PERKAHWINAN bagi lelaki adalah untuk berkongsi hidup dengan orang yang dinikahinya, iaitu isteri.
Namun apa akan jadi jika si isteri masih di bawah kawalan ibu bapa dan tidak mendengar kata suami walaupun sudah bertahun-tahun berkahwin?
Agaknya benar kata orang, setelah bernikah elok tinggal jauh daripada mentua kerana bimbang akan membawa bala dalam hubungan suami isteri. Inilah yang dialami oleh Fendi (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an, seorang pegawai kanan kerajaan yang telah enam tahun bernikah dengan Nida (bukan nama sebenar), seorang kerani.
Perkahwinan Fendi dan Nida telah diatur keluarga. Biarpun tidak bercinta seperti pasangan lain, Fendi yakin mereka akan bahagia. Majlis perkahwinan mereka meriah dan setelah bernikah, Fendi dan Nida tinggal bersama keluarga Nida kerana dia anak bongsu dalam keluarga.
Sayangnya bahagia yang diharapkan tidak menjadi apabila keluarga mentua mula mengatur hidup mereka setelah setahun berkahwin. Kita ikuti kisah selanjutnya seperti mana diceritakan oleh Fendi kepada saya.
"Saya telah bertegas, setelah kahwin saya akan membawa isteri tinggal berasingan daripada keluarga dan mentua. Malangnya mentua meminta kami tinggal bersama mereka untuk sementara dengan alasan isteri saya anak bongsu.
"Akur kehendak mentua, saya setuju. Sepanjang tinggal bersama mereka, saya nampak isteri tidak mendengar cakap saya. Dia banyak mengikut kata ibu bapanya. Apa yang saya cakap, banyak yang dia bantah tetapi apabila mentua saya berkata dan menyuruh sesuatu dia akan melakukannya tanpa membantah.
"Menyedari keadaan akan bertambah buruk jika saya tidak berpindah, saya mengajak isteri tinggal berasingan. Rancangan kami ditentang keras oleh keluarga mentua. Isteri pula macam keberatan mengikut saya.
"Mereka tetap mahu kami terus tinggal di rumah mereka kerana tidak mahu berpisah dengan Nida. Saya pelik kenapa mesti bergantung pada Nida, sedangkan mereka masih mempunyai dua orang anak yang lain.
"Saya beralah lagi. Masuk tahun kedua, saya tidak boleh tahan sabar lagi. Keadaan semakin tegang. Nida yang mula-mula saya kenal - lemah lembut, mendengar kata dan patuh kepada kata-kata saya, tetapi kini sudah berani melawan cakap saya dan selalu menyalahkan saya dalam semua masalah yang berlaku di dalam rumah.
"Saya akui ibu bapa menjadi keutamaan tetapi sebagai suami, saya juga ada hak ke atas dirinya. Pernah dia memarahi saya kerana tidak pulang awal untuk membawa ibu bapanya ke pekan, sedangkan dia tahu saya ada urusan yang harus diselesaikan.
"Dia juga selalu membuat keputusan penting tanpa memberitahu saya kerana didesak oleh ibunya yang pada saya mata duitan. Setiap kali cukup bulan, pasti ibunya akan meminta sesuatu.
"Makan angin menjadi agenda penting dalam hidup ibu bapa mentua saya. Boleh dikatakan setiap cuti sekolah dia mahu pergi bercuti. Isteri akan memaksa saya mengambil cuti dan mengikut mereka. Setiap kali bercuti, saya terpaksa berhabis beribu ringgit. Minyak, hotel, membeli-belah, makan minum semuanya saya yang tanggung. Bayangkan kalau setahun lima kali bercuti, berapa banyak wang saya habis?
"Pernah saya suarakan rasa tidak puas hati saya kepada isteri, dia melenting dan berkata saya berkira. Saya juga perlu fikirkan tentang ibu bapa saya. Kalau saya boleh berbelanja dan berhabis duit untuk mentua, kenapa tidak untuk ibu bapa saya. "Sayangnya isteri tidak mahu faham. Dia kalau boleh, mahu saya layan ibu bapanya sahaja. Saya juga ada ibu bapa yang perlu dijaga hati dan perasaan mereka. Ini tidak, dia asyik lebihkan ibu bapanya sahaja.
"Banyak kali saya ajak dia pindah, alasannya tetap sama, nak jaga ibu bapanya. Sampai bila? Kenapa dia yang perlu bersusah payah sedangkan dia ada abang dan kakak? Mereka langsung tidak ambil kisah dengan ibu bapa mereka kerana tahu saya dan isteri ada bersama tinggal di rumah itu. Perbelanjaan rumah, bil api, air dan segala-galanya di bawah tanggungjawab saya dan isteri.
"Mentua pula asyik minta macam-macam. Kadang kala saya naik rimas tetapi ikutkan juga sebab tidak mahu bising. Kawan-kawan nasihatkan saya pindah sahaja dari rumah itu.
"Kata mereka susah senang hidup sendiri boleh kita selesaikan sendiri tanpa campur tangan mentua.
"Saya telah membeli sebuah rumah dalam diam tanpa pengetahuan isteri. Hajat saya memang hendak pindah sebelum bulan Ramadan ini. Saya akan beri kata dua kepada isteri, sama ada ikut saya atau saya akan bertindak sebagai suami.
"Saya akan beritahu mentua keputusan saya untuk berpindah. Saya juga akan maklumkan yang saya sudah membeli rumah untuk saya dan isteri membina hidup baru. Saya akan membawa Nida bersama.
"Jika Nida enggan, saya akan buat keputusan tentang hubungan kami. Dayus kalau saya terus hidup di bawah telunjuk isteri dan mentua yang tidak tahu menghormati hak saya sebagai suami.
"Saya berharap isteri saya jika terbaca ruangan ini cepat sedar dan insaf dengan sikapnya. Kepada mentua juga saya berharap perkara yang sama. Bimbinglah anak menantu ke jalan yang baik, jangan pesongkan mereka ke arah keburukan kerana itu akan membinasakan hidup mereka.
Begitu Fendi menamatkan ceritanya. Semoga rumah tangga Fendi akan kembali pulih dan mentuanya juga akan menerima hakikat anak bongsu mereka telah menjadi isteri orang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: