|
|
PUCUK muda dalam industri hiburan tempatan, Tasha Shilla, 24, masih terlalu hijau untuk dibandingkan dengan nama besar seperti Tiz Zaqyah atau Nanu Baharuddin yang pernah bersekutu dalam drama lakonannya.
Namun, dia sedang diperhatikan. Pelakon tinggi lampai yang membawakan watak Cikgu Rohana dalam siri Gemilang itu mudah dikaitkan seperti banyak wanita muda yang dambakan populariti.
Lebih tidak manis didengar, sudah ada bisik-bisik mendakwa, niat Tasha yang pernah membintangi filem Ratu The Movie ke persada lakonan itu semata-mata mahu mencari lubuk kemewahan.
Lelaki-lelaki kenamaan dikatakan menjadi sasaran Tasha untuk jalan pintas mendapat kesenangan.
Dia yang berada di lokasi Sejundai, sebuah drama bersiri 26 episod untuk slot Lagenda di TV3 itu diminta penjelasan.
Sensasi Bintang: Bila sudah ada orang mendakwa Tasha masuk dunia lakonan semata-mata untuk popular, apa yang boleh Tasha jelaskan?
TASHA SHILLA: Setakat ini saya percaya dengan kemampuan diri sendiri. Bila ke mana-mana, peminat yang menyapa banyak memuji lakonan saya, tak ramai kata saya cantik atau perkara lain.
Saya memang minat dengan seni. Sejak zaman sekolah lagi, semua acara berkait bidang seni, lakonan, tarian, nasyid dan nyanyian, semuanya saya masuk.
Tasha sudah mencapai apa yang dicita-citakan oleh seorang pelakon?
Sejak berlakon sampai ke hari ini, rasanya saya masih belum tersasar. Saya baharu tapi sekarang saya yakin telah berada di landasan yang betul. Tahun ini saya sudah berlakon dua buah filem, Ratu The Movie dan Klip 3GP. Mungkin hujung tahun nanti ada sebuah filem lagi.
Saya juga sudah ada watak dan drama yang melekat di fikiran ramai. Semua itu rezeki dan masih jauh lagi perjalanan saya.
Ada yang mendakwa Tasha juga sedang menyasarkan lelaki kaya untuk dijadikan lubuk kemewahan atau calon suami?
Itu anggapan lapuk, sudah klise sangat apabila aktres baru dikaitkan dengan perkara begitu. Sebelum jadi pelakon, dua tahun saya bekerja di butik jenama eksklusif, Prada.
Semua pelanggan di situ orang kaya. Rasanya kalau nak cari lelaki kaya, tak perlu saya jadi pelakon. Kalau nak, dari dulu lagi saya boleh dapat sebab kami ada ratusan senarai pelanggan yang semuanya berduit.
Bagaimana penerimaan Tasha terhadap khabar angin berkenaan?
Bagi saya itu cakap-cakap orang tidak mengenali saya. Itu perkara biasa yang akan kena kepada pelakon baharu macam saya. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Saya kena terima dan bertindak matang. Tak perlu melatah atau melenting. Asalkan keluarga serta saudara-mara saya tidak termakan oleh dakwaan begitu, saya sudah bersyukur.
Kalaulah ada orang kenamaan yang mahu menghimpit Tasha?
Saya boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Semua lelaki sama bezanya status dan pangkat sahaja setakat berkawan, saya okey.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: