PETIKAN ayat di atas membuktikan betapa kerja-kerja dakwah mempunyai makna yang besar dalam perjuangan memperkasakan Islam. Namun, tugas itu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.
Malah, terbukti sejak lama dahulu di mana ada di antara pendakwah sanggup menggadai nyawa demi menegakkan syiar Islam.Apa pun, tugas dakwah itu tidak boleh langsung terhenti. Sebagai khalifah yang menumpang di bumi Allah, menjadi kewajipan untuk setiap umat Islam berbuat demikian sejajar dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: Sampaikanlah (dariku) walaupun satu ayat. (riwayat Muslim)
Sedar akan kewajipan itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengambil inisiatif membuka cawangan di Riau, Indonesia yang dikenali dengan nama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia-Riau (Yadimri) dalam 'Jelajah Samudera Yadim-Riau', baru-baru ini.
Biarpun sudah memiliki beberapa cawangan di luar negara termasuk Manchester (England), Ireland, Kemboja dan India, namun pembukaan cawangan di Riau nyata mempunyai 'nilai' tersendiri.
Sebabnya, wilayah yang terkenal dengan jolokan 'Bumi Melayu' itu dihuni oleh lebih 90 peratus umat Islam daripada kira-kira 5.5 juta penduduknya, kata Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir.
Katanya, Riau dipilih sebagai destinasi seterusnya bagi mengembangkan kerjasama dua negara yang dianggap serumpun selain mempunyai persamaan dari segi adat, budaya dan sosio-linguistik.
"Bantuan kita adalah daripada segi material kepada mereka. Ia seakan-akan modal untuk Yadim berdakwah kerana ramai individu di sini mempunyai kepakaran dalam Islam di samping kaedah berdakwah yang mampu menarik golongan sasar," katanya kepada Utusan Malaysia yang menyertai rombongan Yadim ke majlis perasmian cawangan tersebut di pejabat Gabenor Riau, Pekan Baru, Indonesia pada 23 April lalu.
Tema jelajah adalah 'Membangun Jaringan Dakwah Islam di Negeri Melayu Serantau'.
Majlis itu disempurnakan oleh Gabenor Riau, Dr. H. M Rusli Zainal. Turut hadir, Ketua Yadimri, Dr. H. Suryan A. Jamrah, Timbalan Yang Dipertua Yadim, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin serta rombongan 90 kakitangan Yadim.
Sementara itu, Rusli yang ceria pada majlis tersebut berbesar hati menerima kewujudan Yadimri di wilayahnya.
Bukan setakat berdakwah, malah Yadimri diyakini mampu membantu memperkasakan masyarakat Islam di Riau dalam sudut pendidikan dan ekonomi.
"Program ini sejajar dengan visi dan misi 2020 Riau iaitu ingin menjadikan 'Bumi Melayu' ini sebagai pusat ekonomi serta kebudayaan Melayu dalam masyarakat yang berpegang teguh kepada agama.
"Tentunya kami akan terus menyokong program dijalankan Yadim dan Yadimri. Pada saya, ia seakan pelengkap kepada hubungan persaudaraan serumpun yang sudah terjalin sekian lama," ujarnya.
Dalam pada itu, Suryan berkata, beberapa strategi dirancang bagi memastikan usaha dakwah itu berjaya termasuk menempatkan 20 pendakwah di kawasan pedalaman selama dua tahun secara kontrak.
"Kos gaji kira-kira 2.5 juta rupiah (RM863) sebulan akan dibayar Yadimri.
"Kaedah dakwah kini perlu dipelbagaikan mengikut peredaran zaman. Jika dulu pendakwah perlu ada ilmu silat untuk mengembangkan ilmu solat kepada masyarakat umum, kini kita yang mencari jalan dakwah juga perlu kreatif mengembangkannya," kata beliau.
Beliau turut berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta seluruh warga Yadim kerana menjadikan pembukaan Yadimri sebagai kenyataan.
"Insya-Allah kami akan membalas usaha itu dengan menjadikan Yadimri badan dakwah unggul.
"Malah sejak penubuhannya diuar-uarkan di media di sini, ketua-ketua pertubuhan bukan kerajaan dakwah dan Islam yang menyatakan persetujuan untuk bergabung," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: