Monday, May 9, 2011

Simplas urus sisa makanan


Selepas proses pengasingan dijalankan, air basuhan yang tidak bergris akan disalurkan ke dalam longkang.


KECENDERUNGAN masyarakat mengamalkan budaya menjamu selera di luar berpunca daripada gaya hidup sibuk. Gaya hidup sedemikian menyuburkan kewujudan lebih banyak premis makanan dan minuman di negara ini bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan.

Namun, tahukah anda di sebalik kerancakan pembangunan industri makanan, muncul pula kesan negatif lain terhadap persekitaran apabila sisa makanan tidak diurus dengan baik dan efisien oleh pengusaha.

Ini berlaku apabila sesetengah pengusaha makanan mengambil jalan mudah dengan membuang terus sisa makanan termasuk minyak, air dan gris ke dalam saliran air atau longkang.

Sikap tidak bertanggungjawab itu secara tidak langsung mengakibatkan saliran longkang berhampiran premis terbabit tersumbat sehingga mengundang pelbagai masalah seperti pencemaran, bau busuk serta kehadiran haiwan perosak seperti lipas, lalat dan tikus.

Dalam jangka masa panjang, masalah tersebut bukan sahaja mampu memudaratkan kesihatan pengguna dari aspek kebersihan penyediaan makanan, malah menjadi faktor penyumbang kepada masalah pencemaran sungai di negara ini.

Justeru, permasalahan itu telah mendorong seorang usahawan tempatan yang juga merupakan bekas Inspektor Kesihatan, Md. Nayan Salleh, 56, untuk membangun serta mewujudkan satu kaedah sistematik bagi menangani masalah itu.

Untuk tujuan itu, Md. Nayan telah berjaya menghasilkan sebuah produk khas dikenali dengan Sistem Pengurusan Lemak dan Saliran Bandar (Simplas) yang berupaya mengasingkan sisa makanan termasuk minyak dan gris secara sistematik dan efisien.

Lebih membanggakan, keberkesanan produk tersebut juga telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila Md. Nayan dinobatkan sebagai pemenang pingat emas pada pertandingan Reka Cipta Antarabangsa di Geneva, Switzerland bagi kategori produk alam sekitar pada 1998.

Bukan itu sahaja, produk yang dibangunkan sejak 1991 itu sekali lagi berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul dan terpilih sebagai johan pada pertandingan Rekacipta East- West Euro Intellect di Sofia, Bulgaria dalam kategori dan tahun yang sama.

Menurut anak kelahiran Kedah itu, anugerah tersebut sekali gus telah mendorong beliau untuk memperbaiki serta meningkatkan kualiti produk tersebut.

Simplas telah berjaya dipatenkan di negara ini pada tahun 2005 dengan kelulusan Sirim Berhad.

Idea tersebut, kata beliau, tercetus ketika berkhidmat sebagai Inspektor Kesihatan.

"Pada masa itu, saya melihat banyak premis makanan yang diperiksa menghadapi masalah yang sama iaitu tidak mempunyai kaedah sistematik untuk menguruskan sisa makanan mereka.

''Dari situ, saya menjalankan pelbagai kajian termasuk uji kaji dalam usaha membangunkan produk ini sebelum ia dapat dipatenkan seterusnya digunakan secara komersial di negara ini," katanya yang juga Pengarah Urusan, Kitaran Potensi Sdn. Bhd.

Katanya, antara objektif utama penghasilan produk berkenaan bertujuan membantu khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani masalah pencemaran terutamanya di kalangan pengusaha makanan.

''Kerjasama antara pihak PBT ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat memenuhi hasrat pentadbir bandar dan daerah di setiap negeri ini untuk mengatasi masalah pencemaran air di saliran longkang dan parit.

''Malah diyakini dapat merealisasikan seruan kerajaan yang menitik beratkan isu penjagaan dan pemuliharaan sungai, pada masa sama produk ini juga seiring dengan laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke arah penggunaan teknologi hijau di negara ini," ujarnya.

Tambah Md. Nayan, sehingga kini, hampir 2,500 premis makanan di seluruh negara termasuk pengusaha makanan yang bernaung di bawah agensi kerajaan telah mengaplikasikan produk Simplas sejak 2005.

''Permintaan terhadap produk ini semakin bertambah, lebih-lebih lagi apabila mereka (pengusaha makanan) melihat sendiri keberkesanan Simplas yang berupaya menguruskan sisa makanan secara efektif dan efisien.

''Kita telah memasang produk ini di 2,500 premis makanan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kecuali di Kelantan'' jelasnya.

Md. Nayan berkata, produknya itu juga mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggiat industri makanan setelah beberapa PBT seperti di Johor dan Selangor menguatkuasakan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

''Pindaan rang undang-undang akta tersebut iaitu peraturan-peraturan Akta Kualiti Alam Sekeliling 2009 yang telah dikuatkuasakan di negeri berkenaan, mewajibkan setiap premis makanan memasang alat perangkap minyak.

''Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menyebabkan lesen perniagaan tidak boleh diperbaharui selain boleh berhadapan dengan tindakan kompaun sebanyak RM250," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: