Tuesday, April 16, 2013

Sudah sampai masa saya berhijab - Alyah


IMEJ terkini. Alyah yang baru pulang mengerjakan umrah mengambil keputusan untuk terus berhijab.


ARTIS dan hijab bukan perkara baharu dalam industri tempatan. Bermula tahun lepas, seorang demi seorang selebriti wanita yang kita dengar telah berubah penampilan.
Tidak ketinggalan, seorang artis yang dahulunya pernah dikenali dengan fesyen pelik ala Lady Gaga, iaitu Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan.
Bagaimanapun, setelah pulang dari mengerjakan ibadah umrah sejak empat hari lalu, Alyah memuat naik foto dirinya berhijab ke dalam laman Instagram miliknya.
Justeru, semestinya ia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat yang rata-rata suka dengan perubahan yang ditunjukkannya.
Kosmo! telah pun menghubungi dan bertanya tuan punya badan sendiri tentang perkara ini.
Kosmo!: Banyak orang mahu tahu adakah Alyah benar-benar sudah berhijab kerana anda banyak memuat naik gambar anda bertudung dalam Instagram?
ALYAH: Ya, memang betul saya sudah berhijab sepenuhnya seperti yang kelihatan dalam laman tersebut.
Bila anda terlintas untuk mengambil keputusan tersebut?
Sebenarnya, saya baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah empat hari lepas. Dua minggu di sana, tiap-tiap hari saya memakai hijab. Memang sangat selesa dan sejak itu, hati saya terbuka untuk mengambil keputusan berhijab. Mungkin juga disebabkan faktor usia saya yang semakin meningkat. Justeru, saya rasa 32 tahun ini ialah waktu yang sesuai untuk saya mengambil keputusan itu. Sebenarnya, saya tidak mahu terlalu bercerita tentang hal ini. Biarlah ia menjadi urusan antara saya dan Tuhan.
Sebelum ini, ada sesiapa memberi galakan atau pernah menyuruh anda berhijab. Mungkin ahli keluarga atau sesiapa sahaja?
Tiada pula, kerana keluarga saya tidak pernah memaksa atau menyuruh saya berkaitan hal seperti ini. Ini memang keputusan saya sendiri untuk berhijab.
Sebelum ini, anda memang dikenali dengan artis yang gemar berfesyen pelik, jadi mungkin selepas berhijab, anda akan kurang berfesyen atau sebaliknya?
Jika mahu diikutkan, saya memang telah perlahan-lahan meninggalkan imej pelik serta rambut saya juga telah diwarnakan hitam semula. Saya kini berfesyen mengikut usia saya.
Bagaimanapun, memang saya akui, saya seorang yang gemar berfesyen. Setelah berhijab, saya akan banyak membuat rujukan tentang fesyen berhijab ini. Masih boleh berfesyen, namun perlulah mengikut kesesuaian.
Konsep muzik bagaimana pula, mungkin terfikir untuk membuat lagu-lagu kerohanian, atau masih mengekalkan konsep seperti sebelum ini?
Saya masih lagi akan membawa konsep seperti sebelum ini iaitu Pop. Untuk bertukar kepada konsep lain, rasanya tidak.
Apa pula respons peminat tentang perubahan yang dilihat?
Alhamdulillah, ramai yang menyokong saya 100 peratus. Namun, apa yang pasti, saya berubah bukan untuk peminat atau sesiapa sahaja, tapi kerana diri sendiri dan Allah.
Boleh cerita tentang perkembangan anda kini?
Saya kini sedang sibuk dengan promosi single yang berjudul Permata bersama band Idola Kecil 5. Selain itu, saya juga bakal keluar dengan sebuah lagi single baharu yang masih dalam proses rakaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment