Saturday, May 7, 2011

Bercinta selepas kahwin


DR. Harlina Halizah Siraj bersama suami dan dua daripada tiga anak mereka.


MEMBINA mahligai perkahwinan sememangnya sesuatu yang harus difikirkan dengan serius kerana ia disifatkan sebagai satu peristiwa yang berlaku sekali seumur hidup.

Perkahwinan juga merupakan satu sunah murni yang dibina atas rasa cinta dan kasih sayang bagi setiap pasangan.

Namun begitu, bagi pasangan Profesor Madya (K) Dr. Harlina Halizah Siraj, 45, dan Zulkifli Ahmad, 45, rasa cinta dan kasih sayang mereka terbina setelah mendirikan rumah tangga kira-kira 20 tahun lalu.

Mereka bukanlah seperti pasangan lain yang mana fasa percintaan didahului sebelum melangsungkan perkahwinan dengan alasan ingin mengenali hati budi masing-masing. Bagaimanapun bagi Harlina sendiri, baik dirinya mahupun suaminya tidak pernah terfikir untuk melalui fasa tersebut (bercinta) kerana masing-masing percaya jodoh dan pertemuan telah ditetapkan oleh-Nya.

Baru-baru ini, ketika ditemui di kediamannya di Cheras, Harlina ada menyentuh mengenai sistem BaitulMuslim yang mana melalui sistem tersebutlah dia dan suaminya, Zulkifli disatukan.

''Kami belajar di universiti yang sama, Universiti Kebangsaan Malaysia dan pertemuan kami diatur oleh pelajar senior dan boleh dikatakan kami merupakan pasangan match make.

''Dalam istilah Islam, kami telah disatukan melalui sistem BaitulMuslim yang mana ia digunakan untuk mengelakkan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan,'' ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Tambah beliau lagi, sebagai seorang hamba Allah, mustahil dia tidak pernah terfikir mengenai jodohnya. Cuma Harlina tidak pernah berfikir untuk berpasang-pasangan sebelum berkahwin.

Berbicara lanjut mengenai pertemuan pertama dengan suaminya, menurut anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini, ia hanya berlaku selepas masing-masing membuat pertukaran biodata.

Melalui biodata tersebut, Harlina dan Zulkifli mengetahui latar belakang masing-masing dan daripada situlah, mereka membuat keputusan sama ada ingin berjumpa atau tidak.

Ternyata biodata masing-masing berjaya membuka pintu hati kedua-dua pihak untuk meneruskan langkah dan pertemuan pertama berlangsung di kediaman pelajar senior yang 'menjodohkan' mereka.

Pada pertemuan tersebut, baik Harlina mahupun Zulkifli, kedua-duanya mendapati mereka mempunyai keserasian dan setelah mengadakan perbincangan, mereka bersetuju untuk disatukan.

''Alhamdulillah, bertitik tolak daripada pertemuan tersebut, hati saya menyatakan bahawa Ustaz Zul (panggilan Zulkifli) merupakan orang yang sesuai untuk dijadikan suami.

''Seterusnya seperti pasangan lain, Ustaz Zul dipertemukan dengan ahli keluarga saya dan daripada kunjungan pertama itu, emak saya menyatakan bahawa dialah orang yang tepat.

''Akhirnya, kami membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan pada 2 Jun 1991,'' katanya lagi.

Mengulas mengenai hubungan mereka, apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah, walaupun telah mengikat tali pertunangan, mereka tetap seperti dahulu di mana tiada komunikasi walaupun melalui surat.

Seperti pasangan lain, dalam setiap hubungan pasti ada pasang surutnya dan itulah yang terjadi kepada Harlina. Menurut Harlina, sebaik mereka ditunangkan, mereka seolah-oleh terputus hubungan kerana tiada khabar berita yang dikirim.

Walaupun begitu, ujar Harlina, beliau sentiasa mengingati tunangnya ketika itu dan caranya adalah sentiasa mendoakan yang terbaik setiap kali menunaikan solat.

''Selepas kami bertunang, tiada kiriman berita baik melalui telefon mahupun surat dan susulan daripada itu, Ustaz Zul berasa sedikit tergugat.

''Mungkin kerana perasaan tersebut membelenggu Ustaz Zul, hati saya tergerak untuk menitip surat kepadanya dan surat ini berjaya menyelamatkan situasi pada masa itu.

''Menurut Ustaz Zul, ayat di dalam surat berbunyi, 'walaupun tidak berhubungan secara lisan, saya nak mengingatkan bahawa ustaz tidak pernah lekang daripada ingatan saya', akhirnya mengembalikan segala-galanya kepada asal,'' katanya.

Walaupun jodoh Harlina bukanlah dicari sendiri, tetapi ia berjaya membuktikan bahawa ia tidak menghalang mereka untuk mengecapi kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: