'Mana ayah, kami lapar...'
Keadaan rumah usang yang didiami keluarga Nazula.
KUALA KURAU - Akibat ditinggalkan ayah, tiga anak yang masih kecil dan bersekolah terpaksa mengikat perut dan menahan lapar menanti sesuap nasi yang diberikan ibu mereka saban hari.

Lebih memilukan, kesempitan hidup yang terpaksa ditanggung ibu mereka, Nazula Osman, 34, memaksa anak sulung, Mohd Farid Ahmad Syukri, 10, dan adiknya, Noralia Faridah, 7, mengutip botol dan tin kosong demi membantu meringankan beban kewangan ibu mereka.

Nazula berkata, sekitar bulan April tahun lalu, suaminya mula meninggalkan mereka tanpa sebarang berita sehinggalah dia diberitahu suaminya sudah berkahwin dengan seorang perempuan dan memaklumkan mereka kini menetap di Ipoh pada bulan Ogos tahun lalu.

“Berita itu amat menyentap semangat saya sebagai seorang isteri yang setia menanti kepulangannya selama ini dan kecewa pengorbanan saya tidak dihargai suami.

“Sejak itu, saya terpaksa bekerja di sebuah kilang memproses telur masin dengan bayaran RM3 sejam dan hanya mampu mengambil masa lima hingga enam jam sehari untuk bekerja memandangkan saya bimbang memikirkan soal makan minum dan keselamatan anak-anak.

“Saya terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dengan melakukan pelbagai kerja, namun keadaan masih lagi sukar memandangkan suami langsung tidak pernah memberikan nafkah kepada anak-anak,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Parit Haji Yusof, Simpang Tiga di sini.

Nazula berkata, anak-anaknya terpaksa ditinggalkan di rumah dan dia bergantung kepada simpati jiran-jiran untuk menjenguk keadaan mereka sekiranya keluar bekerja.

“Di sebalik rasa teramat kecewa dengan sikap suami, saya masih tekad untuk memastikan anak-anak saya diberi makan minum secukupnya demi masa hadapan mereka,” katanya.

Sementara itu, anak kedua Nazula, Noralia Faridah berkata, setiap kali pulang sekolah, dia dan abangnya akan mencari tin dan botol kosong untuk dikumpulkan dan dijual di sekeliling kampung, hasilnya akan diberikan kepada ibu untuk meringankan beban menyara keluarga.

Menurutnya, dia tidak kisah dengan caci maki dan tohmahan dilemparkan orang ramai terhadap perbuatannya mengutip botol dan tin kosong, sebaliknya apa yang dilakukan semata-mata untuk membantu ibunya.

“Sejak ditinggalkan ayah, kehidupan kami amat susah dan keadaan memaksa kami untuk hidup berdikari.

“Kalau ayah baca (kisah ini), saya minta ayah pulang sebab kami sekeluarga amat perlukan ayah, terutama abang yang sering sakit dan pelajaran terabai sebab ingatkan ayah,” katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang hadir menziarahi keluarga Nazula prihatin dengan masalah mereka dan menyalurkan sumbangan wang ringgit bagi meringankan penderitaan keluarga itu.

“PKR cabang Parit Buntar turut menyumbangkan sebuah basikal untuk kegunaan Mohd Farid dan Noralia ke sekolah dan saya berharap ia dapat meningkatkan motivasi mereka untuk berjaya dalam pelajaran kelak,” katanya.