Wednesday, April 10, 2013

Perjuangan selamatkan Bonobo


KECINTAAN Andre (kiri) terhadap haiwan terutamanya bonobo menyebabkan dia sering diugut dan diancam.


TAYAR kereta wanita Belgium berumur 67 tahun itu pernah dibocorkan dua kali. Begitupun, ugutan sedemikian tidak sedikit pun menggugat semangat Claudine Andre menyelamatkan spesies beruk bergelar bonobo di Republik Demokratik Congo (Congo).
Selama dua dekad, Andre memperjuangkan nasib haiwan malang itu daripada terus menjadi mangsa pemburuan dan penyeludupan haram. Baru-baru ini, dia menerima aduan tentang seekor anak bonobo yang dijadikan haiwan pameran di sebuah bar tempatan Congo.
"Saya mesti pergi esok! Gambar anak bonobo itu telah saya lihat dan mengikut perkiraan, usianya belum mencecah tiga tahun, malah tingginya baru mencecah beberapa sentimeter.
"Hidungnya juga dilihat berair dan ia boleh menyebabkan haiwan itu mati," ujar Andre yang baru selesai membuat laporan tentang penemuan itu di pejabat kementerian alam sekitar Congo yang terletak di Kinshasa.
Kawasan perlindungan
Sejak menetap di Congo seawal umur empat tahun, ibu kepada lima anak itu kini mempunyai santuari yang dipanggil Syurga Bonobo atau dalam bahasa negara itu, Lolo ya Bonobo pada tahun 1993.
Di kawasan perlindungan seluas 35 hektar terletak di luar pusat bandar itu, Andre menempatkan haiwan-haiwan larangan untuk diperdagangkan yang berjaya diselamatkan daripada dieksploitasi.
Penyeludupan bonobo sememangnya perniagaan yang menguntungkan. Menurut Andre, seekor anak bonobo yang dibeli pada harga CDF50,000 (RM1,684) boleh dijual semula di internet dengan harga mencecah AS$15,000 (RM46,447).
Bonobo muda yang diselamatkan Andre kebiasaannya dalam keadaan sakit dan trauma. Setibanya di santuari itu, haiwan liar itu akan diserahkan kepada seorang wanita Congo di situ yang dipertanggungjawabkan menjaga dan merawat bonobo yang ada.
Proses rumit di pusat rehabilitasi itu akan berterusan selama berminggu-minggu ataupun berbulan-bulan sehingga haiwan berkenaan benar-benar sihat untuk kembali kepada kawanan liarnya.
Haiwan-haiwan berkenaan akan dilepaskan semula ke habitat asal yang terletak ribuan kilometer dari pusat bandar Congo. Kawasan tersebut dikelilingi sungai Congo, Kasai dan Samburu.
Difahamkan, ketika ini terdapat 70 ekor bonobo di santuari Andre yang menunggu masa untuk dilepaskan bersama 15 ekor yang telah dilepaskan terlebih dulu.

SEORANG kakitangan Andre di santuari Lola ya Bonobo ditugas untuk memelihara haiwan itu.


Sementara itu, dianggarkan terdapat kira-kira 100,000 ekor bonobo pada tahun 1980, tetapi jumlah tersebut jatuh mendadak kepada 15,000 sehingga 20,000 ekor hari ini. Andre menyifatkan penurunan itu disebabkan oleh kes pemburuan dan populasi manusia yang kian meningkat.
Congo merupakan negara yang mempunyai 68 juta penduduk, hampir menyamai jumlah yang ada di barat Eropah dan berada pada kedudukan terakhir dalam indeks perkembangan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kebuluran dan perang saudara memaksa segelintir penduduk negara itu menjalankan pemburuan haram ke atas haiwan liar termasuk bonobo. Hasil tangkapan itu kemudiannya dijual dan menjadi mata pencarian utama.
Menurut Andre, bagi setiap bonobo yang diselamatkan, 10 ekor daripadanya telah pemburu dan hanya anaknya dibiarkan hidup. Ini berikutan, daging bonobo kecil tidak sesuai untuk dijual, maka menjual anak bonobo hidup dijual kepada penyeludup kerana hasilnya lebih lumayan.
Spesies yang berkongsi 98.7 peratus DNA dengan manusia itu hidup dalam kumpulan mengikut sistem kepatuhan kepada seekor bonobo betina. Tarikan seksual mereka juga tinggi dan sering menggunakan seks sebagai ekspresi kasih sayang dan penyelesaian konflik serta pembiakan.
Bonobo merupakan spesies di bawah lindungan Konvensyen Perdagangan Spesies Terancam Antarabangsa (CITES). Haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang mengalami kepupusan di bawah CITES haram diperdagangkan.
Berdasarkan laporan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF), penyeludupan haiwan hidup dalam setahun dianggarkan bernilai 15 bilion euro (RM59 bilion).
"Ia memberikan pulangan lebih lumayan berbanding dadah," dedah Andre.
Dalang
Andre mendakwa, penyeludup Nigeria adalah dalang di sebalik rangkaian penjualan haiwan larangan di Asia dan Asia Barat. Jelasnya, segelintir hartawan membangunkan zoo dan memintas saluran sah yang tersedia untuk haiwan yang dilahirkan dalam kurungan.
Pada musim bunga akan datang, Andre akan terbang ke Amerika Syarikat (AS) bagi menerima anugerah daripada Zoo Columbus, Ohio atas usaha perlindungan yang dijalankan.
Andre menyatakan perjuangannya akan disambung melalui pendidikan. Pada tahun 2006, seramai 26,000 kanak-kanak melawat santuari Andre.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: