Sunday, May 8, 2011

Bercinta dengan Chef Wan di Paris


MENAIKI bot menyelusuri sungai Seine menghidangkan pemandangan penuh keindahan.


Bayangkan begini, destinasinya ialah ibu kota Perancis dan anda dilayan oleh seorang ‘pemandu pelancong’ yang wajahnya begitu tersohor, diminati seantero dunia.

Pemandu pelancong yang ramah tamah itu akan ke hulu ke hilir di kota Paris ini menemani anda dengan penuh kesetiaan di sisi.

Anda selama beberapa hari dilayan bagaikan ‘sahabat karib’ kepada pemandu pelancong bernama Datuk Chef Wan itu bertempat di destinasi bisnes dan budaya terdepan di dunia.

Mendaki Eiffel Tower, menyelusuri Sungai Seine, berkeliling kota yang terkenal dengan bangunan agam antik, sesekali dia duduk di sebelah, mencelah, mengusik, bergurau dan ‘membebel’ tak habis-habis.

Sementelah Chef Wan sendiri sudah ‘tak terhitung’ banyak kali ke kota Paris, fasih sekali mencari jalan dan lokasi menarik untuk dituju. Tempat paling bagus untuk membeli-belah? Oho, dialah pakar segala-galanya dan anda tunggu hanya untuk bertanya. Boleh jadi ‘peta bergerak’ juga.

Oh, pastilah ia menjadi kenangan percutian yang terhebat sepanjang hidup, bukan?

Dan lagi satu. Untuk menikmati semua keseronokan itu, anda hanya mengeluarkan RM5,850. Biar betul, tetapi ia memang realiti melalui pakej yang dianjurkan MASholiday.

Kena pula dengan cara, pemergian anda bukan bersendirian, sebaliknya dengan ditemani oleh selebriti kebanggaan ramai seperti Chef Wan, mesti ramai sahabat yang cemburu tidak terkata.

Pengalaman itu dilalui oleh 12 rombongan ‘Cik Kiah’ ke Paris yang berlangsung pada 16 hingga 21 Mac lalu.

Kami sampai di Lapangan Terbang Charle de Gaulle pada 17 April dan terus dibawa ke lokasi penginapan bertaraf lima bintang, Concorde La Fayette dan di sini bermula sesi ramah mesra dengan Chef Wan yang juga merupakan ikon kepada MASholiday sepanjang tahun ini.

Kena pula dengan Chef Wan yang memang tak lokek untuk bercerita itu ini, begitu begini, sampai semua cerita yang ‘sensor’ pun akan dikhabarkan. Itu pun kalau ada yang berani bertanya. Kalau buat ringan mulut bertanya itu ini, memang semua jawapan yang diberikan oleh Chef Wan eksklusif belaka, jawapan yang tak boleh buat masuk dalam akhbar.

Memang itulah sifat Chef Wan yang ramah tamah dan tak pandai berpura-pura. Sebab itu kepuasan tergambar pada wajah setiap peminat yang dapat menikmati hari istimewa bersama Chef Wan di kota cinta ini.

Hari pertama, lebih kepada sesi santai, beramah mesra dan berkenalan lebih rapat dengan setiap peserta yang sudi berkongsi masa mereka melalui pakej ini.

Chef Wan pula sempat menjalani penggambaran untuk rancangan TV9, lokasi ini memberikan footage menarik yang membuatkan kita cukup tertarik.

Hari kedua dibawa ke Muzium legenda zaman berzaman, Lourve Museum yang pernah menjadi istana penempatan bangsawan Inggeris semenjak kurun ke-15 lagi.

Nah, di sini bertemu potret Monalisa dari kejauhan yang matanya memerhati setiap daripada kita dan kemudian patung-patung lilin yang kelihatan cukup hidup dan berseni menempa era kegemilangan kerajaan beraja Perancis pada kurun terdahulu.

Pada hari ketiga, sementelah menjadi tetamu kepada tukang masak terkenal dunia, ‘tak sah’ kalau tidak berkunjung ke lokasi yang menjadi kegemarannya, sekolah masak memasak terkenal di Paris, Cordon Blue Culinary.

Di sini, dapatlah belajar seni memasak pastri kegemaran dan jangan cemburu, kami diberikan sijil khas kerana sanggup lebih empat jam menyaksikan demo masak memasak yang dikendalikan oleh tenaga pengajar profesional institusi yang telah melahirkan ribuan tukang masak terkenal dunia.

Chef Wan juga merupakan salah seorang chef yang dilantik sebagai pensyarah sambilan di Cordon Blue Culinary ini. Sesuatu yang perlu dibanggakan, kerana bukan mudah untuk mendapat peluang seperti yang diperolehi anak kebanggaan Malaysia ini.

Nah, hari keempat masa yang ditunggu-tunggu, mendaki Eiffel Tower, tempat di mana semua orang mahu jatuh cinta sekali lagi, katanya. Seawal pukul 7 pagi semua sudah bersedia meskipun Eiffel Tower hanya 10 minit perjalanan dari hotel penginapan.

Mengenang kehebatan Eiffel Tower yang dibangun sebagai peringatan Revolusi Perancis di Pameran Universal pada 1889, ia adalah keagungan arkitektur dan pernah menjadi menara tertinggi di dunia hingga 1930.

Selepas itu Place De La Concorde, Arch de Triumphal, Natra-Dame de Paris dan Opera Natioanl De Paris menjadi persinggahan.

Sudah tentu lebih dua jam menyelurusi Sungai Seine, turut tercatat sebagai aktiviti penuh uja. Menyelusuri sungai dengan menaiki bot penambang, sambil dihidangkan dengan pemandangan kota Paris yang terbentang.

Pendekt kata, aktiviti yang cukup padat, tetapi dalam jangka masa berkenaan kami berpeluang memahami, mendasari dan belajar serba sedikit budaya orang Perancis di bumi Paris.

Oh Paris, kami ingin kembali ke tanahmu lagi, dilain hari.

Paris rumah kedua

Kalau Malaysia tempat kelahiran, negara Perancis pula menjadi negara yang paling banyak dikunjungi Chef Wan sepanjang lebih 50 tahun kehidupan.

“Jangan tanya sudah berapa kali sampai ke Paris ni. Abang Wan dah tak boleh nak kira lagi dah. Kau tulis sajalah, lebih 50 kali,” kata Chef Wan ketika saya bertanya jumlah kunjungan ke negara berkenaan.

Bukan sahaja tempat dia menimba ilmu dalam dunia masakan, Paris juga menjadi lokasi awal pembabitan Chef Wan secara profesional sebagai tukang masak.

“Dulu pernah bekerja di hotel ternama di sini lebih lima tahun. Sebab itu Paris sudah jadi biasa sangat, dah macam negara sendiri. Semua selok belok Paris ada dalam tangan aku ni, Cik Gayah oi,” katanya, memberi penerangan dalam versi penuh humor kepada peminat yang setia mengekori.

Berkenaan dengan tugasannya sebagai duta kepada MASholiday, selain bergembira melancong, sebenarnya ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Apa yang lebih penting lagi, Chef Wan menganggap usaha dilakukan MASholiday ini adalah peluang terbaik untuk mendekati golongan peminat yang selama ini sering menyokong perjuangannya.

“Inilah masa saya bersama dengan mereka yang banyak menyokong kerjaya saya. Kadang-kadang rasa terharu juga bila orang sanggup bayar mahal-mahal untuk ke satu-satu destinasi percutian semata-mata mahu bersama dengan personaliti ‘reput’ macam saya. (Ketawa)

“Sebab itu setiap peminat yang bersama dengan Wan dalam setiap percutian akan dilayan sama rata. Mereka sudah jadi macam kawan-kawan dan tak kekok bila Wan mendekati.

“Walaupun untuk menjayakan acara MASholiday ini Wan terpaksa mengorbankan banyak tugasan lain, Wan sangat puas sebab ini adalah peluang keemasan untuk bersama dengan peminat ke seluruh dunia,”kata Chef Wan yang mempunyai dua misi lagi bersama pihak MASholiday selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: