KASIH ibu membawa ke syurga tetapi kasih bapa sepanjang masa. Kata pujangga, seorang ibu itu akan lebih merasa gembira jika anak-anaknya bahagia. Seorang ibu juga akan lebih pilu hatinya jika anak-anak berdepan jalan berliku.
Cerita dua beranak, Khaty Fauziah dan Shaheizy Sam ini pula hanyalah secebis daripada selaut ceritera kasih ibu dan anak di dunia ini.
Cuma santai dan rutin seni Khaty Fauziah yang mesra disapa mummy manakala anak bongsunya, Sam yang sedang menjadi sebutan ini barangkali berbeza dengan rutin ibu dan anak yang jauh daripada bidang seni.
Dalam hal kekeluargaan, mereka juga ada tradisi sambutan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu yang jatuh pada hari ini.
“Sambut Hari Ibu atau hari lahir sudah menjadi tradisi dalam keluarga saya. Biasanya Zizie dan seorang lagi anak lelaki saya, Samzy yang akan merancang itu dan ini.
“Kalau tidak dibuat pada tarikh hari sambutan itu, ia pasti akan ditunda ke hari lain. Biasanya kami akan berkumpul untuk makan-makan.
Sam di mata si ibu
“Seronoknya, saya akan diberi penghormatan untuk pilih tempat dan jenis menu kegemaran,” cerita Khaty mengisi topik Hari Ibu yang sengaja merakamkan momen mereka berdua.
Ujar wanita separuh abad itu, sambutan Hari Ibu baginya akan berganda keseronokan kerana ia diraikan serentak dengan hari lahirnya yang jatuh pada 17 April lalu. Dalam pertemuan keluarga itulah, banyak cerita masa kecil diungkit semula.
“Untuk raikan hari berkenaan, konon-kononnya anak-anak akan buat kejutan tapi sebenarnya kejutan sudah tidak menjadi sebab selalu sangat dibuat,” ujarnya yang segan bercerita lanjut tentang hadiah Hari Ibu yang biasa dihulurkan anak-anak.
Sam si teruna yang sedang menantikan filem terbarunya, Kongsi ke pawagam hanya mengiakan kata-kata ibunya. Menurut Khaty, Sam memang ‘pak turut’ dan tiada skil dalam bab sambutan hari-hari yang dianggap istimewa.
“Saya tak pandai sambut hari-hari macam Hari Ibu atau hari lahir.
“Hari lahir sendiri pun saya buat tak kisah. Tapi saya lebih seronok dengan momen hari-hari yang saya lalui.
“Katakan Hari Ibu disambut 8 Mei, tapi kalau pada 28 Mei, momennya lebih bermakna, saya lebih seronok pada hari yang 28 hari bulan itu.
“Bab hadiah pun saya tidak pandai pilih sendiri. Saya akan tanya apa yang mummy berkenan. Saya risau kalau terbeli barang yang dia tak suka atau apa yang sudah banyak di dalam almarinya.
“Saya tak suka kecewa kalau barang yang dibeli tidak disukai orang yang tersayang. Mummy pula suka beg tangan, kasut dan baju.
Rindu jeritan mummy
“Itu semua barang yang tak perlu dihadiahkan sebab dia selalu beli sendiri,” cerita Sam.
Tambahnya: “Dia (mummy) jenis yang suka beli baju. Rasanya banyak lagi koleksi yang belum dipakai.
“Tapi kalau dah keluar membeli-belah bersama dan mummy nak sangat, saya tak sampai hati nak halang. Sebenarnya saya pun macam mummy kalau bab membeli-belah.”
Pencapaian anak bongsu daripada empat beradik itu sudah terpampang di mata ramai. Melihat Sam sudah ada hala tuju tambah lagi baru bergelar Artis Paling Popular 2010, Khaty berasa lega.
“Sejak kecil lagi memang tak susah jaga dia. Kalau dia teruskan pembawaan diri yang begitu, hormat orang, tidak sombong dan tidak berubah, Insya-Allah hala tujunya sudah jelas, saya pun tak risau,” katanya yang dapat melihat bayangan arwah suami, Abdul Samad dalam perilaku Sam.
“Sam mewarisi sikap dan tabiat arwah bapanya. Cara bertindak, cara bercakap dengan gerak tangan dan mimik mukanya, semuanya sama.
“Kalau ikut mata saya, dia ‘anak bapa’ dan abangnya Samzy yang ‘anak emak’,” kata Khaty sambil bercerita zaman kanak-kanak dan remaja Sam.
Dalam soal anak-anak, bukan Sam sahaja yang diberi perhatian. Jelas Khaty, dia sebenarnya ibu kepada sembilan orang lagi anak yang berbinkan Abdul Samad.
“Saya cukup bersyukur kerana dilimpahkan kasih sayang yang banyak. Semua anak arwah suami bersama isteri pertamanya menganggap saya seperti ibu mereka sendiri,” ujar mummy terharu.
Daripada cerita lisan si ibu, Sam sedar dia dikatakan mewarisi sikap dan personaliti arwah bapanya tetapi dari segi batiniah, Sam tetap merasakan dia anak manja yang tidak mahu berenggang dengan si ibu.
“Saya tidur bersama mummy sampai umur 12 tahun. Rasanya kalau sudah berkahwin atau ada kehidupan sendiri nanti, saya tetap akan tinggal bersama dengan mummy.
“Rasanya rumah akan sunyi kalau tak ada jeritan mummy, sistem bunyi mummy yang nyaring itu boleh mengejutkan kami semua,” ujar Sam yang kadangkala masih makan bersuap jika di rumah.
Lagipun tambah Sam, kediaman mereka di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang itu juga tidak pernah sunyi.
Kakaknya yang sudah berkahwin juga tinggal berdekatan semata-mata kerana tidak mahu berjauhan dengan ibu dan adik-beradik yang lain.
“Memanglah ada masanya kami jarang jumpa sebab jadual penggambaran tak tentu masa. Kebelakangan ini, nak cari hari 24 jam penuh bersama mummy pun susah.
Dimensi orang muda
“Sebab itulah saya seronok bila dapat makan bersama. Masa itulah baru nak berborak dan bercerita macam-macam,” katanya.
Berkongsi momen lucu anak-beranak, Sam bercerita, dia dan adik-beradik yang lain gemar mengenakan si ibu, pantang ibu mengelamun pasti ada yang akan diusik.
“Kami semua nakal, selalu mummy akan jadi bahan ketawa. Kami akan buat-buat ada panggilan telefon tapi yang dihulurkan kepadanya bukan telefon tapi alat kawalan jauh pendingin hawa.
“Dia beria-ria menjawab tapi tak ada respons,” cerita Sam ketawa terkekeh-kekeh.
Masuk ke bab karier, aktor berusia 29 tahun itu tidak pernah merasakan ada kemuncak dalam hierarki pencapaiannya.
Gelaran Artis Paling Popular bukan sesuatu yang mengubah hidupnya kepada seseorang yang lain daripada yang dikenali sebelum ini.
“Saya tidak pernah merasakan ini kemuncak hidup saya. Itu penghargaan daripada peminat. Kalau bukan saya, mungkin orang lain akan diangkat.
“Apa pun, saya tetap akan bekerja sebaik-baiknya,” jelas si aktor yang menjadi taruhan tujuh buah filem itu berhati-hati.
Menantikan tayangan filem terbarunya, Kongsi arahan Farid Kamil, Sam merasakan ada dimensi baru yang akan disaksikan peminat menerusi filem aksi komedi itu.
Sam kini di lokasi filem Adnan Sempit 2 arahan Ismail Bob Hashim. Beberapa filemnya yang masih dalam senarai termasuklah Sekali Lagi, Songlap, Bini-Biniku Gangster dan 8 Jam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: