Wednesday, May 25, 2011

27 dakwa ditipu

TERTIPU...(dari kiri) Nazir, Syed dan Zahar menunjukkan laporan polis dan surat pengesahan jawatan.
TERTIPU...(dari kiri) Nazir, Syed dan Zahar menunjukkan laporan polis dan surat pengesahan jawatan.

KUALA LUMPUR: Niat mahu mendapat pekerjaan lebih baik bertukar menjadi mimpi ngeri buat 27 peserta Kursus Asas Pengiring Rapat Orang Kenamaan selepas mendapati mereka sebenarnya ditipu sebuah syarikat kawalan keselamatan milik persatuan bekas polis.

Mangsa dikenali sebagai Syed, 44, berkata, mereka bukan saja dijanjikan pekerjaan tetap sebagai pengiring (body guard) sebaik menamatkan kursus malah turut ditawarkan pendapatan lumayan.


Katanya, mereka yang bersetuju dengan tawaran itu diberikan surat tawaran kerja dan pengesahan jawatan di syarikat itu selain perlu menjalani kursus asas disediakan.

“Kami diberitahu kursus asas itu penting supaya dapat memahami dan lebih bersedia dengan bidang tugas sebagai pengiring sebaik memulakan perkhidmatan.


“Peserta juga perlu membayar RM2,000 setiap seorang iaitu yuran pendaftaran kursus dan kos penginapan sepanjang menjalani kursus selama seminggu,” katanya.


Bagaimanapun, selepas sebulan menamatkan kursus, semua 27 peserta terbabit belum mendapat pekerjaan dijanjikan malah pihak syarikat seperti lepas tangan apabila diajukan soalan.

Lebih menghairankan, Syed berkata, syarikat berkenaan merekrut pekerja baru bagi kumpulan kedua dan ketiga yang sudah menamatkan kursus penghujung April lalu.


“Saya ada menghubungi pihak pengurusan syarikat bagi mendapatkan maklumat lanjut namun jawapan diberikan menghampakan. “Alasannya, permohonan memiliki senjata api bagi peserta berdepan masalah kerana ada segelintir peserta mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Syed yang datang ke Balai Berita di sini, semalam turut ditemani dua rakannya iaitu Zahar, 45 dan Nazir, 27.


Menurut Nazir, akibat terpedaya dengan janji manis syarikat itu, dia berhenti kerja sebagai kakitangan kerajaan memandangkan pendapatan dijanjikan lumayan.


“Saya mahu mencari kerja lebih baik kerana bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi namun, apakan daya saya sebenarnya ditipu dan terpaksa menganggur empat bulan,” katanya yang melihat iklan tawaran pekerjaan itu dalam sebuah akhbar.


Bagi Zahar, sebagai pesara pasukan keselamatan, dia tidak begitu ralat dengan ‘permainan’ licik syarikat itu kerana masih mempunyai perniagaan kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan keluarga.


“Saya terkilan dengan tindakan mereka yang mempermainkan kami terutama peserta remaja yang baru menamatkan persekolahan dan pengajian di kolej,” katanya.


Difahamkan, syarikat yang beribu pejabat di Setapak Indah itu membuat pengambilan baru bagi kemasukan Mac dan April lalu dengan mengenakan yuran pendaftaran lebih tinggi iaitu RM2,500.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: