Menyorok bawah meja elak dicekup
Wanita yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran menyorok bawah meja mengelak daripada ditahan anggota dan pegawai Imigresen.
TELUK INTAN - Tindakan seorang wanita dipercayai menawarkan khidmat seks yang cuba menyorok di bawah meja untuk mengelak dikesan penguatkuasa tidak berhasil apabila ditahan dalam serbuan di sebuah motel, di Jalan Pasar di sini, petang Selasa lalu.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, serbuan dalam Ops Sayang melibatkan 24 anggota dan pegawai Imigresen Cawangan Teluk Intan serta Depot Tahanan Imigresen Langkap, bermula kira-kira jam 1 petang dan berakhir sejam kemudian di dua serbuan berasingan.

Menurutnya, seramai lapan wanita yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di dua motel di sini ditahan berusia antara 27 hingga 39 tahun bagi pemeriksaan pihak Imigresen.

"Mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran kerana berpakaian seksi dipercayai menunggu pelanggan datang.

“Risikan mendapati, kelab ini turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran RM30-RM50 bagi satu sesi malah pelanggan boleh membawa wanita tersebut ke satu lokasi lain namun dikenakan caj lebih,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, kesemua wanita itu dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pihaknya juga meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memeriksa kesemua wanita yang dikatakan mempunyai kad pengenalan.

"Hasil pemeriksaan MyKad oleh JPN mendapati empat daripada mereka adalah warganegara manakala selebihnya menggunakan kad pengenalan palsu.

"Empat wanita yang memiliki MyKad palsu ini adalah warga Indonesia dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Katanya, JPN turut mengesan sindiket mengeluarkan MyKad palsu yang digunakan oleh warga Indonesia terbabit.

“Malahan, Jabatan Imigresen menahan empat wanita warga Indonesia di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 kerana melakukan pelbagai kesalahan dan kini mereka ditempatkan sementara di Depot Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya.