Monday, April 8, 2013

Tarikan pelancongan Buddha di Pakistan

BIARA Takht-e-Bahi dibina daripada batu oker berwarna kuning tanah dan terletak di kawasan pergunungan.


DENGAN iklim pergunungan yang nyaman dan kaya dengan sejarah, Khyber Pakhtunkhwa yang terletak di sempadan Afghanistan pernah menjadi lokasi percutian kegemaran pengembara kolonial dan golongan atasan Pakistan.
Bagaimanapun, selepas tragedi serangan 11 September 2001, diikuti peperangan di Afghanistan dan pemberontakan terhadap kerajaan Pakistan, lokasi itu sinonim dengan pejuang Taliban dan pejuang Islam yang dianggap pengganas oleh Barat.
Justeru, orang-orang kaya Pakistan dan pelancong Barat tidak lagi berkunjung ke Khyber Pakhtunkhwa kerana bimbang dengan risiko diculik dan diserang puak Taliban.
Hari ini, kerajaan wilayah itu cuba menarik ribuan pelancong dari negara-negara Asia yang kaya seperti Jepun dan Korea Selatan.
Tahun lalu, sekumpulan 20 sami Buddha dari Korea Selatan telah mengunjungi biara Takht-e-Bahi yang terletak kira-kira 170 kilometer dari Islamabad dan berhampiran kawasan yang dimiliki Taliban dan kumpulan Al-Qaeda.
BIARA Takht-e-Bahi di barat laut Pakistan ini berjaya menarik kedatangan pelancong dari Jepun dan Korea Selatan.


"Kami merasakan seolah-olah seperti berada di tanah air sendiri. Ia satu perasaan yang hebat dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Cuma, kami kesal kerana menunggu terlalu lama untuk datang ke sini," ujar sami veteran Korea, Jeon Woon-deok melalui e-mel mengenai lawatan tersebut.
Sebelum berjaya sampai ke sana, kumpulan sami berkenaan terpaksa melalui beberapa kesukaran. Mereka menentang rayuan dari Seoul untuk membatalkan lawatan berkenaan atas sebab-sebab keselamatan.
Lantaran itu, sepanjang pengembaraan ke biara Takht-e-Bahi yang dibina daripada batu oker berwarna kuning tanah dan terletak di pergunungan, kumpulan sami tersebut telah dijaga oleh pasukan keselamatan Pakistan.
Menurut sejarah, kira-kira 1,000 tahun Sebelum Masihi sehingga abad ketujuh Selepas Masihi, bahagian utara Pakistan dan Afghanistan moden membentuk kerajaan Gandhara.
Ia merupakan kerajaan yang dibentuk daripada campuran adat budaya Greek dan Buddha untuk mewujudkan elemen agama Mahayana.
Sami Marananta memulakan daripada apa yang terdapat di barat laut Pakistan untuk menyeberangi China dan menyebarkan agama Buddha di Semenanjung Korea pada abad keempat.
Taman Takht-e-Bahi menyediakan tempat berkelah untuk keluarga dan lokasi riadah bagi remaja termasuk para pelajar dari sekolah-kolah tahfiz al-Quran yang berhampiran. Tetapi, pelawat asing amat jarang mengunjungi kawasan itu.

SEKUMPULAN sami dari Bhutan berkunjung ke tapak arkeologi di Pakistan untuk melunaskan ritual agama.


Warisan budaya
"Dahulu memang ramai pelancong asing, namun selepas berlaku serangan puak Taliban, sukar untuk melihat kelibat mereka di sini," jelas seorang pemandu pelancong tempatan, Iftikhar Ali.
Aliran pelancong yang mengembara dari timur Asia juga amat berkurangan. Kata Ali, secara purata dia hanya melihat seorang atau dua pelawat setiap bulan.
"Bagi mereka, tempat ini seperti Mekah," ujar Zulfiqar Rahim, Ketua Persatuan Kebudayaan dan Seni Gandhara yang ditubuhkan khusus untuk mempromosikan warisan Buddha di Pakistan.
Tahun lalu, sekumpulan sami dari Bhutan turut berkunjung ke biara itu, namun kerajaan mahu meningkatkan jumlah pelancong dengan pantas.
"Kami kini berusaha untuk menggalakkan pelancongan agama dan arkeologi Buddha," terang Timbalan Menteri Pelancongan di Khyber Pakhtunkhwa, Syed Jamaluddin Shah.
Malah, pihak berkuasa juga telah merancang pakej pelancongan untuk pelawat dari China, Jepun, Singapura dan Korea Selatan termasuk lawatan ke beberapa tapak Buddha di Takht-e-Bahi, Swat, Peshawar dan Taxila yang kesemuanya berhampiran Islamabad.
"Potensi pelancongan sangat besar. Jika setiap orang yang datang membelanjakan AS$1,200 (RM3,600) untuk pelbagai kos dan seramai sejuta orang datang, ia pasti menjana pulangan bilion dolar," ungkap Rahim.
"Ironinya, kami tidak bercakap tentang sejuta orang tetapi 50 juta penganut agama Buddha Mahayana di Korea, China dan Jepun."
Namun demikian, perjalanan untuk mencapai kejayaan tersebut masih jauh. Sukar untuk mengatasi masalah besar seperti keselamatan, kekurangan infrastruktur pelancongan dan cabaran untuk mendapatkan visa dan keizinan bagi mengembara ke kawasan berisiko tinggi.
Banjir besar yang melanda pada tahun 2010 mengakibatkan kerosakan lebih teruk meskipun Amerika Syarikat telah menyediakan AS$5.4 juta (RM16.2 juta) untuk membantu memulihkan ekonomi tempatan dan membangunkan pelancongan di Lembah Swat.
Buat masa sekarang, kebanyakan pelawat yang datang terdiri daripada rakyat tempatan yang ingin melihat sendiri peninggalan Buddha di Pakistan.
Menggambarkan keadaan negara, Sajjad seorang guru merenung ke arah patung Buddha sambil mengeluh: "Kami benar-benar memerlukan ketenangan sebegini."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: