Tuesday, August 25, 2009

Chef Obama pulang ke Filipina

MANILA - Bagi chef White House, Cristeta Pasia-Comerford (gambar), menghidang sayur-sayuran segar dari kebun seperti menyediakan makanan di kampung halamannya di Filipina.

Pasia-Comerford ialah wanita dan rakyat keturunan minoriti Amerika Syarikat (AS) pertama bertugas sebagai tukang masak eksekutif di White House.

Katanya, Wanita Pertama AS, Michelle Obama mahu keluarganya memakan sayur-sayuran organik kukus dari kebun sayur yang ditanamnya sendiri pada April lalu.

"Michelle mahu memastikan semua makanan yang menyihatkan dihidang kepada keluarganya," kata Pasia-Comerford dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Beliau yang kini merupakan rakyat AS diberi pengiktirafan sebagai seorang daripada tiga warga Filipina yang cemerlang di luar negara pada tahun ini.

Anugerah itu akan disampaikan pada hari ini.

"Mereka (keluarga Obama) suka makanan yang mudah," kata Pasia-Comerford yang berasal dari wilayah Bulacan.

Michelle sebelum ini berkata, dia dan pasia-Comerford berkongsi pandangan berhubung pemakanan yang sihat dan keluarga bahagia.

Chef itu enggan menjawab soalan khusus mengenai makanan kegemaran Obama dan tabiat makanannya.

Pasia-Comerford yang pernah bertugas untuk bekas Presiden George W. Bush mempelajari teknik masakan Perancis di Vienna, Austria dan mengkhusus dalam masakan etnik dan Amerika.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: