Sunday, May 8, 2011

Trauma legasi Kak Limah


Sering mengimbas kembali kenangan bersama arwah ibunya di kala waktu lapangnya.


HATI Ismail Saaid terguris setiap kali mendengar jenaka mempersendakan nama ibunya, Halimah Walit. Ibunya seorang bidan disegani di Kampung Sayong Lembah, Perak. Ini satu penempatan yang terletak di tebing kanan Sungai Perak berhadapan Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak.

Arwah ibu yang mesra disapa Kak Limah kalangan orang kampung itu memang wanita cukup sempurna di mata Ismail. Seorang ibu yang cekal membesarkan 11 orang anak menerusi tiga perkahwinan. Bersikap lemah lembut, berbudi bahasa dan tak pernah mengeluarkan kata kesat sepanjang membesarkan cahaya mata.

Sebagai anak kedua menerusi perkahwinan ketiga Halimah bersama bapa, Saaid Anjang Khatib, Ismail dilihat cukup rapat dengan ibunya sejak kecil. Ikatan tersebut masih sebati biarpun Halimah menutup mata tanpa dirinya di sisi.

Allahyarham Halimah meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas mengurut tiga pesakit di Kampung Sayong Lembah secara berturut-turut.

Ismail yang bertugas sebagai anggota tentera di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ketika itu hanya sempat menjenguk jenazah sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam Sayong Lembah. Kejadian bersejarah pada tahun 1968 tahun itu masih dikenang sampai ke hari ini.

Pemergian Halimah menghadap Ilahi kala usia 82 tahun itu cukup terkesan di hati Ismail. Sejak itu, Ismail kerap memanjatkan doa agar ibunya tenteram bersama orang-orang beriman.

Bagaimanapun, jiwa bekas tentera British dari tahun 1949 hingga 1952 kini kemudiannya berkocak geram. Semuanya berlaku selepas salah seorang cucunya memasang cakera padat filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, minggu lalu. Filem arahan Mamat Khalid itu dianggap telah mempersendakan ibunya.

‘‘Saya tak boleh nak terima bila Kak Limah dijadikan bahan ejekan. Kak Limah sebenar tak macam itu. Dia manusia dihormati di Kampung Sayong Lembah. Bukan jadi hantu dalam filem itu,’’ katanya yang punya ingatan kuat dan jelas pertuturan walaupun menghidap strok sejak tiga tahun lalu.

Penggunaan ayat seperti ‘kita bako aja’ dan ‘ghonjang’ (rodok) menaikkan marah Ismail serta isterinya, Rojamah Abu Bakar, 70. Bagi mereka, perkataan itu mengandungi maksud tersirat yang jelas difahami terutama di kalangan penduduk kampung berkenaan.

‘‘Saya tahu filem itu dibuat tanpa merujuk mana-mana individu sama ada hidup atau mati. Tapi kenapa mempermainkan nama Kak Limah di Kampung Sayong Lembah itu? Sebab hanya ada seorang saja Kak Limah di situ. Orang gila yang disangka hantu dalam filem itu memang ibu saya.

‘‘Kenapa guna nama orang yang ada legenda sendiri di Kampung Sayong Lembah? Sedangkan ada banyak lagi nama yang boleh diguna pakai,’’ hujahnya.

Ditanya adakah Ismail punya bukti kukuh mengaitkan ibunya dengan watak yang terdapat dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, lelaki ini punyai alasan kukuh.

Ia mengaitkan nama kampung, tanah perkuburan dan loghat yang sama. Semua paparan tersebut jelas sebagai bukti. Sekali gus membuatkan Ismail terasa dekat dengan filem berkenaan.

Malah Ismail juga punya surat beranak yang tertera nama ibunya. Juga gambar peringatan yang diambil bersama dengan ibu dan keluarga di Bagan Datoh, Perak pada 1 Disember 1959.

Delimawati memang tak patut

Termometer kemarahan Ismail bertambah apabila cucu saudaranya sendiri, pelakon Delimawati melakonkan watak sebagai Kak Limah.

Pada hematnya, Delimawati perlu menegakkan kebenaran salasilah keturunan mereka. Dia perlu meminta penerbit filem menukar nama karakter utama Kak Limah sebagai hantu kepada nama lain.

‘‘Saya cukup kesal dengan dia (Delimawati). Bawa watak hantu guna nama moyang sendiri. Sebab dia adalah cicit Halimah Wahit dari suami pertama, Ibrahim. Ke mana deria rasa malu dia melakonkan watak buruk moyang sendiri?’’ berang Ismail.

Delimawati juga pernah merasai kasih sayang daripada Halimah. Merasa susah payah semasa semua adik beradik berkongsi makanan harian.

Sebagai datuk saudara, Ismail memang mengharapkan salam kemaafan daripada Delimawati berhubung perkara tersebut. Namun, tiada reaksi dari pihak Delimawati sampai ke hari ini.

‘‘Saya ada minta anak sulung, Noriah menghubunginya. Belum sempat saya bercakap dengan dia (Delimawati), dia terus tutup panggilan. Saya tahu dia ada hantar SMS pada Noriah tapi tak tahu apa kandungan SMS itu,’’ bongkar Ismail.

Teruskan saman malu

Pada Noriah, Ismail menyampaikan hajatnya mahu melantik peguam untuk bertindak tegas isu berkenaan. Dia mahu menyaman malu pembikin filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

‘‘Saya buat begini sebab sudah tak tahan mendengar sendaan orang terhadap ibu. Saya tak boleh tidur lena selepas menonton filem itu. Setiap malam asyik berfikir. Sebab itu, saya cukup yakin dengan keputusan untuk menyaman.

‘‘Tak apalah, saya keluarkan sedikit duit bayar kos guaman. Asalkan pihak-pihak tertentu itu dapat pengajaran. Patutnya perlu ada siasatan sebelum fikir membuat filem,’’ katanya penuh optimis.

Ditanya bilakah Ismail akan melantik peguam untuk tujuan, katanya ia tergantung kepada Noriah untuk mempercepatkan proses berkenaan. Mencari peguam yang boleh membawa kes berkenaan ke peringkat pengadilan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: