DARI kiri; Mohd Shariff, Sharifah Aini, Mohd Hasbi, Mohd Noor dan Dr Isa selepas sidang akhbar Konsert Malam Lagenda Seri Dewi di Singapura di Spices Concorde Hotel, baru-baru ini. |
Kemuka cadangan lagu yang bakal didendang Datuk Sharifah Aini di Singapura melalui laman web
SEDEKAD tidak menghiburkan peminatnya di Singapura menyebabkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini amat menantikan Konsert Malam Lagenda Seri Dewi yang bakal dijayakannya di Stadium Tertutup Singapura (SIS) pada 8 November depan.
Untuk tidak menghampakan peminat yang sekian lama menanti setelah kali terakhir muncul di Victorian Concert Hall, hampir 10 tahun lalu, penyanyi itu berjanji memberikan sebuah persembahan terbaik dengan melakukan persiapan rapi bermula sekarang.
Memiliki 1,000 lebih koleksi lagu sepanjang 40 tahun usia kariernya, Sharifah Aini atau Kak Pah harus membuat pilihan tepat lagu yang bakal didendangkan di stadium yang mampu memuatkan 8,000 penonton dan pernah menjadi pentas konsert penyanyi popular bertaraf antarabangsa seperti ColdPlay, Elton John, Janet Jackson, Black Eyed Peas, Avril Lavigne, Anita Mui, Aaron Kwok dan ramai lagi sebelum latihan intensif bermula Oktober nanti.
Kata penyanyi itu, lagu Bunga Tanjung wajib dinyanyikan setiap kali dia membuat persembahan. Sementara lagu lain pula diserahkan kepada peminat untuk membuat pilihan supaya mereka mencapai kepuasan apabila menonton konsertnya nanti.
"Mustahil untuk Kak Pah menyanyikan semua lagu Kak Pah kerana terlampau banyak. Bagaimanapun Kak Pah akan cuba memuaskan hati peminat yang datang menyaksikan konsert Malam Lagenda Seri Dewi yang dianjurkan Jamiyah Singapura.
"Sekarang ini Kak Pah sedang dalam proses pemilihan lagu. Proses ini bukan mudah dan ia sesuatu yang memeningkan kerana sukar untuk memuaskan hati semua orang. Jadi Kak Pah memberi
penghormatan kepada peminat untuk memilih lagu yang mereka mahu dengar pada konsert Kak Pah nanti.
"Mereka boleh memberikan cadangan menerusi laman web yang dibuka seorang rakan baik untuk Kak Pah. Menerusi lama web itu, peminat boleh nyatakan lagu apa yang mereka mahukan dan setakat ini maklum balas yang Kak Pah terima memang cukup menggalakkan," katanya yang bakal menggunakan khidmat pemuzik serta penyanyi latar tanah air kerana ia memudahkan sesi latihan diadakan.
Kata Kak Pah, sesi latihan intensif bersama pengarah serta pemuzik akan diadakan sebanyak dua hingga tiga kali selepas Aidilfitri nanti, manakala latihan selebihnya akan dilakukan secara bersendirian di rumah dengan menggunakan CD.
Menyedari peminatnya pelbagai peringkat umur, Kak Pah berjanji akan mendendangkan pelbagai genre dan rentak lagu yang sesuai dengan lingkungan umur setiap peminat yang datang menyaksikan konsertnya nanti.
"Orang selalu ingat apabila seseorang penyanyi itu sudah lama dalam industri, mereka tidak bersikap terbuka. Tetapi Kak Pah terbuka untuk menyanyikan apa saja lagu. Kak Pah akan mengikut trend tetapi cara nyanyian mengikut cara Kak Pah. Mungkin pada konsert itu juga, Kak Pah akan menyanyikan lagu yang sedang popular sekarang" katanya.
Beberapa penyanyi kelahiran Singapura turut diundang memeriahkan lagi konsert yang berdurasi tiga jam itu. Dua penyanyi yang lahir daripada program realiti Singapore Idol, Taufik Batisah dan Hardy Mirza dijangka bakal berduet bersama Kak Pah sebagai penghargaan buatnya kerana kejayaan bertahan selama empat dekad dalam industri nyanyian.
Sharifah Aini yang sudah mengenali Jamiyah Singapura sejak 23 tahun lalu dan banyak menjayakan persembahan bersama badan bukan kerajaan itu seperti sambutan Maulidur Rasul berkata, pada konsert berkenaan, dia akan berkongsi pelbagai cerita bersama peminatnya seperti pada persembahan An Evening With Datuk Sharifah Aini yang diadakan di Dewan Perdana Felda pada 17 Julai lalu.
Katanya, mungkin ramai tidak tahu jerih perih sepanjang empat dekad bergelar penyanyi. Justeru, dia merasakan wajar untuk berkongsi pengalaman suka duka bergelar anak seni kepada peminatnya di sana.
"Ramai peminat yang membesar dengan lagu Kak Pah. Jadi Kak Pah berasa tentu lebih elok jika Kak Pah berkongsi pengalaman susah payah menjadi penyanyi daripada bercakap perkara yang bukan-bukan. Kak Pah ingin peminat tahu betapa susahnya untuk bergelar artis pada zaman dulu berbanding sekarang.
"Bagaimanapun, Kak Pah berdoa semoga kesihatan Kak Pah tidak terganggu menjelang konsert itu nanti. Kak Pah perlu menjaga stamina dan berharap tidak terkena sakit tekak atau batuk pada hari berkenaan," katanya.
Hadir pada majlis sidang media Konsert Malam Lagenda Seri Dewi ialah Pengarah Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar serta beberapa wakil dari badan berkenaan iaitu Mohd Shariff Yatim, Mohd Noor Mohd Said dan Dr Isa Hassan.
Tiket menyaksikan konsert berkenaan mula dijual pada 24 Ogos yang lalu dan boleh didapati melalui laman web www.sistic.com.sg.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: