Saturday, May 28, 2011

Avy jaga nama baik keluarga


Avy


TINGGAL berjauhan dengan keluarga yang berada di Sabah, tidak menjadikan Fadzilah Nasir, 24, berasa bebas apatah lagi mengambil kesempatan untuk melakukan apa sahaja.

Sebaliknya, faktor kejauhan itu membuatkannya lebih berhati-hati termasuk menjaga batasan pergaulan sebagai gadis Melayu yang kaya dengan adab dan tata susila ketimuran.

Demi ibu bapa yang sentiasa mengharapkan kebaikan, Fadzilah yang kini bertugas sebagai Editor Undang-Undang dengan sebuah syarikat penerbitan jurnal perundangan antarabangsa menyematkan azam untuk meningkatkan lagi kerjayanya agar dapat menjadi kebanggaan keluarga.

Anak kelahiran Kota Kinabalu yang meraih kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan dari Management and Science University (MSU) itu sentiasa tidak lupa segala pesanan yang telah dititipkan oleh bapanya, Nasir Ahid, 49, sebelum melangkah masuk ke kota metropolitan, Kuala Lumpur.

''Hidup di ibu kota memang banyak cabaran duniawi, apatah lagi saya datang ke sini sebatang kara dengan ibu bapa berada jauh di Sabah," katanya.

Baginya, sebagai seorang gadis Melayu, dia perlu terus menjaga kesopanan diri dan tidak perlu terikut-ikut dengan apa yang menjadi ikutan segelintir anak muda yang kian ramai terpengaruh dengan gaya hidup bebas.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik yang mesra dipanggil Avy itu berkata, dia adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya sekali gus menuntutnya benar-benar bertanggungjawab untuk menjaga maruah serta nama baik keluarga.

Gadis berperwatakan ceria itu lebih gemar memenuhi masa lapangnya dengan membaca dan tidak suka membuang masa terlibat dengan aktiviti tidak sihat.

"Ayah sering berpesan kepada saya, hanya dengan membaca kita menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan tinggi.

''Sejak dari kecil lagi ayah sering berpesan, ilmu adalah aset yang paling penting dalam hidup kita, tanpa ilmu maknanya seseorang itu akan menjadi serba kekurangan," katanya.

Avy berkata, dalam hidupnya, dia menjadikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai idola untuk berjaya dalam kehidupan.

Baginya, ketokohan yang dimiliki oleh Dr. Mahathir manakala Dr. Siti Hasmah yang menjadi pendamping setia negarawan itu sungguh mengkagumkan dan wajar dijadikan contoh tauladan buat generasi muda sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: