Thursday, April 11, 2013

Alasan Pierre pilih Mikail



BAKAT seni yang mengalir dalam darah keluarga aktor dan pengarah Pierre Andre bukan satu perkara baharu. Ibunya, Khatijah Tan merupakan seorang pelakon terkenal, terbaharu, adiknya Mikail Andre pula terjun ke dunia lakonan.
Barangkali akan ada yang berkata, disebabkan kedudukan Pierre sebagai pengarah, dia bebas memilih sesiapa sahaja termasuk adiknya sendiri untuk memegang watak utama dalam filem ke-11 arahannya, Perempuan Muka Surat Tujuh.
Menjawab persoalan tersebut, Pierre, 28, menegaskan, pemilihan dilakukan berdasarkan bakat serta kesesuaian watak - bukan atas dasar ikatan kekeluargaan.
"Sebelum memilih Mika (panggilan untuk Mikail), saya telah terfikir beberapa nama pelakon, tetapi selepas menilai dengan teliti Mika mempunyai karakter yang saya inginkan dalam watak utama itu.
"Walaupun dia masih muda, tetapi apabila berlakon, ekspresi wajahnya terutama matanya yang mempunyai karakter tersendiri menarik minat saya untuk memilih dia," kata Pierre yang ditemui pada majlis doa selamat filem tersebut di pejabat Metrowealth, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tegas Pierre, sebelum ini dia juga pernah melalui perkara yang sama ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dan memegang status pengarah buat kali pertama.
"Ketika mula berlakon dan mengarah, orang akan kata, patutlah saya boleh dapat peluang mengarah sebab saya anak Khatijah Tan. Kiranya, saya tumpang nama ibu untuk berdiri dalam bidang seni.
"Sebenarnya tidak, jika saya tidak ada bakat dan kreativiti, mana ada orang ingin laburkan duit kepada saya untuk buat filem.
"Sama juga halnya dengan Mika, jika dia tidak berbakat, meskipun dia adik saya, saya tidak akan ambil dia berlakon walaupun untuk watak sampingan apatah lagi untuk watak utama," ujarnya serius.
Tidak hanya bersesuaian dengan watak, kata Pierre, keserasian antara mereka memudahkan lagi penggambaran filem yang bermula pada 4 April lalu.
"Saya tahu sangat perangai, apa kelebihan dan kekurangannya. Jadi, dia mudah saya bentuk dan bekerjasama untuk filem ini," ujarnya yang akan menamatkan zaman bujang pada bulan Jun tahun ini.
SAMA-SAMA orang baharu. Nina dan Mikail pertama kali mencuba nasib sebagai pelakon filem.


Cabaran
Selain Mika yang diberi watak utama sebagai Putra, heroin filem ini juga merupakan wajah baharu iaitu Nina Iskandar yang merupakan seorang pelakon dari Brunei.
Sedar tanggungjawab yang digalasnya amat besar kerana mempertaruhkan semua wajah baharu, Pierre yakin penonton hari ini lebih bijak menilai filem bukan berdasarkan populariti semata-mata.
"Bukan tidak boleh ambil pelakon yang sudah popular, tetapi asyik-asyik wajah yang sama sahaja di pawagam. Jadi, saya ambil inisiatif untuk memperkenalkan pelakon baharu.
"Bagi saya, kejayaan sesebuah filem bukan terletak kepada populariti pelakon sahaja, tetapi apa yang penting ialah bakat lakonan yang dipersembahkan kepada penonton," katanya.
Ulasnya lagi, pelakon baharu mudah dibentuk di set penggambaran berbanding pelakon yang telah mempunyai pengalaman.
"Sebagai pengarah, pelakon baharu lebih mudah dibentuk kerana pelakon yang berpengalaman mereka sudah mempunyai identiti dan corak lakonan yang tersendiri.
"Kadangkala bagus tetapi ada kalanya menyukarkan proses penggambaran kerana lakonan yang diberikan mengikut acuan mereka sendiri bukannya pengarah," tuturnya.
Bercakap lebih lanjut tentang naskhah Perempuan Muka Surat Tujuh yang ditulisnya sendiri, skrip filem itu sebenarnya sudah lama ditulis untuk sebuah filem pendek.
Bagaimanapun, untuk penggambaran filem, skripnya telah diolah untuk dipanjangkan sesuai dengan durasi filem.
Minat berlakon - Mikail
Melihat raut wajahnya yang ada iras seperti Pierre, perbezaan yang wujud pada Mikail ialah dia kelihatan sedikit garang dan matang walaupun baru berusia 21 tahun. Namun, minatnya dalam dunia seni tidak boleh disangkal sementelah sejak di sekolah menengah lagi, dia sudah aktif berteater.
"Saya memang minat berlakon. Selepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya ikut abang kerja di belakang tabir untuk beberapa buah filem sebelum saya menyuarakan hasrat untuk berlakon.
"Mulanya saya hanya diberi watak yang kecil sahaja, cukup untuk merasa bagaimana beraksi di hadapan kamera. Selepas berjaya meyakinkan abang, saya diberi peranan yang lebih besar sebagai pelakon pembantu sebelum diberi watak utama," kata Mika yang telah berlakon dalam filem Hantu Dalam Botol Kicap, 1 Lawan 1, Dua Kalimah, Longkai dan Chantek.
PIERRE ANDRE yang bakal berkahwin pada bulan Jun ini masih mahu terus aktif sebagai pengarah pada masa akan datang.


Memiliki abang dan ibu yang bekerja dalam bidang seni merupakan batu loncatan untuknya lebih mudah dikenali ramai tetapi, Mika enggan dirinya terlalu bergantung kepada reputasi abangnya dan ibunya untuk membina kerjaya sebagai pelakon.
"Abang dan bonda (Khatijah Tan) merupakan idola saya dalam bidang lakonan. Mereka banyak memberi saya inspirasi terutama bonda yang tidak jemu memberikan saya tunjuk ajar.
"Buat masa sekarang, mereka berdua masih menjadi orang rujukan utama dalam segala hal kerana saya masih baharu, tetapi jika boleh saya mahu membina kerjaya dengan bakat serta kebolehan saya sendiri," ungkapnya.
Disoal tidakkah dia teringin untuk bergelar pengarah dan penulis skrip seperti abangnya suatu hari nanti, sambil tersenyum, Mikail berkata belum tiba masanya untuk dia memikul tanggungjawab seberat itu.
"Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu saya akan ikut jejak langkah abang tetapi apa yang saya tahu, abang saya lebih bijak kerana dia mampu melakukan dua tiga kerja dalam satu masa yang sama.
"Malah, minat saya pula lebih terarah kepada bidang lakonan berbanding menjadi penulis skrip atau pengarah. Jadi lebih baik saya berlakon sahaja buat masa sekarang," tuturnya jujur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: