Friday, May 20, 2011

ED petanda awal penyakit jantung


KEBANYAKAN lelaki yang mengalami ED malu untuk melakukan rawatan lanjut di hospital.


MATI pucuk atau disfungsi erektil (ED) sering dianggap sementara atau merupakan isu psikologi. Bagaimanapun, pengamal perubatan kini memberi amaran bahawa ED yang sebelum ini tidak diambil serius mempunyai implikasi mengancam nyawa.

Sekiranya rawatan gagal didapati, terdapat peningkatan bukti perubatan yang menunjukkan bahawa ED merupakan amaran awal kepada penyakit kardiovaskular.

ED merujuk kepada keadaan di mana seseorang lelaki tidak mampu dan sukar mencapai atau mempertahankan ejakulasi dalam tempoh lama. Ejakulasi merujuk kepada pemancutan air mani ketika melakukan hubungan seks.

Justeru, keadaan itu menyebabkan mereka tidak puas dan tertekan dengan kehidupan seksual.

Laporan terkini yang dikeluarkan Pfizer menunjukkan lebih 150 juta lelaki di seluruh dunia mengalami ED dan jumlah itu mampu bertambah dua kali ganda menjelang 2025.

Sementara itu, di Asia bilangannya dijangka mencecah kira-kira 200 juta lelaki pada tahun 2025.

Di Malaysia pula, kaji selidik Kesihatan Seksual dan Kesihatan Keseluruhan Asia Pasifik (AP SHOW) yang turut dijalankan Pfizer membuktikan 62 peratus lelaki tidak berpuas hati dengan kehidupan seksual.

Sementara 40 peratus lagi mengalami ketegangan separuh matang atau suboptimal erction.

Pengarah Perubatan Pfizer, Dr. Vicknesh Wellupillai berkata, ED adalah simptom awal bagi penyakit kardiovaskular dan lazimnya ia berlaku seiring dengan kencing manis, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

Justeru tegasnya, ia perlu dirawat secepat mungkin bagi mengelak bertukar menjadi penyakit kardiovaskular dalam jangka masa kira-kira tiga tahun.

Menurut Vicknesh, menyedari hakikat bahaya ED, Pfizer Malaysia dan pusat gimnasium, Celebrity Fitness bekerjasama menganjurkan kempen Make A Stand bertujuan memberi kesedaran serta pendedahan mengenai ED.

Katanya, melalui kempen itu, golongan lelaki akan ditawarkan maklumat terperinci berhubung ED, cara mengesannya lebih awal dan keperluan mendapatkan nasihat doktor jika mengalami gejala berkenaan atau suboptimal erection.

“Kempen ini dianjurkan secara tertutup di bilik persalinan bagi menggalakkan seseorang yang mempunyai gejala ED lebih terbuka berbincang dengan pakar yang mengendalikannya.

“Selain itu, ia juga bagi membolehkan peserta membezakan peringkat ereksi berlainan melalui ujian sentuhan mudah yang akan menunjukkan di mana kedudukan mereka di dalam Skor Kesukaran Ereksi (EHS),” katanya pada majlis Pelancaran Kempen Make A Stand di Celebrity Fitness, Bangsar Village II, Bangsar baru-baru ini.

Terangnya lagi, ujian EHS adalah kaedah mudah dan mampu mengukur secara tepat tahap ketegangan zakar dengan skala satu hingga empat bagi memudahkan penentuan jenis rawatan atau senaman yang sesuai.

Mesin ujian tersebut akan diletakkan di beberapa cawangan terpilih Celebrity Fitness di seluruh negara.

Proses pemeriksaan dan khidmat nasihat akan dilakukan dalam bilik persalinan lelaki pusat kecergasan tersebut serta dilengkapi modul yang mudah difahami peserta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: