Friday, April 12, 2013

Enot digantung tidak bertali

ENOT yang pernah menyatakan hasrat untuk bersara tidak jadi berbuat demikian demi kelangsungan hidupnya selepas dia dalam proses penceraian buat kali kedua.


IBARAT digantung tidak bertali, pelakon dan pelawak terkenal Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, 34, sukar untuk menyatakan status terkini dirinya.
Ini kerana proses penceraian dengan suami keduanya, Zainul Abidin Mat Noor, 42, belum bertemu titik noktah.
Pada awal bulan Mac lalu, Enot nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya itu di Jabatan Agama Islam Kajang, Selangor.
Namun, proses penceraian mereka masih berlangsung memandangkan Zainul menghilangkan diri sejak sebulan lalu dan dia sudah dua kali gagal hadir ke mahkamah.
Enot dan Zainul mendirikan rumah tangga pada 21 November 2008 selepas mula berkenalan di set penggambaran drama komedi Odah Drebar.
Sebelum itu, Enot pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan bercerai pada tahun 2007 setelah dikurniakan dua orang anak iaitu Andriana Balqis, 12, dan Ariana Qaseh Qistina, 6.
Sebak ketika dia diajukan soalan mengenai status rumah tangganya yang kini sedang bergolak, Enot dengan berat hati menjawab pertanyaan yang diajukan Kosmo! ketika dia ditemui pada majlis pelancaran program MasterChef Selebriti di The Bee, Publika, baru-baru ini.
Ikuti temu bual lanjut bersama pelakon yang pernah popular dengan siri Mat Despatch itu.
Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Enot kini dalam proses perceraian bersama suami kedua anda?
ENOT: Saya tidak kata ya dan tidak kata tidak. Saya meminta untuk diberikan ruang kepada diri saya dan sedikit privasi buat masa sekarang untuk menyelesaikan segala kekusutan. Selepas semua perkara dalam keadaan terkawal, barulah saya akan maklumkan lebih lanjut.
Mungkin boleh berkongsi sedikit punca keretakan rumah tangga Enot sehingga mengambil keputusan untuk memfailkan kes perceraian di mahkamah?
Saya minta maaf, buat masa ini hati saya kecewa teramat sangat dan adalah lebih baik saya bercakap mengenai perkara ini apabila semuanya sudah selesai. Lagipun, tidak elok jika saya sebagai seorang wanita berbicara tentang perkara ini secara terlalu terbuka.
Apakah status terkini Enot?
Dia tinggalkan saya dan saya terima apa sahaja keputusan dia. Saya reda dan tidak mampu keluarkan sepatah pun perkataan buat masa sekarang. Buat kedua kalinya, saya rasa sangat pedih dan kecewa dalam alam perkahwinan. Alhamdulillah, saya dianugerahkan kawan-kawan yang sentiasa ada bersama. Didie Alias umpamanya sanggup menemani saya sepanjang masa tanpa mengira waktu walaupun pukul 3 pagi.
Bagaimanakah kehidupan Enot sekarang dan apakah perancangan pada masa akan datang memandangkan krisis rumah tangga sekali lagi menghambat kehidupan anda?
Anak-anak berada dengan saya sekarang dan saya berdoa supaya selepas ini orang ramai atau peminat lebih menerima kehadiran saya dalam industri. Saya tidak jadi untuk bersara dan saya mahu membuat kemunculan semula menerusi Masterchef Selebriti ini. Saya mahu teruskan kerjaya dalam bidang ini dan berharap agar produksi memanggil saya semula untuk berlakon malah bersedia untuk menggalas apa jua peranan.
Anda terlibat sama dalam program MasterChef Selebriti musim kedua, mungkin sudi kongsikan pengalaman menarik sepanjang bersama rancangan ini?
Saya turun hampir 10 kilogram sepanjang tiga minggu penggambaran rancangan ini. Bayangkan apabila penggambaran dijalankan di luar studio seharian, sesudah tamat penggambaran masing-masing penat sampai terlupa makan dan terus tertidur.
Siapakah individu yang paling rapat dengan anda sepanjang program ini?
Saya paling rapat dengan Syanie sepanjang MasterChef Selebriti dan memang dari dulu lagi sebenarnya. Ibaratnya Syanie menggantikan Didie Alias kalau dalam rancangan ini. Saya manja dengan dia dan cerita apa saja yang tidak puas hati. Lagipun, saya tidak boleh merasa masakan saya disebabkan lidah saya yang melecur hampir setahun lalu akibat terkena air panas. Saya masih boleh mengagak kuantiti bahan masakan, cuma tidak yakin.
Bagaimanakah pula dengan kerjaya anda sebagai penyampai radio internet Bapakku.FM?
Saya diberikan cuti terlebih dahulu sepanjang terbabit dengan program MasterChef Selebriti walaupun biasanya jadual saya di konti bermula pukul 12 tengah hari ke atas. Tapi adakalanya saya berkomunikasi dengan peminat saya melalui panggilan telefon langsung dari lokasi penggambaran rancangan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment