Markah dikira melalui undian juri profesional, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juri awam.
Anak didik pelakon dan pelawak, Sabri Yunus ini mengangkat konsep teater dengan bertemakan sebuah kerusi dengan mendendangkan lagu Itukah Sayang membawa pulang hadiah alat elektronik, Samson Graphite 49 USB MIDI Controller Keyboard dan Samson SR850 Studio Reference Headphone.
"Kita cuba membawa konsep ini dan Alhamdulillah penonton faham dan menerimanya, namun ia adalah cabaran kepada saya apabila telah meletakkan kumpulan Titan ini kepada satu tahap yang berbeza.
"Saya tahu untuk pusingan akan datang orang akan menantikan apa yang akan mereka tonjolkan dan kelainan berbanding kumpulan lain," katanya ketika ditemui selepas program Bintang Mencari Bintang, di sini, Ahad.
Jelas Sabri, kedua-dua anak didiknya itu mempunyai latar belakang sebagai pengiat teater yang membuatkannya menggunakan konsep tersebut.
Titan dianggotai oleh Fazlisham Mat Hussain dan Azizul Ammar Abu Hassan yang merupakan bekas pelajar teater di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM).
Tampil sebagai peserta yang membuka tirai, Gegau iaitu anak didik kumpulan Senario mempersembahkan sketsa komedi dan lagu Pontianak. Selepas itu, Ajo (Faizal Ismail) membuat persembahan sketsa komedi dan lagu Sayang.
Pentas BMB dihangatkan lagi dengan gelagat Bocik yang mendapat bimbingan daripada Johan sementara Adlin Shauki menunaikan umrah dengan persembahan sketsa komedi dan nyanyian lagu Milik Siapakah Gadis Ini.
Kumpulan XOXO (Harun Salim Bachik) pula menggegarkan studio Sri Pentas 2 dengan konsep persembahan menarik dan lagu Beat It, manakala anak didik Raja Azura, kumpulan Awok membuat persembahan dan lagu Nasib Seorang Janda.
Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap Ahad pukul 9.00 malam, BMB membariskan enam orang sifu iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail.
Program yang menyasarkan bakat baru yang berkebolehan dalam kedua-dua bidang iaitu sketsa komedi dan nyanyian, kesemua anak didik dinilai oleh juri tetap, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan A.R. Badul, barisan juri awam serta jumlah undian SMS daripada orang ramai.
Mereka akan bertanding selama 3 minggu sebelum berdepan dengan sesi penyingkiran pada konsert yang keempat dalam kumpulan masing-masing.
Setiap Sifu mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama empat minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing.
Tiga anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. Manakala enam anak didik yang berjaya ke pusingan seterusnya kemudian akan berentap di pusingan kedua, separuh akhir dan konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: