Monday, May 23, 2011

Program CPR Kolej PTPL


BANTUAN CPR boleh dipelajari oleh semua peringkat umur dengan sekurang-kurangnya seorang dalam setiap keluarga perlu menguasainya.


ANDA tahu apa itu CPR (cardiopulmonary resuscitation). Macam pernah dengar bukan? Atau agaknya tahu tetapi tidak pasti? Jika jawapan anda 'ya' untuk soalan pertama tadi, adakah reaksi anda masih sama andainya ditanya soalan yang sama?

CPR atau kardiopulmonari pernafasan adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari oleh setiap orang. sama ada anda seorang suri rumah, pelajar universiti, guru atau artis terkenal.

Ia merupakan kemahiran universal yang menyediakan anda dengan langkah-langkah penting menyelamat di saat-saat berlakunya kecemasan.

Malangnya, kebanyakan orang masih tidak tahu cara melakukan CPR . Malah, dalam setiap 10 mangsa yang mengalami masalah jantung terhenti yang dimasukkan ke hospital, hanya tiga sahaja yang berjaya diselamatkan.

Semuanya gara-gara sebilangan besar saksi di tempat kejadian tidak dilengkapi dengan kemahiran dan teknik melakukan CPR kepada mangsa.

Menyedari hakikat itu, Kolej PTPL cawangan Kota Bharu, melalui Unit Pembangunan Pelajar (UPP) dan Kelab Kembara dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam (JPA) menganjurkan Kem Pengendalian Pertolongan Cemas yang bertempat di Hutan Lipur Lata Belatan, Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Pengarah program , R. Hareetaran berkata, ia bertujuan memberi ilmu dan pendedahan tentang langkah-langkah yang perlu diambil apabila berlaku kes-kes kecemasan.

"Aktiviti pertolongan cemas seperti ini perlu sebagai persediaan awal agar dapat bertindak bagi menyelamatkan nyawa keluarga dan orang awam apabila berlaku kecemasan," katanya.

Menurut Hareetaran, program yang dijalankan selama dua hari itu juga melibatkan latihan teori dan praktikal mengenai teknik pemulihan pernafasan dan jantung iaitu CPR.

"Ini merupakan satu konsep di mana setiap pelajar tahu bagaimana untuk melakukan CPR . Ini penting kerana kecemasan boleh berlaku di rumah dan jika ada yang tahu untuk membantu, nyawa orang yang tersayang mungkin dapat diselamatkan.

"Antaranya termasuk ahli keluarga yang mengalami serangan penyakit jantung, lemas, renjatan elektrik dan masalah lain yang sejumlah besarnya terjadi di rumah atau di sisi orang tersayang. Sehubungan itu, pengetahuan dan langkah CPR yang dilakukan secara betul mampu menggandakan peluang menyelamatkan mangsa," katanya.

Selain itu, program dua hari itu turut menguji peserta juga dengan latihan kecergasan dan meredah denai bagi melihat khazanah alam seperti keunikan flora dan air terjun yang masih terpelihara di kawasan tersebut.

Penganjuran aktiviti sebegini adalah usaha baik pihak kolej bagi memberikan pengalaman pembelajaran luar kelas yang menarik selain melahirkan pelajar yang serba boleh dan kompeten kepada dunia luar.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: