Monday, May 9, 2011

Kebun rempah di laman sekolah


para pelajar turut terbabit memastikan landskap berasaskan sayur dan herba di smk chepir diuruskan dengan baik.


SEBAIK memasuki kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chepir, Sik, Kedah deretan pasu yang menghiasi kawasan pasti menarik perhatian sesiapa sahaja.

Deretan pasu itu agak istimewa kerana ia dipenuhi bunga kubis dan landskap menghijau dengan tumbuhan segar.

Kebiasaannya sudut kawasan sekolah dihiasi indah dengan bunga-bungaan pelbagai warna sebaliknya warga kerja sekolah ini menjanjikan kelainan dalam menjaga kebersihan dan keindahan kawasan sekolahnya.

Buah tomato, terung dan bendi bergantungan hasil kerja kuat pihak sekolah cukup membanggakan manakala sayuran kubis, bayam dan beberapa sayuran lain sudah mampu dipetik membuatkan hati yang melihat menjadi semakin tertarik.

Itulah sedikit gambaran untuk tatapan pembaca terutama mereka yang mempunyai minat terhadap berkebun.

Sekolah Menengah itu ada kelainan tersendiri yang cuba dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah berasrama ini dalam menjadikan kawasan sekolah tidak hambar dan membosankan.

Gabungan tanaman ulam-ulaman, sayuran sayurandan herba menjadi fokus kepada menggalakkan semua guru, pelajar dan warga kerjanya terus menjadikan sekolah ini lebih ceria dan mempunyai imej tersendiri.

''Kami mahu jadikan sekolah ini indah dan segar dan memberikan banyak manfaat bukan sahaja kepada guru malah pelajar,'' kata Zahara Ismail, Pengetua SMK Chepir.

Menurutnya, mata pelajaran elektif menengah atas, Sains Pertanian, MPV-Lanskap dan Nurseri akan menjadi lebih bermakna apabila guru mengajar pelajar menerima dan melihat sendiri pembelajaran itu di hadapan mata mereka.

Lantaran kebun kebun dapur yang diwujudkan ini memberi pengertian yang lebih bermakna dalam menggalakkan kecintaan kepada sesiapa sahaja untuk menjadikan kawasan tanah dihargai dengan memaksimumkan penggunaanya dengan tanaman berfaedah.

Menurut Zahara, idea menghidupkan suasana sekolah dengan landskap atau taman yang boleh dimanfaatkan itu menggalakkan guru dan pelajar dengan menanam tanaman berfaedah untuk diri bukan sahaja hanya untuk dilihat cantik dan tontonan sahaja.

Cabang aktiviti landskap itu menggabungkan tanaman ulaman, sayuran, herba dan lain-lain untuk membentuk sebuah taman yang indah dan menarik.

Katanya, di SMK Chepir kebun dapur itu dibina sejak beberapa tahun lalu selaras dengan pembelajaran pelajarnya yang turut tertumpu kepada mata pelajaran berasaskan pertanian.

''Secara tidak langsung pembelajaran dapat dihayati bagi membantu pelajar dalam menimbulkan suasana ceria dan kondusif di persekitaran sekolah," katanya kepada Mega baru-baru ini.

Zahara menambah, fokus untuk mewujudkan sudut taman khas itu adalah kelangsungan dari pelawaan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah untuk sekolah ini menyertai pertandingan taman dapur atau kitchen garden kategori sekolah menengah.

Hasil pelawaan dan penyertaan sekolah itui maka terbentuklah sebuah kawasan taman dapur yang menarik bertemakan dari laman dapur bonda diambil sempena merujuk kepada panggilan mesra semua warga SMK Chepir kepada Zahara sebagai bonda.

Walaupun penyertaan pertama mendapat tempat kedua, ia telah membuka minat yang cukup mendalam kepada warga sekolah berkenaan bekerja kuat untuk terus berusaha dalam mempertingkatkan keupayaan dan menanam minat di kalangan pelajar dan guru.

Sudut kebun dapur itu dilatari dengan lebih 60 jenis tanaman yang terdiri dari sayuran, herba, ulaman dan lain-lain lagi.

Antara tanaman ialah stevia, bayam, serai, lengkuas, buluh madu, kangkung dan yang paling menyerlah adalah tanaman kubis yang mengeluarkan hasil yang baik.

Di bahagian belakang bangunan utama satu kawasan milik sekolah telah dijadikan kawasan tanaman nanas menunjukkan pihak pengurusan sekolah telah memanfaatkan kawasan yang ada untuk kebaikan bersama.

Menariknya, pihak sekolah turut menyediakan sudut maklumat mengenai tanaman yang terdapat di kawasan landskap bagi membolehkan pelajar atau sesiapa sahaja mengetahui lebih dekat khasiat atau kebaikan sesuatu tanaman.

Kesungguhan meletakkan nama sains dan tradisional pada tumbuhan yang terdapat di situ membuktikan pihak berkenaan amat menitikberatkan projek ini tidak terbiar.

Idea menarik itu lebih bermakna dan perlu dicontohi oleh semua pihak apabila pengurusan skolah ini akan menjadikan tanaman kobis sebagai hadiah kepada tetamu rasmi yang berkunjung ke sekolah ini.

''Kami jadikan kubis sebagai ole-ole untuk dibawa pulang oleh setiap pelawat rasmi yang hadir ke sekolah ini," kata Zahara.

Bagi guru sains pertanian dan aliran MPV-Lanskap, Zunaizah Ahmad untuk melaksanakan sudut kebun dapur itu memerlukan komitmen yang tinggi dan kerjasama semua pihak.

''Kaedah yang kami gunakan sesiapa sahaja warga SMK Chepir yang mendapat tumbuhan baharu akan dibawa balik ke sini untuk ditanam atau dicambah, supaya diperbanyakkan variasinya," ujarnya.

Guru Kanan Teknik dan Vokasional, Nor Zaidi Nordin pula berkata, dengan adanya taman atau kebun dapur ini menjadikan pelajar lebih banyak mengetahui tanaman yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.

Katanya, kesedaran sudah mulai timbul di kalangan pelajar yang sudah bersedia dan mengambil peluang belajar.

Kini sudut taman dapur ini telah menjadi satu mercu atau sudut pandang utama oleh setiap pelawat yang hadir ke SMK Chepir.

Penat lelah menghasilkan idea terbaik ini mencetuskan satu perasaan sayang pelajar kepada suasana sekolah yang damai dan cantik.

Sekalipun kedudukan sekolah ini agak jauh dari pusat bandar namun sikap terpuji ini wajar diberikan tahniah buat semua warga SMK Chepir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: