Wednesday, May 25, 2011

Yakin keluar unit ke-2 juta

PELAPIS...Mukhriz (tiga dari kanan) bersama graduan yang  menjalani program latihan kejuruteraan prototaip digital yang diadakan di Perodua.
PELAPIS...Mukhriz (tiga dari kanan) bersama graduan yang menjalani program latihan kejuruteraan prototaip digital yang diadakan di Perodua.

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yakin dapat mencapai sasaran pengeluaran dua juta kenderaannya menjelang suku keempat tahun ini apabila berjaya menjual dan mengeluarkan 1.8 juta kenderaan Perodua di pasaran seluruh negara sejak ditubuhkan pada 1993.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya percaya jumlah itu akan disumbangkan model kenderaan sedia ada Perodua iaitu Myvi, Viva dan Alza.


Katanya, Perodua juga akan mengekalkan sasaran jualan kenderaan 195,000 unit tahun ini kerana yakin gangguan rantaian bekalan dihadapinya akibat bencana alam di Jepun pulih sepenuhnya menjelang Julai ini. “Berbanding tahun lalu, jualan kenderaan Perodua sebanyak 189,000 unit yang disumbangkan jualan model Myvi, Viva serta Alza dan kami percaya suku terakhir tahun ini pihak kami akan mencapai pengeluaran dua juta terbabit.

“Lebih-lebih lagi bekalan beberapa komponen enjin dan alat ganti kenderaan yang diimport dari Jepun pulih lebih awal berbanding peserta industri automotif lain kerana kebanyakan vendor kami sudah mula membekalkan komponen kenderaan yang diperlukan susulan memperoleh sumber pasaran lain,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sijil kepada peserta program Digital Engineering Prototyping (DEP) di Rawang, semalam.


Hadir sama menyampaikan sijil, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Mukhriz Mahathir.


Sementara itu Mukhriz berkata, program DEP diadakan dengan kerjasama Institusi Automotif Malaysia (MAI) bagi menyediakan graduan terpilih dengan kemahiran dan pengalaman relevan bagi memenuhi tuntutan industri.

Di bawah program itu, 20 graduan Universiti Malaysia Perlis menyelesaikan enam bulan latihan kejuruteraan prototaip digital di Perodua dan tiga daripada vendornya.


Mukhriz turut melancarkan Facebook Perodua (www.facebook.com/MYPerodua) dan menyampaikan Perodua Alza bernilai RM65,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Sungai Choh. Kenderaan itu akan digunakan bagi kegunaan harian kanak-kanak istimewa pusat terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: