Monday, May 23, 2011

UPM mahu tingkat bilangan pelajar Sarawak


Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan Radin Umar semasa perasmian majlis pelancaran Program Persediaan Diploma di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, di Sarawak, baru-baru ini.


INISIATIF Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menyediakan tempat dan peluang kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti Program Persediaan Diploma di Kampus Bintulu akan membantu dalam mempertingkatkan bilangan pelajar Sarawak dan Sabah di kampus berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk merealisasikan hasrat berkenaan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tiada halangan untuk memberi kebenaran kepada UPM untuk melaksanakan inisiatif mereka sendiri.

"Kementerian memberikan lampu hijau kepada UPM untuk memilih sendiri calon-calon ke program diploma berkaitan pertanian tanpa melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

"Usaha tersebut termasuklah seperti mengadakan sesi temuduga di seluruh negara bagi meningkatkan bilangan pelajar yang akan memilih program diploma berkaitan pertanian di kampus tersebut.

"Melalui cara ini, UPM akan dapat mengenalpasti calon yang benar-benar berminat dan akhirnya dapat mengatasi isu kekurangan permohonan ke program berkenaan," katanya pada majlis pelancaran program tersebut di UPM Kampus Bintulu, Sarawak, baru-baru ini.

Menurut beliau, laluan alternatif yang disediakan merupakan satu kaedah terbaik terutamanya bagi masyarakat Sarawak serta Sabah mendapat peluang melanjutkan pengajian tinggi khususnya dalam bidang pertanian di kampus ini.

"Perlaksanaan program seumpama ini akan meluaskan akses dan meningkatkan kualiti pendidikan dengan menyediakan laluan alternatif kemasukan pelajar yang mempunyai pelbagai kemahiran dan bakat.

"Program ini juga membuka peluang kepada golongan pelajar yang berasal daripada keluarga yang terpinggir dari segi sosio-ekonomi," jelas beliau.

Terangnya lagi, program berkenaan akan membuka pengambilan sebanyak 80 orang setahun yang mampu melonjakkan purata peratus pelajar Sarawak dan Sabah ke program-program diploma di UPM Kampus Bintulu yang sebelum ini tidak pun mencecah 10 peratus bagi setiap kemasukan.

"Dari 2005 hingga 2010, hanya 228 atau 9.45 peratus pelajar daripada Sarawak dan 96 atau 4.32 peratus merupakan pelajar dari Sabah yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma di kampus ini.

"Kita mahu melihat anak-anak muda di Sarawak diberi peluang dan merebut nikmat untuk sama-sama mendapat pelajaran di tahap yang paling tinggi," ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohabi berkata, pelancaran Program Persediaan Diploma di UPM Kampus Bintulu ini dilihat sebagai platform terbaik memenuhi keperluan masyarakat terutamanya pelajar lepasan SPM sebagai laluan alternatif menyambung pengajian ke peringkat diploma.

"Program persediaan ini berupaya memberi pengisian bermakna kepada sektor pembangunan pendidikan negara di mana para pelajar akan diperkaya dengan pengetahuan dan kemahiran asas sebagai persediaan mereka ke peringkat diploma dalam bidang pertanian, perikanan, perhutanan dan pengurusan perladangan makanan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: