Tuesday, April 16, 2013

Dira tidak hilang

DIRA banyak melakukan kerja di belakang tabir sejak dua tahun kebelakangan ini.


WANITA yang bernama Dira Abu Zahar ini pernah dilanda kontroversi hebat mengenai dirinya yang pernah dilabel sebagai wanita kaki gaduh. Ini kerana, Dira atau nama sebenarnya, Khaidhirah Abu Zahar pernah menggegarkan industri seni tempatan dengan kontroversi pergaduhannya bersama seorang wanita di sebuah kelab hiburan kira-kira dua tahun lalu.
Ekoran kejadian tersebut, Dira yang sebelum ini menjadi hos program hiburan terkenal, Melodi telah disingkirkan dari terus menjadi pengacara program tersebut. Masa berlalu dan wanita ini dilihat menyepi daripada sebarang aktiviti lakonan sejak dua tahun lalu.
Walaupun begitu, wanita ini tidak pernah takut untuk tampil di khalayak dengan menghadiri acara atau majlis yang diadakan. Namun, apa yang menyebabkan dia menyepi dari dunia lakonan yang diminatinya itu.
Ketika bertemu dengan Dira pada majlis pelancaran drama Dahlia yang bertempat di Restoran Serai, KL Life Centre, Kuala Lumpur, dia masih seperti dahulu, ceria dan sentiasa tersenyum ketika menjawab segala persoalan yang ditujukan kepadanya.
Berhenti
Persoalan demi persoalan diajukan kepada wanita kelahiran Merlimau, Melaka ini, namun segala persoalan dijawab dengan tenang. Ternyata Dira merupakan seorang yang tidak mudah melatah apabila soalan yang berunsur peribadi dilemparkan kepadanya oleh pihak media.
Mengakui dirinya sepi dari tampil di kaca televisyen sejak hampir dua tahun lalu, Dira menjelaskan bahawa dia tidak pernah kecewa dengan situasi yang telah terjadi. Sebagai seorang manusia biasa, dia sedar bahawa kadangkala roda kehidupan seseorang itu boleh berada di puncak dan berada di bawah pada sekelip mata.
Jelasnya lagi, biar hampir dua tahun seperti terpinggir, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meninggalkan bidang seni.
"Saya tidak pernah membuat kenyataan ingin berhenti daripada industri ini kerana jika berhenti, ke mana lagi ingin saya pergi. Ini adalah dunia saya. Sejujurnya saya tidak kisah kalau hanya berada di belakang kamera.
"Ini kerana, saya mula menapak dalam industri ini dengan melakukan kerja-kerja di belakang tabir bersama produksi. Jika khalayak tidak melihat saya di hadapan kamera, sebenarnya saya sedang bekerja di belakang kamera," jelas Dira yang mengakui banyak melakukan kerja-kerja di sebalik tabir sepanjang tidak menerima tawaran berlakon.
Bagaimanapun, jelas Dira lagi, dia sedikit pun tidak berkecil hati. Ini kerana selain berlakon, dia menyimpan impian untuk menjadi seorang penerbit, pengarah mahupun seorang penulis skrip.
Oleh kerana itu, dia sering membantu suaminya ketika mempunyai penggambaran dan tidak ingin melepaskan peluang mempelajari selok belok tentang produksi dan belakang tabir penerbitan sesebuah filem mahupun drama.
MEMEGANG watak Dahlia dalam drama terkini lakonannya, Dira turut berganding dengan aktor terkenal, Faizal Hussein.


Tidak terkilan
Mungkin kebetulan atau sebaliknya, kehilangan Dira masih dikaitkan dengan kontroversi pergaduhannya yang menyebabkan wanita ini.
Bagaimanapun, ternyata andaian tersebut tersasar sama sekali. Jelas Dira, dia tidak pernah menyembunyikan diri kerana kes yang melibatkan dirinya itu.
"Sejujurnya, selepas kes tersebut, saya lebih senang berdiam diri. Takkan saya perlu pergi kepada semua orang dan memperbetulkan apa yang mereka fikir tentang saya?
"Memang saya tahu, jika saya tiada terlibat dalam kes itu pun, ada juga orang yang akan bercakap tentang saya, tidak kiralah sama ada baik atau buruk. Saya tidak berasa terkilan dan tidak mahu terlalu ambil serius kerana saya tahu saya tidak melakukan kesalahan. Jadi untuk apa saya bersembunyi daripada masyarakat. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang," ujarnya tegas.
Namun, tambahnya lagi, apa yang pasti, jika masih punya rezeki dalam bidang pengacaraan, dia mahu menumpukan tawaran lebih kepada program berbentuk travelog serta dokumentari, bukan lagi yang berbentuk hiburan.
Jadual padat
Sementara itu, beritahu Dira, tugasnya menjadi isteri kepada Mohd. Helmi Mohd. Yusof, ibu kepada Puteri Tengku Anggun Deandra, menjadi seorang pelajar serta mempunyai karier dalam bidang seni membuatkan jadual dirinya agak padat.
Jelasnya: "Antara sebab lain saya kurang mengambil tawaran lakonan ialah kerana saya juga sibuk dengan jadual belajar saya. Saya ambil tawaran berlakon dalam drama Dahlia ini juga adalah kerana cuti semester.
"Selain itu, sebelum ini, saya juga ada terlibat dengan beberapa penggambaran filem dan juga membantu produksi suami saya yang membuat filem berjudul Bikerz Kental yang bakal keluar hujung Mei ini. Ini kerja-kerja yang saya lakukan selain menghadiri kelas. Hakikatnya, jadual saya sememangnya agak padat dengan perkara yang saya suka untuk lakukan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: