TIDAK seperti beberapa bulan yang lalu, salah satu nadi pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Hentian Puduraya pada hari, sudah bertukar wajah. Lebih tepat lagi, stesen bas Puduraya mempunyai wajah yang lebih segar dan dinamik. Pandangannya tidak lagi seperti setahun yang lalu. Sesak, persekitaran yang panas, lantai yang berwarna hitam akibat kekotoran yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti Puduraya atau ejen-ejen syarikat bas yang ada di mana-mana sambil memanggil anda dan menyebut beberapa lokasi.
Jangan terkejut jika anda melihat tiada lagi kedai-kedai yang menjual makanan yang dipenuhi sampah sarap atau kucing tidak bertuan yang berkeliaran.
Tandas yang kurang menyenangkan dan berbau, platform yang dipenuhi asap bas tebal, haba enjin bas yang memanaskan juga sudah lenyap.
Sama seperti Stesen Keretapi Tanah Melayu yang berubah wajah kepada Stesen Sentral, kini Puduraya yang lama juga sudah menjadi sejarah.
“Apa yang saya perhatikan di Puduraya hari ini bukan lagi Puduraya yang pernah saya lihat beberapa tahun lalu. Ia memberikan satu perasaan yang selamat, bersih dan berkualiti.
“Saya hampir tertidur di tempat menunggu kerana tempat duduknya yang selesa, berhawa dingin dan kesesakan yang minimum. Harap keadaan ini dapat dikekalkan bila-bila,” kata seorang wanita muda, Mooi Luan, 23, yang sedang menunggu bas untuk ke Ipoh, Perak.
Dia datang ke Hentian Puduraya satu jam setengah lebih awal kerana bimbang perhentian yang baru dibuka selepas hampir setahun menjalani kerja-kerja pengubahsuaian mempunyai perubahan jadual.
Namun, bagi mengekalkan profesionalisme pengangkutan, tiada apa yang berubah dari segi jadual. Cuma, cara panggilan ke platform dan tempat menunggu banyak berubah.
Lebih sistematik
Mooi Luan, bersama-sama penumpang yang lain menunggu di sebuah ruang menunggu khas yang disediakan. Di atas lantai berjubin putih yang masih bersih dan bersinar dek terkena sinaran lampu, ruang yang berhawa dingin itu dilengkapi dengan skrin yang menunjukkan jadual perjalanan bas.
“Ia seperti terminal kereta api atau penerbangan. Kini, ia lebih sistematik dan elok dipandang,” kata seorang bapa, Shahnir Rizal, 42. Beliau ke hentian itu untuk menghantar anaknya yang mahu ke Kuantan, Pahang.
Katanya, beliau lebih selesa menunggu di tempat duduk dekat dengan tangga ke platform kerana ia bukan lagi panas seperti dulu. “Siap ada pendingin hawa dan saya rasa selamat. Lebih-lebih lagi apabila tempat ini dikelilingi oleh penguat kuasa dan pegawai keselamatan. Ini akan memberikan jaminan khususnya kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke hentian ini,” kata Shahnir.
“Cantik, memang cantik, bersih dan baru, tetapi saya terfikir, bagaimanakah agaknya keadaan hentian ini jika menjelang musim perayaan seperti sambutan Aidilfitri? Bukankan platform akan menjadi sesak seperti dahulu? Itu kebimbangan saya,” kata seorang lagi pengunjung yang datang menghantar anak buahnya, Noyu Mohamad, 34.
Wanita bertudung corak hitam dan putih itu juga menunjukkan ketidakpuasan terhadap pemasangan papan kenyataan dan papan pemberitahuan yang kurang lengkap.
“Bukan saya mahu merungut, cuma saya rasa hentian ini lebih sempurna jika semua papan pemberitahuan siap sepenuhnya apabila ia dibuka. Sebentar tadi, saya sendiri menghadapi masalah mencari tempat menunggu dan platform.
“Ada papan pemberitahuan nombor platform ditempatkan dibelakang tangga. Kalau tidak perasan maka tercari-carilah untuk nombor platform,” kata Noyu. Bagaimanapun, Noyu akui, ia mungkin disebabkan hentian itu masih baru.
Berjalan sambil memegang sekeping risalah bertajuk, Cameron Highlands Jonathan Medows, 24, dari Amerika Syarikat (AS) giat mencari tempat membeli tiket di Hentian Puduraya.
“Ini kunjungan pertama saya ke sini. Tiada papan tanda yang menunjukkan tempat membeli tiket.
“Ia di tingkat atas, saya mahu mendapatkan bas secepat mungkin,” katanya yang sempat meminta bantuan daripada salah seorang pegawai keselamatan di situ.
“Di AS, kami tidak banyak gunakan bas ekspres seperti di sini. Kami mempunyai mod pengangkutan lain yang lebih popular daripada bas. Hentian ini kelihatan baik dan bersih, mungkin kerana ia masih baru.” Itu sahaja komen yang sempat dituturkan warga Amerika itu sebelum berlari menuju ke kaunter tiket ke Cameron Highlands.
Rata-rata tinjauan di sekitar Hentian Puduraya mendapati, orang ramai sudah mula mengadaptasikan persekitaran yang baru. Namun, hanya sikap manusia sahaja yang boleh mengekalkan segala kemudahan, tahap kebersihan dan keselamatan di hentian itu.
Namun, beberapa pekedai yang sudah membuka premis perniagaan di Hentian Puduraya enggan memberi sebarang komen. “Tidak mahu. Kalau keluar surat khabar, tak mahulah,” itu sahaja yang disampaikan. Kosmo! mendapati, beberapa buah kedai runcit kecil, kedai buku dan kedai menjual makanan berbungkus sudah beroperasi di situ.
Kerja menaiktaraf
Selepas hampir 36 tahun beroperasi dengan satu tahun tempoh rehat, Hentian Puduraya yang baru dibuka pada 16 April lalu memberi kelegaan kepada penghuni kota. Lokasinya yang terletak di tengah-tengah pusat bandar dan berdekatan dengan hampir semua mod pengangkutan awam seperti kereta api, bas awam, teksi dan komuter memudahkan orang awam.
Semasa proses menaik taraf hentian tersebut, Bukit Jalil menjadi hentian sementara untuk perjalanan ke utara.
Dengan kos kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian yang menelan kos RM52 juta, UDA Holdings Bhd. menjadi syarikat yang dipertanggungjawab menjalankan tugas itu.
Hampir 14 bulan ditutup, Azlina Sham, 19 menarik nafas lega apabila hentian baru itu tidak lagi ‘membekalkan’ asap bas yang meloyakan dan bahang di sekitar platform yang memerah peluh.
Azlina sedar, hentian Puduraya kini sebuah hentian bas yang dilengkapi kemudahan dan fasiliti yang sesuai dengan keperluan semasa.
Semua ini dialu-alukan. Cuma, buat masa kini, banyak yang tidak boleh digunakan sepenuhnya,” katanya lagi merujuk kepada kemudahan lif yang masih ditutup. Gerai makanan (ketika dikunjungi Kosmo!) juga masih belum beroperasi.
“Itu tidak mengapa kerana kita masih ada restoran dan kafe di luar hentian ini. Ada beberapa kedai runcit dalam hentian ini yang menjual makanan berbungkus,” kata Nazamudin Mansor, 42 yang ditemui di Hentian Puduraya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: