Sunday, May 8, 2011

Kenapa Tasha Shila di benci?




TERNAMPAK sahaja kelibat pelakon Vanidah Imran, Siti Shahrizah Saifuddin (Eja), Ellie Suriati atau Eman Manan di kaca televisyen, mata si kecil itu terus sahaja terpaku mengamati setiap inci gerak lakonan mereka.

Dalam hati tertanam azam dan tekad, “Satu hari nanti aku pun nak jadi macam mereka!”

Lebih kurang begitulah gambaran situasi pelakon muda bernama Tasha Shilla Razak semasa kecil yang begitu teruja untuk menjadi seorang pelakon sebagaimana idola-idolanya ketika itu.

Menjangkau usia 24 tahun, kini anak jati Kuala Lumpur ini sudah boleh tersenyum puas kerana apa yang diimpikannya sudah pun menjadi realiti.

Melalui drama berjudul Gemilang, Tasha Shilla mula mencuri perhatian ramai menerusi karakter Cikgu Ruhana.

Dari situ, namanya mekar mengharum dan kewujudannya dalam industri seni tanah air semakin disedari.

Bagaimanapun seperti lazimnya, muka-muka baru seperti Tasha tidak akan terlepas daripada cuitan orang-orang industri yang mungkin mahu menguji kecekalan hatinya sebagai budak junior.

Ternyata Tasha juga terkena

Di sebalik kualiti lakonan yang ditonjolkan, ada juga mulut-mulut nakal yang mengatakan Tasha hadir dalam industri dengan berbekalkan kejelitaannya semata.

Dalam erti kata lain, rupa paras menawan yang dimiliki digunakan olehnya sebagai senjata untuk mencipta nama dalam bidang yang tentunya penuh dengan persaingan ini.

Mempelawa dirinya berbicara isu ini, gadis berwajah persis Krisdayanti ini langsung tidak memberikan reaksi terkejut dengan pertanyaan itu.

Sempat ketawa, kata Tasha, dia tidak menyangka ada pihak yang cuba menjadikan ia sebagai isu besar sedangkan ia bukanlah faktor utama dia muncul dalam industri.

“Saya cantikkah? Haha..kalau iya pun itukan kurniaan Allah. S.W.T. Saya bersyukur kerana di atas kurniaan ini.

“Tapi tak pernah pula terlintas di fikiran saya yang untuk menggunakan kecantikan untuk menjadi pelakon atau terkenal.

“Tanggapan itu salah. Saya lebih percaya kepada bakat yang ada dan bukannya rupa paras sahaja. Kalau cantik tapi tak ada bakat pun buat apa. Betul tak?” katanya.

Menganggap rupa paras tidak penting, kata Tasha, dia lebih suka orang menilai dirinya dari sudut mutu lakonan.

Malah, jika ditakdirkan satu hari nanti wujudnya persaingan antara dia dengan orang-orang baru yang mungkin meletakkan popularitinya di kedudukan paling bawah, dia tetap yakin kecantikan bukanlah segalanya.

“Bayangkan kalau saya sudah menjadi pelakon senior, ketika itu industri pula semakin ramai bakat-bakat baru, masa tu orang tak akan pandang rupa paras dah.

“Orang akan menilai bakat saya. Kecantikan bersifat sementara dan saya percaya masyarakat kita sudah bijak menilai.

“Saya sedar, sebagai pelakon baru, saya pasti akan dikenakan dengan soalan-soalan begini. Lambat laun saya pasti kena hadapinya juga.

“Ala...sekadar cuit-cuit manja, saya tak akan ambil hati pun. Cuma, ingin saya tekankan bahawa bukan niat saya untuk menjual muka dalam industri. Kalau jual bakat itu memang iya!” katanya berseloroh.

Disangka sombong

Kalau diperhatikan, gadis berbintang Aquarius ini memiliki raut wajah yang agak ‘tajam’.

Disebabkan itu, maka janganlah ada yang buat-buat terkejut jika dia dikatakan sombong gara-gara air mukanya yang sebegitu.

Hal ini juga turut diakui si empunya diri.

Menurut anak sulung dari tiga beradik ini, dia pernah menerima ‘sapaan’ beberapa individu senior dalam industri kerana disangka sombong.

“Kelakar juga sebab Tasha bukanlah orang yang begitu. Memang saya tak nafikan raut wajah saya ni seringkali menyebabkan orang tersalah sangka dengan saya.

“Ada yang kata saya sombong, padahal tak pun. Dah banyak kali dah saya terkena. Bila jadi macam tu, saya gelak jelah.

“Tapi memang saya akui, kalau saya tak senyum, orang mesti ingat saya berlagak dan sombong.

“Janganlah begitu, kenalilah saya dulu, baru boleh nilai saya,” katanya sambil mengaku mahu terus berusaha membetulkan persepsi masyarakat terhadap dirinya berhubung hal ini.

Gadis antagonis

Sebenarnya, gadis ini sudah pun bergiat dalam dunia hiburan sejak berusia 17 tahun lagi.

Kemunculan awalnya adalah menerusi filem KL Menjerit dan kemudiannya bercambah dari satu drama ke satu drama sehinggalah yang terbaru drama berjudul Sahara yang kini bersiaran di TV3.

Bagaimanapun, ketika itu, tidak ramai yang sedar akan kehadirannya. Sama ada watak yang diberi kurang mencabar atau mungkin bukan masanya lagi untuk dia menyerlah.

Namun, menerusi drama Gemilang dan Sahara, Tasha berjaya menakluk perhatian ramai.

Ternyata, Tasha meraih rezekinya melalui watak jahat atau antagonis yang berjaya meninggalkan kesan di hati pengikut setia dua drama popular tersebut.

Tidak kisah jika dikenali sebagai perempuan jahat, ulas Tasha dalam positif, ia sekurang-kurangnya menjadi bukti bahawa lakonannya melekat di hati peminat.

“Lebih baik saya dikenali dengan cara begitu daripada saya dikenali dengan perkara-perkara negatif lain terutamanya kontroversi.

“Kalau orang tak suka saya kerana watak jahat yang saya bawa, maka itu bermakna lakonan saya menjadi.

“Sepatutnya saya gembira. Buat apalah saya nak bersedih mengenangkan ‘kejayaan’ saya tu.

“Kalau nak tahu, ramai juga peminat yang datang kepada saya dan memuji lakonan saya dalam dua drama tu. Malah ada yang mengaku memang benci saya sebab watak tu.

“Tapi dalam masa yang sama mereka faham ia hanyalah lakonan semata-mata.”

“Macam yang saya katakan tadi, karakter saya di luar tidaklah jahat begitu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Tasha, peminat-peminat boleh menyaksikan transformasi kelainan watak yang akan dibawanya menerusi drama berjudul Sejundai arahan Faroz Loy yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

“Buat masa sekarang, penggambaran drama ini masih lagi berlangsung dan dijangka habis sekitar Jun nanti.

“Kalau nak tengok Tasha dengan watak yang baru, tunggulah drama tu bersiaran nanti,” katanya mengakhiri temu bual bersama Pancaindera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: