Saturday, May 7, 2011

Tragedi Pos Dipang


ANGGOTA mencari dan menyelamat mengangkat mayat salah seorang mangsa tragedi banjir lumpur Pos Dipang yang meragut 44 nyawa pada 22 Ogos 1996.


TRAGEDI Pos Dipang sudah lama berlalu. Mungkin kebanyakan daripada kita tidak lagi mengingati kejadian banjir lumpur yang berlaku pada lewat petang 29 Ogos 1996 itu. Namun, bagi yang terlibat secara langsung, detik-detik penuh debaran tersebut, masih segar dalam ingatan.

Ketika negara sedang sibuk mengadakan persediaan untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-39, ketika itulah perhatian terarah ke sebuah kawasan pedalaman di Kampar, Perak.

Banjir lumpur yang berlaku telah meragut 44 nyawa. Daripada jumlah itu, 39 mayat ditemui manakala lima lagi gagal dikesan sehingga kini.

Sebelum itu, tiada siapa menyangka sungai yang mengalir tenang, boleh bertukar menjadi teramat ganas.

Selain masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan sepanjang Sungai Dipang, turut menjadi mangsa ialah empat sekeluarga berketurunan Tionghua yang tinggal di kampung berdekatan.

Di sebalik kejadian luar jangka itu, hakikatnya, ia telah membuka mata banyak pihak - kerakusan manusia terhadap khazanah alam pasti akan membawa padah kepada sesiapa sahaja.

Tragedi Pos Dipang yang mencatatkan korban terbesar akibat banjir lumpur itu dilaporkan berkait rapat dengan aktiviti pembalakan berleluasa oleh pihak-pihak tertentu di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, dalam masyarakat Orang Asli, mereka percaya bencana buruk yang memusnahkan penempatan tersebut dalam sekelip mata adalah isyarat kemurkaan Tuhan.

Apa pun, tragedi Pos Dipang telah menuntut pelbagai agensi untuk bekerja keras melaksanakan tugas masing-masing. Antara yang tidak dapat dipisahkan dengan masalah Orang Asli ialah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) atau kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Secara amnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 400 anggota penyelamat terdiri daripada polis daerah, pasukan bomba pusat, pasukan 2 Briged Rejimen Renjer Diraja Ipoh, Pasukan 69 Komando Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Batalion Ketiga PPH Bidor, kakitangan Pejabat Daerah Kampar dan Pasukan Pertahanan Awam Ipoh serta pihak-pihak lain.

Kini, penempatan baru Orang Asli Pos Dipang yang didirikan tidak jauh daripada lokasi kejadian, hanya mempunyai seorang tok batin bagi menyatupadukan penduduk di kawasan itu.

Wartawan S2, SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar, ISMAIL KAMADIN yang meninjau semula ke lokasi kejadian, berkesempatan bertemu beberapa individu yang terlibat dalam tragedi tersebut. Berikut adalah sebahagian daripada peristiwa yang berlaku berdasarkan pengalaman dan sudut pandangan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: