Friday, May 20, 2011

Starbucks tanam pokok sambut ulang tahun


Selepas selesai menanam pokok-pokok semua peserta meraikan kejayaan misi mereka dengan bergambar-gambar beramai-ramai.


RUTIN pagi 100 pengurus stor Starbucks seluruh Malaysia tanggal 14 April lalu tidak seperti hari-hari biasa. Kebiasaannya, mereka akan menuju ke premis Starbucks yang diamanahkan untuk mengurus operasi perniagaan bagi memastikan para pelanggan dapat menikmati kopi dan hidangan enak. Tetapi pagi Khamis itu, seawal pukul 6.30 pagi, mereka berkumpul di perkarangan pusat membeli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur untuk memulakan misi penting.

Masing-masing pantas sahaja mengisi perut empat buah bas sebelum bertolak pukul 7 pagi menuju Hutan Simpan Kota Damansara, Petaling Jaya sambil bersorak penuh keterujaan di dalam bas.

Setibanya di lokasi tersebut selepas 40 minit perjalanan, para pengurus stor Starbucks yang mengenakan kemeja-T berona hitam tidak sabar memulakan tugas mereka untuk menjayakan misi menanam pokok.

Jika sebelum ini mereka hanya memegang pen menguruskan kira-kira atau membancuh kopi buat pelanggan Starbucks, tetapi pagi itu mereka hanya berbekalkan cangkul dan pokok untuk ditanam.

Sebelum misi dimulakan, kesemua 100 pengurus stor bersama 40 pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Shah Alam dibahagikan kepada empat kumpulan.

Senaman ringan menjadi mukadimah pembuka acara pagi itu sebelum memulakan perjalanan masuk ke perut hutan hampir satu kilometer yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Suasana sunyi Hutan Simpan Kota Damansara pagi itu riuh-rendah dek keghairahan rombongan Starbucks yang sibuk mencangkul sebaik sahaja lokasi untuk menanam pokok masing-masing dijumpai.

Program menanam pokok itu turut disertai oleh selebriti televisyen yang juga seorang ibu, Aishah Sinclair.

Antara pokok yang ditanam hari itu ialah pokok petai, kedondong, rambutan, langsat, sentul, tampoi, keledang temponek dan rambai.

Tiada seorang pun merungut melakukan aktiviti tersebut walaupun ada antaranya langsung tidak mempunyai pengalaman menanam pokok.

Walaupun ada yang kekok memegang cangkul dan terkial-kial menggunakannya, semangat ‘hijau’ yang ditunjukkan wajar dipuji dan dicontohi.

Perkhidmatan komuniti


Sydney (dua dari kanan) bersama Aishah (dua dari kiri) menanam sebatang pokok di Hutan Simpan Kota Damansara.


Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Starbucks, Sydney Quays yang turut serta pada hari itu memberitahu, program tersebut adalah sempena sambutan ulang tahun ke-40 Starbucks.

“Setiap tahun kami akan menganjurkan bulan perkhidmatan global sepanjang April yang merupakan sebahagian komitmen syarikat memberi perkhidmatan kepada komuniti.

“Aktviti menanam pokok adalah antara 16 projek yang dirancang hasil kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang dijalankan sepanjang April ini,” katanya.

Dalam pada itu, guru pengiring SMV Shah Alam, Siti Aishah Rusli menyifatkan program yang dianjurkan Starbucks dengan kerjasama Yayasan Anak Warisan Alam adalah sangat baik kerana ia dapat membentuk peribadi pelajar supaya menyayangi bumi.

“Para pelajar begitu teruja. Segelintir daripada mereka pertama kali masuk hutan dan menanam pokok kerana menetap di kawasan bandar tidak memberikan mereka peluang menimba pengalaman sedemikian,” ujarnya.

Bagi Aishah Sinclair aktiviti menanam pokok amat bermakna dan mendatangkan manfaat kepada semua orang.

“Sejak menjadi ibu, saya amat mementingkan alam sekitar kerana ia adalah warisan untuk anak saya kelak.

“Aktiviti sebegini adalah salah satu cara untuk hargai dan sayangi alam sekitar. Cukup sekadar setiap seorang daripada populasi rakyat Malaysia menanam satu pokok seorang,” ujarnya.

Dua pelajar SMV Shah Alam, Siti Mubaraqah Amri dan Norlinda Anisa Yanto, 16, berterima kasih kepada Starbucks kerana menjemput mereka untuk turut serta melakukan aktiviti menanam pokok.

“Saya tidak pernah tanam pokok sebelum ini. Ini adalah pengalaman pertama kali.

“Jika ada aktiviti sebegini pada masa akan datang, saya tidak akan teragak-agak untuk menyertainya,” kata Siti Mubaraqah.

Norlinda Anisa pula punya misi tersendiri. Dia akan meminta keluarganya serta menyarankan kepada rakan-rakannya di sekolah untuk menanam satu pokok seorang untuk menghijaukan bumi agar dapat membekalkan oksigen bagi keperluan manusia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: