BERBEZA lokasi namun para pencinta dua kumpulan rock, Wings melabuhkan sayap di Istana Budaya manakala sarang Spider menjengah kepanasan Hard Rock Cafe, Pulau Pinang pada minggu lalu.
Dua grup yang sememangnya sentiasa dirindui para peminat rock tanah air.
Lagu-lagu mereka adalah bahan penakluk dan sentiasa membuktikan idea dan falsafah bermuzik anak tempatan wajar mendapat perhatian ramai.
Wings pukau ribuan penonton
Melihat kepada penjualan tiket dan keterujaan para peminat Konsert Opera Hidup Wings di Istana Budaya, sudah nampak jelas bahawa konsert sebegitu sangat dinanti-nantikan. Berbekalkan lagu-lagu lama, itu adalah pengubat kerinduan yang bagi kebanyakan peminat yang kini berumur sekitar 40-an.
Bersama Superfriends yang diwakili 15 bintang rock tanah air, Wings yang dijana oleh Joe, Awie, Eddie dan Black bergerak secara muzikal dengan kumpulan istimewa itu. Mereka muncul dalam santai, relaks namun memberi impak yang bukan sedikit buat para penonton.
Kekemasan idea malah produksi ini mengalir dengan sendirinya. Hillary Ang, Joe Wings, Edrie Hashim dan Ujang duduk memetik gitar beriringan selaku pemuzik tetap di barisan hadapan.
Dilengkapi dengan keluar masuk pemain bass, Eddie dan Yan Lefthanded serta Lola, Black dan Yazid di barisan dram, ini sebuah momen yang membikin sejarah sendiri dalam industri rock tanah air. Tidak dilupakan Kid Search, Rosli Mohalim dan Man Kidal selaku gitaris undangan.
Ditambah pula dengan pelengkap melodi rancak atau menusuk jiwa, Awie berdiri sepentas bersama antaranya Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Azlan Typewriter, Yantzen, Hattan dan Nash berpadu suara.
Kalau boleh dikalungkan terima kasih atas momen ‘ajaib’ ini, Wings patut menerima kalungan tersebut. Ini kebangkitan rock di atas sebuah pentas berbeza.
Momen anak-anak seni berjiwa rock berdiri sebaris di atas satu pentas serta pemberian repertoire lagu yang cukup keras berjaya membuatkan penonton terhipnotis.
Beralih petang ke malam, keterujaan dan tenaga masih sama. Wings dalam balutan orkestra di bawah payung Orkestra Simfoni Kebangsaan, siapa yang mahu melepas peluang menonton saat itu.
Dua undang-undang berbeza disatukan dalam kemasan yang cantik. Ada komentar-komentar yang kagum dengan usaha ini seraya menyatakan seakan-akan mereka mendengar sebuah album runut bunyi lantaran penyatuan dua tenaga yang membikin rockestra. Bak kata slanga orang muda, konsert ini gempak! Spetakular!
Awie, Mel dan Mus bergabung kelunakan dan keajaiban suara mereka. Masih berbisa, memukau dan membuatkan khalayak menyanyi beriringan. Begitu juga dengan kesepaduan Jojet dan Black yang mengetuk dram, mengagumkan.
Joe Wings yang muncul pembuka acara dengan petikan gitar Gibson hitamnya, memakai baju dengan topi seolah-olah sudah memberi sihir awal buat penonton.
Dia selaku Pengarah Muzik memberikan tugasan cemerlang dalam mengawal setiap pergerakan bunyi. Mata dan telinganya mendengar dan mengarah pada satu tujuan, kelancaran rockestra ini berjalan licin.
Disiplin rock dan orkestra berpadu cantik mengalir memberi satu sejarah. Wings meletak nilai tersendiri dalam panggung industri muzik Malaysia.
Satu lagi aspek yang patut diuar-uarkan adalah hasil kerja hiasan pentas di belakang dengan empat wajah anggota Wings dalam pelbagai ‘cuaca’ serta sistem lampu menambahkan seri dan eksklusif konsert itu berlangsung.
Anggerik Event, Bombbay Worldwide dan Red On Black selaku penaja berpadu meletakkan satu tanda aras sebuah konsert ke garis yang lebih tinggi untuk dicontohi.
Spider bikin panas
Grup dengan empat jentera - Tam, Aie, Tony dan Nafie kadang-kala tiada kedengaran, mereka senyap sunyi daripada sebarang cerita. Tiga tahun lalu, pusat hiburan Planet Hollywood Kuala Lumpur menjadi saksi kepada kehebatan Spider melantunkan lagu-lagu dalam album Bintang 12.
Diam-diam mereka seperti ubi, berisi. Mendapat pujian dan respons positif selepas muncul di Konsert Untukmu Loloq di Istana Budaya selama tiga hari, adrenalin Spider membuak lagi untuk membikin persembahan sendiri.
Seperti yang dirancang, Spider bergerak menuju utara membawa senjata mereka berupa muzik, lagu-lagu baru untuk diperdengarkan. Album KitaSatu menjadi buah tangan utama untuk diberi kepada para peminat yang menunggu selama bertahun hasil karya mereka.
Tarikh 28 April lalu, mereka melontarkan ritma dan lagu buat para peminat yang berkumpul di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang. Mempersembahkan halwa baru diselang seli dengan lagu-lagu hit mereka yang sentiasa menjadi bahan nyanyian ramai.
Berawal dengan persembahan pembuka oleh Yazer, aura rock itu sudah bergerak dalam udara pusat hiburan Hard Rock tersebut. Yazer muncul bersahaja namun matang dengan tiga lagu termasuk lagu ciptaannya bertajuk Spektakular.
Spider muncul membuahkan gemuruh apabila lagu-lagu baharu iaitu KitaSatu, Ajaib, Upacara Cinta, Bukan Salah Aku dan Rasakan Resapkan diberikan dengan penuh tenaga. Cukup untuk menyatakan bahawa Spider sudah berada di status tersendiri.
Tidak dilupakan lagu-lagu seperti Kasih Latifah, Laukku Cukup Masin, Bila Nak Saksi, Aladdin dan Rela Kupujuk dinyanyikan bersama-sama khalayak yang hadir.
Selain kemantapan muzik yang dipersembahkan Spider, satu hal yang menarik tentang vokalis grup ini, Tam adalah kemampuan dirinya menyanyi dengan laju.
Lagu-lagu Spider dengan bait yang panjang dinyanyikan dengan lancar tanpa tergelincir. Tidak ada istilah lupa lirik buat Tam apabila melihat persembahannya.
Dia yakin dalam melantunkan setiap lirik dan pasti siapa sahaja pembuat lirik sama ada mereka sendiri atau arwah Loloq atau Budi Hikayat berbangga melihat kelancaran ini.
Satu hal yang wajar dipuji dan diberi perhatian oleh vokalis lain yang mungkin cepat tersasar dalam mengingati baris-baris manis lagu mereka sendiri.
Ujar Tam usai persembahan yang mendapat respons positif tersebut:
“Saya bersyukur apabila Spider diberi peluang untuk mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Hotel Hard Rock, Pulau Pinang. Malah berterima kasih dengan kesempatan yang diberikan. Harapan saya agar ada pihak tertentu makin memahami posisi sesebuah grup dalam industri dan tahu meletakkan mereka di tempat yang betul.
“Banyak perancangan yang dilakukan untuk Spider tetapi semuanya masih dalam perbincangan. Kami akan mengekalkan mutu persembahan dan hasil kerja. Ia bukan hanya untuk para peminat tapi untuk kepuasan kami juga,” tegas Tam mewakili Spider.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: