Sunday, May 1, 2011

Kek cawan Fariza pilihan ramai


Nur Fariza Razali (kanan) bersama kakaknya Nur Elynda Razali mengusahakan kek cawan sepenuh masa.


MEMILIH kerjaya yang jauh menyimpang daripada bidang yang yang dipelajari di universiti tidak dianggap sesuatu yang merugikan.

Sebaliknya, bagi Nur Fariza Razali, 25, ia sebahagian daripada proses untuk menambah ilmu yang merupakan harta paling berharga.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Komunikasi Perhubungan Awam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu nekad memilih bidang perniagaan kek cawan sebagai karier sepenuh masa.

Hari ini, perniagaan yang diusahakan bersama kakaknya, Nur Elynda Razali, 27, itu bukan sahaja terkenal di kalangan penggemar dan peminat kek cawan tetapi juga berkembang maju dan mampu menjana pendapatan lumayan.

"Saya bukan sahaja memiliki ilmu yang dipelajari ketika pengajian kerana apabila menceburi kerjaya ini, saya memperoleh pengetahuan berganda iaitu tahu mengenai selok-belok dunia perniagaan.

"Lagipun, saya masih mempratikkan ilmu perhubungan awam ketika berurusan dan berbual dengan pelanggan yang mana ia banyak membantu jualan.

"Selain minat, ia membolehkan saya menentukan waktu kerja sendiri dan memberi pulangan pendapatan lumayan, mungkin lebih daripada jika bekerja di pejabat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Ampang, baru-baru ini.

Nur Fariza berkata, dia mempelajari cara membuat kek cawan bersama Nur Elynda kerana tertarik dengan proses, corak dan hiasannya.

Lama-kelamaan, jelasnya, timbul minat dalam jiwa untuk membantu Nur Elynda sebelum dia bersetuju menjadi rakan kongsi dalam perniagaan itu yang bermula 2008 apabila dipelawa kakaknya.

Sejak itu, dia kerap menyertai pelbagai kursus perniagaan termasuk kaedah pembungkusan, perakaunan dan penjenamaan semula yang dianjurkan agensi kerajaan serta swasta bagi menambahkan pengetahuan berhubung perniagaan.

Menurut Nur Fariza, dalam menyiapkan setiap tempahan pelanggan, kakaknya akan memfokuskan tugas kepada menyusun bunga-bunga hiasan. Manakala dirinya lebih kepada melukis aising.

Setiap bulan, katanya, mereka mampu menghasilkan kira-kira 1,500 biji kek cawan dan jumlah tempahan yang diterimanya adalah antara 16 biji hingga 1,000 biji.

Bagaimanapun, mereka yang berminat membeli kek cawan dalam jumlah yang banyak perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal.

Sehingga kini tambahnya, dia memiliki hampir 200 corak dan rekaan kek cawan untuk dipilih selain menerima hiasan mengikut idea pelanggan.

"Harga pula mengikut saiz sama ada mini, S atau M, corak, rekaan, hiasan dan jumlah kek cawan yang ditempah.

"Pada masa sama, kami menawarkan servis penghantaran kek cawan ke lokasi diminta pelanggan terutama bagi pelanggan yang ingin membuat kejutan atau menghadiahkannya kepada seseorang," ujarnya.

"Bagi yang berminat menempahnya, boleh menghubungi kami di talian 012-3506342 selain melalui e-mail cuppyluscious@gmail.com dan laman web, http://cuppyluscious.blogspot.com," ujarnya.

Sementara itu, Nur Fariza dan Nur Elynda turut menganjurkan kelas mempelajari teknik pembuatan kek cawan kepada mana-mana individu yang berminat.

"Kami mengadakan kelas ini untuk menggalakkan lebih ramai individu terutama golongan muda supaya berminat membuka dan bijak menguruskan perniagaan sendiri kerana ia amat menguntungkan.

"Yuran dikenakan adalah RM180 seorang dan ia merangkumi bahan serta tunjuk ajar kaedah yang betul membuat kek cawan, bermula dari proses membancuh adunan sehingga menghiasnya.

"Mereka yang berminat mengikuti kelas selama empat jam itu boleh menghubungi kami untuk pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: