SEHARI sebelum menyambut ketibaan puasa, Cik Normah sempat menghabiskan masa di sebuah restoran bersama dua kawan, Lara Kirana Manja dan Donna Marcella. Mereka ini boleh Cik Normah katakan antara penyumbang cerita bagi ruangan ini.
Dalam rancak kami bersembang mengenai persiapan menyambut Ramadan, terkeluar cerita yang Cik Normah boleh coretkan dalam ruangan ini. Ceritanya mengenai program Sehati Berdansa musim ketiga yang khabarnya bakal menyusul selepas raya nanti.
Tetapi pembayang yang Cik Normah dapat tahu, Linda Onn tidak lagi akan disatukan dengan Fahrin Ahmad sebagai pengacara. Tak sangka kisah mereka dalam program ini macam sebuah drama pula. Pada musim pertama, Fahrin dan Linda asyik bercinta. Masuk musim kedua, hubungan mereka berantakan. Hah! untuk musim terbaru ini, hubungan mereka putus terus.
Jadi siapa pula yang akan digandingkan dengan Fahrin? Cik Normah tak boleh dedahkan siapa sebenarnya yang akan bergabung mengacarakan program itu. Tetapi Cik Normah dapat tahu, besar kemungkinan seorang artis yang pernah bersatu dengan Fahrin dalam sebuah telefilem menjadi pilihan.
Cik Normah sengaja memberi pembayang yang agak umum. Tetapi kalau Cik Normah beritahu secara jelas siapa gerangannya, nescaya semua boleh teka. Biarlah Cik Normah buat semua orang tertunggu-tunggu, sebab usaha untuk mendapatkan artis yang dimaksudkan itu masih berjalan. Tambah pula artis terbabit semakin murah rezeki.
Terlanjur menyebut mengenai Fahrin, seronok Cik Normah tengok iklan syarikat telekomunikasi menggandingkan Fahrin dengan buah hatinya, Scha. Seronoknya, dalam iklan itu, siap ada adegan Fahrin menghantar SMS kepada Scha ajak kahwin. Tapi itu hanya lakonan, Cik Normah tunggu cerita Fahrin dan Scha kahwin betul-betul. Mana tahu boleh buat gimik undangan jemputan kahwin, macam dalam iklan itu.
Eh! kenapa tidak digandingkan Scha saja dengan Fahrin sebagai pengacara Sehati Berdansa. Scha pun bukan tak pernah jadi pengacara. Mesti ‘gempak’, kalau pasangan ini jadi pengacara Sehati Berdansa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: