Friday, May 20, 2011

Latih pesakit untuk berdikari




PASTI ramai yang masih teringat kisah tragis pada 25 Ogos tahun lalu. Ia mengisahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun iaitu Mohd. Adam Muszhaffar Muhaimin yang meninggal dunia selepas lehernya hampir putus disembelih oleh bapanya sendiri, Muhaimin Sautar, 33, dengan sebilah pisau.

Tragedi menyayat hati yang berlaku di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu, Kelantan itu mungkin boleh dielakkan jika Muhaimin yang mengalami masalah mental tidak menghentikan pengambilan ubatnya.

Bukan Muhaimin sahaja yang menghentikan pengambilan ubat itu dengan mengisytiharkan dirinya sudah sihat, hakikatnya ramai pesakit psikiatri yang lain turut berbuat demikian gara-gara enggan dilabel oleh masyarakat sebagai gila.

Lupuskan istilah

Mentaliti sebegini perlu diubah. Istilah gila perlu dilupuskan dan digantikan dengan stres, depresi, sakit jiwa, sakit mental dan sakit saraf.

Realitinya, setiap daripada kita terdedah untuk menghidap sakit mental jika tekanan atau stres yang dialami gagal diurus dengan bijak.

Hakikatnya, pesakit psikiatri yang bertindak di luar batasan kewarasan fikiran boleh dielakkan jika masyarakat tidak bersikap prejudis terhadap golongan itu dengan melabelkan mereka sebagai gila sedangkan penyakit mental dapat dipulihkan jika mendapat rawatan segera.

Pesakit-pesakit mental biasanya dirawat di hospital-hospital sakit jiwa seperti di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan di Ipoh, Perak dan Hospital Permai Johor Bahru, Johor. Namun tidak ramai yang mengetahui mengenai kewujudan pusat rawatan harian psikiatri di Pusat Rawatan Harian Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum melangkah masuk ke pusat rawatan harian tersebut, perasaan gusar dan takut bersilih ganti dalam diri penulis bimbang diserang oleh pesakit psikiatri di situ.

Nyata telahan penulis meleset kerana pesakit psikiatri di pusat rawatan harian tersebut tekun membuat aktiviti masing-masing.

"Tidak perlu bimbang kerana pesakit psikiatri yang teruk ditempatkan di wad, manakala mereka yang sudah pulih dihantar ke pusat rawatan harian psikiatri.

"Mereka yang telah stabil dihantar ke pusat ini untuk membina kemahiran dan kawalan bagi melakukan aktiviti harian.

"Pada masa yang sama, latihan inijuga bagi membiasakan mereka dengan persekitaran," kata Pakar Psikiatri dan Pensyarah di PPUM, Dr. Aida Syarinaz Ahmad Adlan.

Menurut Aida, setiap hari pesakit psikiatri akan datang sendiri atau dihantar oleh ahli keluarga masing-masing untuk menjalani rawatan harian bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang.

"Mereka yang ditempatkan di pusat ini terdiri daripada pesakit yang pulih di antara 50 hingga 60 peratus.

"Jika ada antara mereka yang bertindak agresif, maka mereka akan diletakkan di wad semula," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Pusat Rawatan Harian Psikiatri PPUM hanya menempatkan pesakit psikiatri yang menerima rawatan di PPUM sahaja.

Saranan doktor


PESAKIT dilatih cara menenun sarung tangan.


"Jika ada orang luar yang berminat untuk mendapatkan rawatan di pusat harian tersebut, mereka perlu mendaftar di klinik terlebih dahulu.

"Doktor bertugas akan melihat keadaan seseorang pesakit psikiatri itu sebelum diletakkan di pusat rawatan harian," jelasnya.

Kata Aida, setiap pesakit mempunyai aktiviti mereka sendiri berdasarkan saranan doktor. Mereka juga mempunyai borang rujukan masing-masing kerana terapi setiap daripada mereka berbeza-beza.

Pesakit psikiatri di pusat rawatan harian tersebut melakukan aktiviti seperti bengkel latihan dan pemulihan kerja yang dinilai berdasarkan beberapa aspek. Antaranya termasuklah kedatangan, ketepatan masa, penampilan diri, komitmen dan komunikasi. Selain itu, kualiti kerja, pengurusan tekanan semasa kerja, interaksi dalam kumpulan dan beberapa aspek lain juga dinilai.

Rutin pesakit psikiatri bermula seawal pukul 8.30 pagi. Meraka akan melakukan senaman pagi diikuti permainan dalam terapi kumpulan, aktiviti memasak, terapi asertif atau psikodrama, terapi lukisan, latihan penampilan diri dan sebagainya.

"Terapi berkumpulan biasanya melibatkan perbincangan mengenai cara-cara untuk menguruskan kesihatan mental, permainan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran memasak.

"Setiap hari Rabu minggu ketiga, pusat ini mengadakan program pendidikan psikologi keluarga khas untuk memberikan informasi kepada keluarga pesakit tanpa kehadiran pesakit," katanya.

Jelas Aida, ia lebih kepada sesi soal jawab antara pihak pusat rawatan harian dan ahli keluarga pesakit. Lazimnya, ia tertumpu kepada perkembangan pesakit di rumah. Pada masa yang sama, ia juga platform untuk mendidik ahli keluarga pesakit cara-cara menguruskan pesakit psikiatri.

Walaupun pesakit semakin pulih dan mendapat rawatan harian di pusat tersebut, pesakit psikiatri masih perlu meneruskan pengambilan ubat-ubatan.

"Dalam hal ini, keluarga memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit psikiatri mengambil ubat mereka.

"Jika ada pesakit yang sudah lama tidak datang ke pusat ini, kami akan menghubungi keluarga mereka untuk mengetahui perkembangan kesihatan pesakit dan menasihatkan mereka untuk membawa pesakit menjalani rawatan seperti biasa," jelas Aida.

Pusat Rawatan Harian Psikiatri PPUM ini dibuka setiap hari kecuali cuti umum. Pusat itu menempatkan pesakit berusia 18 hingga 60 tahun dengan bayaran RM5 sehari.

Menurut ketua jururawat pusat rawatan harian tersebut, Lezah Mohd. Kasmuri, pusat harian itu juga mempunyai sebuah kafe yang dikendalikan oleh pesakit psikiatri. Kafe itu dibuka pada tahun 2009 hasil idea Dr. Hazlin Lockman.

Bimbingan untuk pulih


SEORANG kakitangan PPUM (tengah) membimbing pesakit dengan menguji tahap ingatan mereka.


"Mengendalikan kafe merupakan salah satu cara pemulihan buat pesakit psikiatri kerana mereka dibimbing cara-cara untuk mengendalikan kafe, berinteraksi dengan pelanggan, membuat kopi, sandwic dan mengambil pesanan.

"Seramai empat orang pesakit akan menguruskan kafe pada satu-satu masa. Sekali pandang memang nampak mudah tugas mereka kerana sekadar menyapu marjerin pada roti, hakikatnya dengan penyakit yang mereka hidapi, tugasan yang mudah menjadi sukar sekiranya tanpa latihan yang mencukupi," ujarnya.

Pusat itu juga menyediakan sebuah dapur khas bagi membolehkan pesakit-pesakit membuat dan membakar kek serta biskut. Makanan tersebut akan dijual di kafe dengan seliaan staf di pusat terbabit.

Di sebelah kafe pula kelihatan beberapa pesakit tekun melakukan aktiviti kraftangan seperti menghasilkan rantai dan gelang manik, alas kaki, beg, kotak tisu dan sebagainya.

"Setiap hasil kerja dan biskut yang dibuat akan dijual. Hasil jualan tersebut digunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain pada masa akan datang.

"Semua pesakit di pusat ini akan dinilai. Mereka yang bagus akan dikredit dengan memaparkan nama pedan gambarnya di papan kenyataan supaya menjadi contoh dan motivasi kepada pesakit psikiatri yang lain," kata Lezah.

Pesakit yang terlibat dalam aktiviti kraftangan pula sebenarnya diuji daya ketekunan dan fokus mereka. Jika mereka letih, mereka dibenarkan berehat tetapi tidak dibenarkan keluar berjalan-jalan ke tempat lain.

"Saya suka berada di pusat ini kerana ada ramai kawan dan boleh belajar buat beg. Saya boleh menyiapkan sebuah beg dalam masa tiga hari," kata seorang pesakit wanita berketurunan Cina.

1 comment:

  1. Boleh saya tahu dimanakah pusat ini terletak?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: