuan jemaah yang rata-ratanya bekerja di kawasan sekitar bersesak-sesak di Masjid Jamek, masjid tertua di ibu negara, yang hanya dapat menampung seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa.
Kali ini, bukan sahaja kawasan di luar pagar masjid berkenaan dipenuhi jemaah malah ia juga merebak sehingga ke kawasan kaunter stesen transit aliran ringan (LRT) berdekatan.
Ini sekali gus mewujudkan keadaan yang agak sesak apabila para jemaah terpaksa pula bertembung dengan pengguna LRT yang berpusu-pusu untuk ke destinasi tertentu pada waktu tengah hari Jumaat.
Timbul persoalan, mungkinkah masjid di sekitar ibu negara termasuk Masjid Negara, Masjid India, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid As-Syakirin KLCC tidak lagi dapat menampung pertambahan penduduk di sekitarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: