SMK Kuala Krai
Guru Besar SMK Kuala Krai, Asiah Awang turut sama meraikan kejayaan pelajarnya menjuarai Pesta Pantun Peringkat Negeri Kelantan buat tahun ketiga berturut-turut.
KUALA KRAI - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai berjaya mempertahankan kejuaraan Pesta Pantun Peringkat Negeri Kelantan buat kali ketiga berturut-turut, di sini, baru-baru ini.
Kejayaan bersejarah itu dilakar selepas SMK Kuala Krai menewaskan SMK Kamil, Pasir Puteh pada pertandingan akhir di SMK Sultan Yahya Petra 1, dekat sini.

Pasukan SMK Kuala Krai menampilkan pemantun berbakat, Siti Syaza Mohamed Hassan selaku ketua; Puteri Nurul Izzaty Shahira Tuan Mohd Tamizi; Muhamad Azlisyam Rosli; Nur Syafiqah Azwa Sakri dan Mohamad Asraf Ismail.

Kejayaan membolehkan SMK Kuala Krai mewakili Kelantan di pertandingan peringkat kebangsaan pada Jun ini itu lebih manis apabila Puteri Nurul Izzaty Shahira terpilih pemantun terbaik.
Perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Kra, Anuar Mamat dan turut dihadiri Penolong Pengarah (Ketua Unit) Kokurikulum, Jabatan Pelajaran negeri, Anusidiqie Anuar.

Bagi Siti Syaza yang akan meninggalkan alam persekolahan menengah tahun depan, kemenangan itu paling bermakna buat dirinya kerana tahun ini kali terakhir dia menyertai pertandingan itu.
Katanya, kejayaan menunaikan harapan warga SMK Kuala Krai untuk mempertahankan kejuaraan itu buat kali ketiga berturut-turut sukar diungkap dengan kata-kata.
“Kami bertemu pasukan handal dan persaingan amat sengit tetapi pada tahun ini, kami tekad untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih sejak dua tahun lalu,” katanya.
Guru pengiring, Norhadi Isa pula berkata, kejayaan itu hasil komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk guru; pelajar; alumni dan seluruh warga SMK Kuala Krai.
“Walaupun saya jarang dapat bersama ‘anak didik pantun’ kerana terikat komitmen lain, mereka tetap gigih berusaha dan selalu bertanyakan saya soal berkaitan pantun.
“Kami harap dapat merealisasikan harapan Jabatan Pelajaran Kelantan untuk bawa balik piala Sireh Pulang ke Gagang pada pertandingan peringkat kebangsaan nanti,” katanya.