Polis cekup pasangan kekasih
Suspek yang dipercayai pasangan kekasih dicekup dalam cubaan pecah rumah.
SUBANG JAYA – Dipercayai kerana terlalu mencintai teman lelakinya, seorang wanita  sanggup melakukan kegiatan pecah rumah bersama kekasihnya itu di SS15, di sini, petang kelmarin.

Tindak-tanduk mencurigakan pasangan kekasih itu bagaimanapun berjaya dihidu pemilik rumah yang kemudian menghubungi polis.

Bertindak atas aduan, anggota yang melakukan rondaan segera ke rumah berkenaan, kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, seorang pemilik 55 tahun memaklumkan rumah yang disewakan kepada pelajar kolej swasta cuba dimasuki orang tidak dikenali.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati seorang lelaki atas sebuah motosikal manakala seorang wanita dipercayai kekasihnya ada dalam kawasan pekarangan rumah menyembunyikan beg sandang apabila ternampak anggota polis.

"Setelah melakukan pemeriksaan, anggota menemui beberapa peralatan disyaki untuk melakukan pecah rumah termasuk pemutar skru, spanar boleh laras,  pisau pelbagai guna dan serangkai anak kunci dalam beg dibawa suspek,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebatang  besi menyerupai joran turut ditemui bersama suspek.

"Hasil semakan ke atas motosikal dinaiki pula mendapati ia bersabit kes kehilangan yang dilaporkan di Kelana Jaya.

"Pasangan kekasih berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya.