Monday, May 23, 2011

Universiti LimKokWing tawar kursus kreatif


Pegawai Universiti LimKokWing menerangkan kursus yang ditawarkan oleh institusi itu kepada pengunjung Festival Hari Guru 2011 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.


Universiti LimKokWing akan meluaskan skop pengajian dan khidmatnya dengan menawarkan beberapa program baru bagi sesi pengajian tahun ini sebagai langkah untuk memperkasa pusat pengajian tinggi itu.

Ia melibatkan program kreativiti multimedia; komunikasi, media dan penyiaran; arkitek dan seni bina serta seni reka dan inovasi.

Pengarah Identiti dan Perhubungan Awam Media, Meor Azahar berkata, LimKokWing mensasarkan pengambilan pelajar tempatan untuk jumlah keseluruhan menjangkau 2,000 penuntut pada sesi akan datang.

“Ia selaras dengan visi universiti LimKokWing untuk menjadi peneraju pembangunan modal insan bercirikan kreativiti dan inovatif bagi kesejahteraan global.

“Universiti LimKokWing juga akan menyediakan program akademik berkualiti dan relevan sejajar dengan visi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Festival Hari Guru 2011, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Meor berkata, Universiti LimKokWing akan menjadi institusi pengajian tinggi Malaysia pertama yang menawarkan program pengajian berdasarkan kebolehpasaran global.

“Kita telah meliputi beberapa negara di Asia iaitu Malaysia, China dan Indonesia. Di Eropah pula, London manakala Afrika, Botswana dan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan LimKokWing University dengan jenama Malaysia kepada rakyat seluruh dunia.

“Hari ini terbukti apabila pelajar menamatkan pengajian di universiti LimKokWing dan berjaya melalui tranformasi sehingga menjadi rebutan oleh firma-firma korporat baik di dalam negara mahupun luar negara,” jelasnya.

Menurut beliau, graduan LimKokWing kesemuanya berjaya memperoleh pekerjaan dan mereka juga disambut baik oleh industri di negara ini.

1 comment:

  1. adakah limkokwing ni dia menawarkan kursus bg yang berminat dalam bidang nyanyian,fotografher n grafik designer.dekat atas 2 ad tertulis media multimedia dan seni reka adakah ia kursus yg saya maksudkan

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: