Sunday, April 14, 2013

Margaret Thatcher ibu prihatin dan penyayang


MARGARET meluangkan masa bersama anak perempuannya, Carol menyaksikan Kejohanan Akhir Wimbeldon Wanita pada tahun 2004.


ISNIN lalu, dunia dikejutkan dengan berita pemergian bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher yang meninggal dunia pada umur 87 tahun akibat menghidap angin ahmar.
Pemimpin Parti Konservatif itu mengetuai kerajaan Britain dari 1979 hingga 1990, menjadikan beliau Perdana Menteri paling lama memerintah Britain selepas perang dan merupakan satu-satunya Perdana Menteri wanita dalam sejarah Britain yang mendapat jolokan 'Wanita Besi' (Iron Lady) atas peranannya membentuk dunia politik dan ekonomi negara ini.
Di sebalik kejayaan beliau, terdapat kata-kata nakal yang mempersoalkan kehidupan beliau bersama anak kembarnya, Mark dan Carol masing-masing berumur 59 tahun.
Seperti yang dikongsikan beliau di dalam memoirnya pada tahun 1996, menjadi seorang ibu dan suri rumah merupakan kerjaya yang sangat tinggi tetapi beliau merasakan bahawa tugas itu bukanlah meliputi keseluruhan kerjayanya.
Wanita yang sukar dicari ganti ini dilihat lebih rapat bersama anak lelakinya, Mark yang dilahirkan dua minit lebih awal berbanding anak perempuannya, Carol yang dianggap lebih berdikari.
Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa walaupun beliau tidak rapat dengan Carol, beliau tetap menyayangi dan ingin melihat puterinya itu mendirikan rumah tangga tetapi sayang kerana sehingga saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, Carol masih belum berkahwin.
Menurut seorang rakan, perbezaan dalam hubungan antara ibu dan anak itu terjadi ketika beliau menjadi seorang peguam, enam tahun sebelum beliau mula memasuki Parlimen. Beliau merasakan Carol adalah lebih berdikari berbanding Mark dan oleh sebab itu, Carol tidak memerlukan dorongan daripadanya.
Sejak zaman kanak-kanak lagi, hubungan Carol dengan ibunya dilihat kurang mesra dan dia sering menganggap bahawa Mark merupakan anak kesayangan ibunya.
"Sebagai seorang anak, saya takutkan ibu saya dan sering merasakan saya sering menjadi orang kedua dalam apa jua keputusan. Perkataan disayangi bukanlah pemilihan perkataan yang betul, tetapi saya tidak pernah merasa saya meletakkan gred tertentu terhadap kasih sayang ibu," ujarnya.
Pada pertengahan tahun 1990-an, Carol berumur 43 tahun dan ketika itu, Mark telah berkahwin dengan isteri pertamanya, Diane Burgdorf dan hidup bersama anak-anak mereka di Afrika Selatan, Carol meluahkan perasaan kecewanya dan berasa kekurangan.
"Mark telah berkahwin dengan seorang gadis yang cantik dan dikurniakan dua orang anak selain menetap di pelbagai kawasan di seluruh dunia," luahnya yang dihantar ke sekolah berasrama penuh bersama Mark.
Margaret dan ahli perniagaan, Denis telah berkahwin selama dua tahun apabila anak kembarnya itu dilahirkan ketika bapa mereka menonton kriket di Oval. Kedua-dua anak kembarnya itu diletakkan dibawah jagaan pengasuh sepenuh masa sejurus selepas mereka dilahirkan kerana Margaret bertugas di bahagian undang-undang di Lincoln Inn manakala tugas Denis yang memerlukannya banyak mengembara.
Seperti yang dicatatkan Carol di dalam memoirnya, dia tidak terfikir kedua ibu bapanya itu akan mengambil alih tugas pengasuh sekiranya mereka bercuti.
Mark dan Carol berumur lima tahun apabila ibunya diterima sebagai calon Konservatif di kawasan utara London, Finchley sehingga beliau meninggalkan Parlimen pada tahun 1992.
Menurut setiausaha peribadinya, Bernard Ingham, Margaret Thatcher sering mengingatkannya hujung minggu merupakan hari untuk keluarga dan beliau tidak mahu diganggu ketika bersama keluarga melainkan sekiranya terdapat perkara yang benar-benar penting selain menganggap majikannya itu adalah seorang ibu yang prihatin dan penyayang terhadap anak-anaknya.
Hilang
Beberapa tahun kemudian, Margaret yang telah membesar di kedai runcit ayahnya di Grantham, Lincs, memberitahu Carol, yang beliau mahu anak-anaknya mendapat segala keperluan yang mencukupi.
"Sebagai seorang ibu, dia akan memberikan Mark dan saya peluang untuk membuat keputusan kami sendiri dan ini termasuklah memilih kertas dinding di bilik tidur kami sehinggalah pemilihan gereja yang akan dikunjungi pada setiap hari Ahad.
"Walaupun Mark dianggap sebagai anak emak, ibu saya tidak juga berlembut dengan setiap tindakannya bersama Mark apabila dia mahu berhenti daripada belajar cara untuk meluncur ski disebabkan dia kesejukan, tetapi ibu tidak membenarkannya," jelasnya.
Tambah Carol, ibunya jatuh sakit apabila Mark dilaporkan hilang di Gurun Sahara ketika menyertai kejohanan bermotor Paris-Dakar yang kemudiannya ditemui enam hari kemudian.
Daripada gagal di dalam peperiksaan menjadi akauntan dan berusaha keras untuk mengukuhkan nama di dalam dunia perniagaan, Mark kemudiannya diisytiharkan sebagai jutawan melalui komisen sebagai orang tengah dan tawaran pembinaan yang dirundingkan di negeri-negeri Arab oleh ibunya.
Sudah tentu, Margaret tidak bersubahat dalam urusan perniagaan anaknya dan beliau menafikan terdapat apa-apa ketidakwajaran di sebalik kekayaan anaknya itu berkait rapat dengan usaha beliau untuk Britain.
Terdapat kejutan di dalam memoir Carol yang diterbitkan lima tahun lalu membabitkan penyakit dementia, sejenis penyakit hilang ingatan dan mendedahkan ibunya tidak mengingati sarapan pagi yang diambilnya.
"Ia menjadi keistimewaan terbesar apabila terpilih menjadi Perdana Menteri untuk negara sendiri dan saya juga ingin meluangkan lebih waktu bersama anak-anak saya kerana kami sudah jarang menikmati makan tengah hari pada hari Ahad bersama-sama selain tidak pergi bercuti dan bermain ski lagi.
"Tetapi saya tidak boleh menyesal dan saya tidak kehilangan anak-anak saya. Mereka mempunyai kehidupan mereka dan saya mengambil kehidupan yang berbeza," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: