Wednesday, August 26, 2009

Jawablah! Buat apa nak kecewa!


OGY rela hidup bersendirian demi Nuraminah Aishah.

Ada sebab Ogy tarik diri dari konsert Jamal, dilayan macam diva

SEJAK tersiarnya gosip yang mengatakan berlagak diva ketika terbabit dalam pementasan teater Intan Yang Tercanai karya Datuk Noordin Hassan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP pada awal Julai lalu serta isu menolak tawaran Jamal Abdillah untuk menjayakan konsert penyanyi itu di Istana Budaya, baru-baru ini, pelakon, penyanyi, pengarah dan penerbit terkenal ini memang sukar untuk dihubungi.

Bukan saja tidak mahu menjawab panggilan telefon, tetapi kiriman SMS juga tidak dibalas. Ke mana menghilangnya Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy?

Kebiasaannya walau apa pun kontroversi yang melandanya, pelakon yang terkenal dengan watak Azura ini tidak pernah melarikan diri.

Justeru, apabila terlihat nama Ogy tersenarai sebagai seorang daripada pelakon yang turut menjayakan drama muzikal Kecoh Petang Raya...Lagi terbitan TV3, peluang untuk bertemu pelakon itu sewaktu sesi rakaman dijalankan tidak dilepaskan. Tidak seperti yang diduga, menurut Ogy dia tidak pernah melarikan diri dari media hanya kerana isu itu.

Sebaliknya, jelas Ogy, segala dakwaan yang dilemparkan ke atasnya itu tidak benar dan semuanya itu berlaku hanyalah disebabkan salah faham semata-mata. Ternyata pengalaman sebagai anak seni membuktikan Ogy tidak cepat melatah dengan pelbagai dakwaan tidak betul.

Hip: Sukarnya mendapatkan Ogy sejak kebelakangan ini. Memang sengaja mahu melarikan diri dari media?

Ogy:
Untuk apa saya melarikan diri? Tak adalah, selepas menjayakan Intan Yang Tercanai saya memang sibuk di lokasi penggambaran telefilem terbitan produksi saya Tersungkur Di Pintu Syurga dan drama Benci Tapi Rindu. Saya tahu ramai yang cuba cari saya bagi mendapatkan komen kononnya saya berlagak diva sewaktu berlakon dalam teater itu. Saya memang ada baca gosip yang ditulis Kak Pora (B*Pop sisipan Berita Minggu) itu. Sebaik saja membaca artikel itu, saya ketawa sendirian kerana perkara itu tidak benar. Kasihan saya, tak pasal-pasal dituduh berlagak diva.

Hip: Kalau begitu apa yang berlaku sebenarnya?

Ogy:
Dalam artikel itu kononnya saya yang minta disediakan bilik VIP untuk tujuan bersolek, walhal situasi sebenarnya bukanlah seperti itu. Sebenarnya pihak DBP sendiri yang memutuskan untuk menempatkan saya di bilik VIP. Pelakon lain yang turut menjayakan teater itu seperti Juhara Ayub dan Norzizi Zulkifli juga diminta ke bilik VIP tetapi mereka menolak. Keadaan bilik asal yang agak kecil dan terpaksa berkongsi dengan penari dan pemuzik menyebabkan pihak DBP menempatkan saya di bilik itu. Mungkin mereka yang tak tahu situasi sebenar menganggap saya yang meminta untuk dilayan seperti diva.

Hip: Ogy kecewa dengan tuduhan seperti itu?

Ogy:
Tidaklah. Buat apa nak kecewa. Sebagai pelakon berpengalaman, saya anggap tuduhan itu adalah rencah kehidupan anak seni. Sebab itulah saya lebih suka mendiamkan diri dan tak mahu cepat melatah hanya kerana cerita karut seperti itu.

Hip: Bagaimana pula dengan isu menolak tawaran untuk menjayakan konsert Jamal. Apakah Ogy ada masalah dengan penyanyi itu?

Ogy:
Saya menolak tawaran itu bukanlah kerana ada masalah dengan Jamal, tetapi saya sendiri sibuk dengan komitmen lain. Kebetulan, tarikh dia membuat konsert itu saya terbabit dengan kerja produksi telefilem baru terbitan syarikat saya berjudul Tersungkur di Pintu Syurga. Oleh kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak, jadi saya terpaksa menolak untuk terbabit dalam konsert itu. Kalau ada peluang dan kesempatan, saya masih berminat untuk bergabung dengan Jamal untuk konsertnya pada masa akan datang.

Hip: Sampai bila Ogy mahu bersendiri? Tak teringin untuk mencari pasangan hidup?

Ogy:
Buat masa ini, terus terang saya katakan, saya tidak terlalu terdesak untuk mencari pasangan hidup. Sejak kehadiran Nuraminah Aishah dalam hidup saya, semuanya berubah. Saya tidak lagi kesunyian dan apa saja yang ingin saya lakukan, kepentingan Aminah adalah menjadi keutamaan saya. Bukan mudah untuk mencari suami yang boleh menerima saya dan anak saya seadanya. Lagi pun, situasi sekarang agak rumit untuk saya mendirikan rumah tangga terutama apabila memikirkan hubungan antara Aminah dengan bakal suami nanti. Apa pun, saya tak mahu bersikap terlalu ego dalam hal ini. Soal jodoh, biarlah Tuhan yang menentukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: