Tuesday, April 2, 2013

Bebas bernafas ketika tidur

TIDUR yang tidak diuruskan dengan baik boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan seseorang.


JARAK pemanduan dari Kuala Lumpur ke Seremban di Negeri Sembilan sejauh 76 kilometer (km) biasanya hanya mengambil masa selama satu jam.
Namun kepada seorang pesara kerajaan, Mustafa Yusof, 59, dia terpaksa berhenti tidur di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Nilai bagi menghilangkan rasa mengantuk walaupun baki perjalanan ke Seremban cuma tinggal 30 km.
Kekerapan berhenti di kawasan RnR bagi perjalanan jarak dekat mahupun jauh untuk untuk tidur bukan sesuatu yang luar biasa bagi Mustafa.
Bahkan, dia melalui amalan tersebut sejak 15 tahun lalu.
Mustafa mengakui berdepan dengan masalah tidur pada waktu malam dan mudah mengantuk ketika memandu.
Pada awalnya dia menyangka apa yang dilaluinya sama seperti orang lain sehinggalah Mustafa diminta menjalani ujian tidur.
Sering terjaga setiap jam pada waktu malam untuk membuang air kecil, Mustafa hanya mengetahui tentang penyakit kecelaruan tidur yang dialaminya selepas menjalani ujian tidur di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
"Keputusan ujian tidur mendedahkan saya mengalami masalah nafas terhenti beberapa kali iaitu selama 10 saat pada satu-satu masa sepanjang tempoh tidur.
"Masalah tersebut boleh mengakibatkan oksigen gagal sampai ke otak jika tidak menjalani rawatan segera," katanya yang juga menghidap hipertensi, jantung dan kencing manis.
Selepas menjalani rawatan berhubung masalah tidurnya dua tahun lalu, dia mengakui masalah tersebut semakin pulih dan sudah boleh memandu jarak jauh.

PESAKIT menggunakan alat tekanan saluran pernafasan positif berterusan (CPAP) untuk mengelakkan masalah nafas terhenti ketika tidur.– Gambar hiasan


Jalani ujian
Untuk rawatan masalah kecelaruan tidur atau sering dirujuk sebagai obstructive sleep apnea, Mustafa menggunakan mesin khas dinamakan alat tekanan saluran pernafasan positif berterusan (CPAP).
Peralatan itu diperoleh Mustafa secara percuma kerana dia seorang pesara kerajaan.
Sementara itu, isterinya, Siti Zaleha Daud, 52, juga disahkan mengalami masalah yang sama selepas menjalani ujian.
"Suami perasan saya mengalami gejala sama seperti dirinya, kerap letih dan mudah demam.
"Dia nasihatkan saya pergi menjalani ujian tidur bagi memastikan status kesihatan saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Difahamkan, kos alat CPAP menelan belanja kira-kira RM5,000 ke RM8,000 sebuah bergantung kepada jenama.
"Selepas menggunakan alat tersebut di rumah, ia membantu saya untuk mendapat waktu tidur secukupnya iaitu sekitar enam hingga tujuh jam sehari," jelas Siti Zaleha yang turut memiliki mesin CPAP sendiri.
Menurut Mustafa, anak keduanya, Mohd. Anuar, 29, mula menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah sama.
Kekurangan waktu tidur yang berkualiti boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan lain seperti hipertensi, penyakit jantung, angin ahmar dan kencing manis.
Selain itu, masalah tidur juga boleh menyebabkan berlaku gangguan terhadap tahap kepekaan seseorang, daya tumpuan perhatian dan menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Presiden Persatuan Gangguan Tidur Malaysia (SDSM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, kajian yang dijalankan tiga tahun lalu mendapati 44 peratus daripada pemandu bas di Malaysia mengalami masalah kecelaruan tidur.
"Pesakit yang mengalami masalah kecelaruan tidur berisiko tujuh kali ganda untuk terlibat dalam kemalangan berbanding orang yang tidak menghidapinya.
"Walaupun masalah berkaitan gangguan tidur boleh dirawat, hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit pergi mendapatkan bantuan pakar," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Persidangan Tidur 2013 di ibu negara baru-baru ini.
Kajian rawak yang dijalankan oleh pasukan perubatan Amerika Syarikat menunjukkan 46 peratus daripada pesakit kecelaruan tidur gagal mempamerkan prestasi kerja sempurna berbanding cuma 15 peratus daripada kalangan individu sihat.
Tambah Muhammad Muhsin, jumlah makmal tidur di negara ini perlu ditingkatkan bagi membantu lebih ramai pesakit kecelaruan tidur mendapatkan rawatan sewajarnya.
Selain itu, pakar dalam pengendalian makmal tidur juga perlu seiring dengan nisbah pesakit bagi menjalankan beberapa siri ujian rawatan ke atas pesakit.
"Melihat kepada senario ini, SDSM merancang untuk menyediakan siri latihan meliputi pelbagai peringkat kepakaran bagi tujuan penambahbaikan penyelidikan dan pendidikan yang berterusan.
"Usaha tersebut dilaksanakan bagi memenuhi piawaian rawatan perubatan dalam hal berkaitan tidur," jelas Muhammad Muhsin.
Bagaimanapun, Malaysia masih belum memiliki sebarang kajian secara menyeluruh berhubung masalah kecelaruan tidur.

PEKERJA yang terikat dengan perubahan jadual kerja mengikut syif seperti pemandu bas mudah mengalami kecelaruan tidur dan terdedah kepada bahaya kemalangan jalan raya. – Gambar hiasan


Hari Tidur Sedunia
Sementara itu, Hari Tidur Sedunia (HTS) yang disambut pada 15 Mac lalu diraikan bagi mendidik masyarakat dan pesakit untuk lebih peka dengan kepentingan mendapatkan waktu tidur berkualiti yang mencukupi.
Tidur yang baik, jalani tempoh penuaan yang sihat dipilih menjadi tema HTS bagi mempromosikan tidur yang sihat untuk semua masyarakat daripada segenap lapisan umur.
Tidur yang tidak diuruskan dengan baik boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan seseorang.
Pesakit yang mengalami masalah kecelaruan tidur akan mengalami masalah pernafasan terhenti secara berulang kali disebabkan berlaku penutupan bahagian atas saluran pernafasan pesakit ketika sedang tidur.
Kebiasaannya, keadaan nafas terhenti selama 10 saat akan berlaku lebih daripada lima hingga seratus kali dalam masa sejam.
Buat masa ini, salah satu kaedah rawatan utama yang biasa digunakan oleh pesakit kecelaruan tidur ialah dengan CPAP yang membantu pesakit bernafas secara bebas semasa tidur.
Tekanan udara yang dihasilkan oleh CPAP bertindak menghalang saluran pernafasan pesakit menjadi sempit atau tertutup ketika bernafas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: