Saturday, May 7, 2011

Misi perkukuh Islam di Kemboja


Budiman Mohd. Zohdi (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan ubat cacing dan pil vitamin kepada wakil penduduk Kampung Chrang Chamreh, Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.


MASYARAKAT Islam Kemboja sememang tidak asing bagi rakyat Malaysia. Saban tahun pelbagai program dirancang dan dilaksanakan di negara itu terutama yang membabitkan hal berkaitan agama dan misi kemanusiaan.

Komuniti Islam di negara itu yang dikenali sebagai orang Champa sebenarnya telah bertapak di Kemboja sejak sekian lama.

Pergolakan, perang saudara, penjajahan dan ketidakstabilan politik menyebabkan ramai daripada mereka menjadi pelarian termasuk ke Malaysia.

Sekitar tahun 1975 jumlah penduduk beragama Islam di Kemboja ialah sekitar 150,000 ke 200,000. Tetapi ketika di bawah pemerintahan rejim Khmer Rouge ramai daripada mereka dibunuh bersama-sama dengan lebih satu juga penduduk negara itu.

Kini masyarakat Islam Kemboja kembali berkembang. Jumlah mereka meningkat kepada 500,000 daripada keseluruhan kira-kira 15 juta penduduk Kemboja.

Majoriti daripada masyarakat Islam di negara itu adalah etnik Melayu Champa.

Selain menggunakan bahasa Khmer yang merupakan bahasa kebangsaan, pertuturan harian mereka turut menggunakan bahasa Melayu Champa.

Disebabkan mereka adalah golongan minoriti, ditambah pula dengan persekitaran politik di Kemboja yang kurang stabil, kehidupan masyarkat Islam di negara itu agak sukar.

Tetapi, itu tidak bermakna mereka hanya duduk diam tanpa berusaha. Melalui pertubuhan bukan kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Belia Muslim Kemboja (YPBMK) usaha dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan status ekonomi supaya mereka menjadi komuniti minoriti yang dihormati.

Pada masa sama mereka turut mengharapkan sumbangan dan kerjsama terutama dari rakan-rakan seagama di Malaysia.

Menyedari keperluan untuk membantu masyarakat Islam di negara itu, Majlis Belia Selangor (MBS) Daerah Sabak Bernam baru-baru ini telah menganjurkan Misi Kemanusiaan di Kampung Phrang Chamreh, Phnom Penh, Kemboja.

Misi tiga hari MBS Sabak Bernam itu sedikit berbeza kerana mereka lebih menumpukan kepada pemberian ubat-ubatan dan vitamin.

Pengerusi MBS Sabak Bernam, Budiman Mohd. Zohdi berkata, pihaknya telah mengedarkan 250 kotak ubat cacing yang disumbangkan oleh CCM Pharmaceutical Sdn. Bhd. kepada kanak-kanak di kampung tersebut.

Turut diedarkan ialah multi vitamin untuk kegunaan mereka.

Kampung Phrang Chamreh yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari bandar raya Phnom Penh antara perkampungan Islam yang paling hampir dengan ibu negara itu.

Dengan jumlah penduduk kira-kira 300 orang, kampung itu mempunyai sebuah madrasah dan dua buah sekolah agama.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani, nelayan dan tukang besi selain menjadi tukang sembelih bagi membekalkan daging halal di sekitar Phnom Penh.

Perkampungan itu terletak tidak jauh daripada laluan utama yang menghubung Phnom Penh dengan wilayah-wilayah lain.

Susun letaknya lebih mirip kepada perkampungan Melayu tradisional era 1960-an dan 1970-an dengan kebanyakan rumah jenis rumah panggung.

Namun terdapat juga rumah-rumah batu yang baru didirikan yang mencerminkan status ekonomi mereka semakin meningkat.

Sebaik memasuki jalan ke kampung Chrang Chamreh, jelas kelihatan kehidupan komuniti Islamnya dengan anak-anak perempuan lengkap berbaju kurung dan bertudung, sementara yang lelaki pula berkopiah.

Ketibaan rombongan MBS Sabak Bernam yang seramai 15 orang itu di sambut dengan penuh kegembiraan dan semangat persaudaraan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Surau Kampung Phrang Chamreh, Ismail Musa, mereka amat mengharapkan bantuan seperti itu bagi menampung apa juga kekurangan yang terdapat di kampung mereka.

"Kami ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa prihatin akan nasib kami dan sudi memberikan pelbagai sumbangan," katanya.

Yang penting bagi masyarakat Islam di Kemboja ialah mereka dapat memastikan pendidikan dan ajaran agama dapat diajar kepada generasi seterusnya.

Sehubungan itu kata Budiman, pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak misi kemanusiaan bagi membantu masyarakat Islam di Kemboja.

Program kali ini katanya turut mendapat sokongan Majlis Belia Asia dan Persatuan Persahabatan Belia Malaysia-Kemboja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: