|
|
DIA tidak sabar untuk memulakan penggambaran filem terbaru arahan Datuk Paduka Suhaimi Baba berjudul Putera Negara. Itulah perkara pertama yang diluahkan pelakon Linda Hashim.
Sedang gigih menjalani kelas lakonan bawah bimbingan Fatimah Abu Bakar dan pengarahnya sendiri selama sebulan, Linda, 29, meneliti jalan cerita dan skrip yang dipersembahkan dengan hati terkuak lebar.
Dalam filem Putera Negara, Linda memegang watak sebagai isteri kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman iaitu Allahyarham Toh Puan Norashikin Mohd. Seth.
Semestinya, dia harus melakukan banyak rujukan terutamanya dalam menghayati peribadi wanita yang hidupnya penuh protokol.
“Watak itu memang mencabar. Saya perlu berhati-hati memandangkan watak yang diberi bukannya sembarangan. Kalau tiada aral, penggambaran filem ini akan bermula Jun nanti,” ceritanya bersulam gembira.
JULING
Juling satu watak menarik lakonan saya dalam drama Fatimah Juling The Series. Sebenarnya agak menyakitkan dan penat menjulingkan mata dalam tempoh yang agak lama. Lagipun saya kena menjulingkan mata tanpa menggunakan kesan khas atau kanta lekap untuk menampakkan mata itu juling. Seksa juga tapi seronok.
TAKUT BUTA
Secara realiti, saya terharu apabila memikirkan nasib individu yang berdepan kecacatan penglihatan atau buta. Ada orang buta yang masih mampu melaksanakan tugas atau mencari rezeki halal, itu satu perkara yang mengagumkan kerana dunia mereka gelap. Saya sendiri takut gelap.
UMRAH
Rancangan menunaikan umrah bersama keluarga dah lama dibuat. Pada hari ini saya akan berangkat ke Mekah dan berada di sana selama dua minggu. Keinginan untuk ke Tanah Suci itu sudah lama diimpikan apatah lagi dapat beribadah bersama nenek, ibu dan ayah.
KAHWIN
Jujurnya saya belum bersedia ke arah itu. Saya masih gagah mencari rezeki dan meraih peluang berlakon. Jika diberi pilihan, saya cepat jatuh hati kepada jejaka yang pandai bermain gitar dan fasih berbahasa asing.
POPULAR
Nasib baik orang tidak kenal saya dengan kontroversi sebaliknya menerusi bakat. Lebih teruja apabila ada sebilangan peminat yang masih ingat lakonan saya dalam drama Cinta Villa Daddy dan Semarak Naga sekitar tahun 2002.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: