Sunday, August 23, 2009

Artis & Ramadan

Farhan sertai Marhaban Desa

Menurut Farhan, bulan puasa tidak menjadi penghalang untuknya meneruskan agenda seninya. Seperti tahun sudah, dia akan menyertai program Marhaban Desa anjuran Astro sepanjang Ramadan ini. Bersama beberapa artis lain, kali ini mereka akan mengunjungi negeri-negeri di sebelah Pantai Timur, iaitu, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Pengalaman saya menyertai program ini, memang penat. Bayangkan kita kena nyanyi hampir 20 lagu dalam satu masa, hingga lewat pagi, dan kemudiannya akan bergegas ke tempat lagi pula. Walaupun penat, saya rasa seronok, sebab kita boleh berjumpa dengan ramai orang dan paling ‘best’ dapat raikan anak yatim. Sebab itulah saya masih komited untuk meneruskan program ini,” kata naib juara Akademi Fantasia musim keempat ini.

Dalam pada itu, Farhan memberitahu, dia dan keluarganya ada merancang untuk berniaga di bazar Ramadan di kawasan berhampiran rumah mereka, di Pandan Indah, namun atas masalah tertentu hasrat mereka itu terpaksa ditunda.

“Mungkin belum rezeki kami untuk berniaga di bazar Ramadan. Tapi sepanjang puasa ni, saya akan buah kuih raya untuk dijual pada kawan-kawan rapat. Pada mulanya saya tak pernah terlintas nak jual kuih raya, sebab buat pun untuk makan sendiri sahaja. Tapi bila kawan-kawan saya cuba, mereka nak tempah pula,” kata Farhan yang gemar menyediakan sendiri juadah berbuka puasa.

Hafiz sambut Ramadan tanpa keluarga

“Buat pertama kalinya, Hafiz sambut Ramadan tanpa keluarga. Kalau dulu juadah puasa dan sahur disediakan ibu hafiz, nampaknya kali ini Hafiz kena berdikari. Memanglah rasa sedih, tapi Hafiz anggap ini sebagai pengalaman baru yang Hafiz kena tempuhi,” kata Hafiz yang terpaksa tinggal berjauhan dengan keluarganya di Kuching Sarawak, demi meneruskan kariernya sebagai anak seni.

Bercerita pengalamannya menyambut Ramadan, kata Hafiz, setiap malam dia pastinya akan mengikut bapanya untuk menunaikan solat Tarawih dan selepas menamatkan lapan rakaat biasanya dia akan bergegas ke gerai mak ciknya yang menjual sotong bakar. Di samping membantu mak ciknya, di situlah juga dia dapat bertemu dengan kawan-kawannya. Ujar Hafiz, begitulah rutinnya di bulan puasa malah kenangan itu tidak dapat dilupakan walaupun sudah bergelar artis popular.

“Tahun ini hafiz dah tak berpeluang untuk buat macam tu lagi. Kalau Tarawih pun, mungkin pergi seorang atau dengan kawan-kawan artis. Sekarang ni, Hafiz masih dalam proses cuba menyesuaikan diri tanpa keluarga. Mujurlah kesibukan jadual seni Hafiz, sedikit sebanyak membantu Hafiz agar tidak terlalu memikirkannya. Selain sibuk ‘shooting’ untuk program raya, Hafiz juga banyak terima undangan berbuka puasa bersama anak yatim sepanjang bulan puasa ni,” kata Hafiz yang gemarkan masakan sayur campuran dan kulit lembu sebagai juadah berbuka puasa. Jelasnya, makanan itu, cukup popular di Sarawak.

Farawahida semakin tenang

Kontroversi hebat yang melanda penyanyi, Farawahida, sejak beberapa bulan lalu, ternyata memberi kesan yang mendalam terhadap dirinya dan juga keluarga tercinta. Dia yang tidak pernah patah semangat untuk meneruskan kehidupan, mengakui hatinya kini semakin tenang. Malah dia juga mengharapkan agar kedatangan Ramadan kali ini membawa keberkatan untuk dirinya sekeluarga.

“Sekarang saya lebih tenang, walaupun kes saya masih belum selesai. Semua yang berlaku, akan saya jadikan sebagai pengajaran untuk saya lebih berhati-hati dengan sesiapa jua yang akan saya berurusan suatu hari nanti.

“Sebelum ini, saya pernah dikecam hebat ekoran kontroversi ini, namun mujurlah hari demi hari, masyarakat dapat menilainya. Malah karier saya juga semakin bertambah baik dalam bulan puasa ini. Sebenarnya, saya baru sahaja balik dari Singapura, bagi menjayakan program ‘Sinar Lebaran’ yang merupakan kerjasama RTM dengan Media Corp. Insya-Allah lepas ni akan ada lagi program lain,” kata Fara dengan nada yang penuh ceria.

Selain memenuhi program raya, Fara juga tidak mahu ketinggalan melakukan kerja-kerja kebajikan, terutamanya meraikan anak-anak yatim dan juga ibu tunggal.

“Sama seperti tahun dulu, Fara memang sibuk dengan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim. Untuk majlis tu juga Fara akan turut membuat persembahan. Jadi memang tak berkesempatan nak berbuka puasa dengan famili, tapi walau macam mana pun, Fara akan cuba juga balik ke Seremban untuk berbuka puasa bersama,” kata Fara yang lebih gemar memasak untuk juadah berbuka puasa.

Fiza luangkan masa bersama keluarga

Memandangkan pengacara Nona, Hasfiza Aswaty atau Fizza akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi, maka gadis manis ini berhasrat untuk meluangkan lebih masanya bersama keluarga. Malah bulan puasa inilah merupakan masa yang paling sesuai untuknya bersama keluarga.

“Lepas kahwin nanti, saya mungkin dah tak dapat bersama selalu dengan keluarga, jadi saya harap Ramadan dan Syawal tahun ini, dapat luangkan sepenuh masa bersama keluarga saya di Klang, kerana ini merupakan kali terakhir saya berpuasa dan beraya sebagai anak dara. Kalau boleh saya nak masak sendiri juadah berbuka puasa untuk keluarga saya, lagipun mereka memang suka dengan masakan saya” kata Fizza sambil menguntumkan senyuman.

Dia yang sudah lali bekerja di bulan puasa, mahupun di pagi raya memberitahu, masih meneruskan tugasnya seperti biasa. Ujar Fizza, selain sibuk dengan program raya, dia juga turut diundang untuk memenuhi program berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

“Media Prima memang banyak mengadakan majlis-majlis seperti ini, dan sudah menjadi kelaziman bagi selebriti seperti kami untuk menjayakannya. Hati saya tersentuh bila melihat anak-anak yatim, lebih-lebih lagi bila nak raya dan masa inilah kita diperlukan untuk menggembirakan mereka,” katanya yang mungkin juga akan bertugas di pagi raya.


Nora sibuk jual kuih raya

Sepanjang Ramadan ini, penyanyi senior, Nora memberitahu, dia sememangnya sibuk membuat kek lapis dan juga kuih raya untuk dijual. Akui, bulan yang mulia ini memberi peluang untuknya menambah pendapatan, kata Nora, perniagaan kuih rayanya itu sudah bertahan selama lapan tahun.

“Sejak muda-muda lagi saya suka buat kuih raya. Pada mulanya buat hanya untuk makan sendiri sahaja, tapi tak sangka pula kawan-kawan dan jiran-jiran berminat pula. Setiap kali raya ada sahaja tempahan dari mereka dan semakin lama dapat sambutan yang baik. Sejak itu, saya rasa ada baiknya saya kembangkan bisnes ini dan menerusi seorang kawan, saya buka kilang untuk membuat kek dan biskut raya,” katanya.

Bertanyakan tentang aktiviti seninya, Nora memberitahu, sehingga kini dia masih dijemput untuk membuat persembahan. Malah dia juga terlibat dengan beberapa program Ramadan dan juga raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Show sentiasa ada dan setakat ini saya cuba penuhi semua undangan. Begitu juga dengan majlis berbuka puasa, sana-sini mesti ada dan Insya-Allah kalau ada kesempatan saya akan cuba penuhinya,” kata Nora yang juga ingin meluangkan masa bersama keluarga sepanjang Ramadan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: