Sunday, May 8, 2011

Pemberontakan Avril




MELIHATKAN kulit album kali ini, ada faktor kematangan yang cuba diketengahkan Avril Lavigne. Kematangan ini menyerlah apabila dia sendiri menyatakan bahawa vokal merupakan instrumen paling penting dalam pengisian album yang mengambil masa dua setengah tahun untuk disiapkan.

Mengambil sedikit faktor sentimental untuk para peminat di Malaysia, Avril menulis lagu intro album, Black Star sewaktu dia berada di Malaysia pada 2008.

Lagu What The Hell seolah-olah memberi terjemahan kepada jiwa Avril yang sudah bebas. Awalnya dia memang pemberontak dan kali ini dia menyampaikan mesejnya melalui lagu setelah berpisah dengan Deryck Whibley.

Album yang mengandungi 13 buah lagu ini diterbitkan sendiri Avril bersama Butch Walker, Deryck Whibley, Max Martin dan Shellback. Ia turut memuatkan sebuah hidden track bertajuk Alice yang merupakan lagu tema filem Alice In Wonderland.

Penulis mengharapkan kematangan pada vokal Avril untuk album ini. Tapi realitinya dan faktor positif untuk Avril apabila vokalnya sentiasa muda. Seolah-olah dia masih di usia belasan tahun. Namun pemilihan dan penyusunan lagu menampakkan sisi matang tersebut.

Lagu Push enak diiringi gitar tetapi mengingatkan penulis kepada lagu Jagged Little Pill, nyanyian Alanis Morissette. Penulis gemarkan lagu Stop Standing There, lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Avril. Lagu ini kedengaran matang berbanding Smile yang mempunyai vokal latar yang sedikit keanak-anakan.

Lagu-lagu seperti I Love You, Everybody Hurts, Not Enough adalah sebuah penceritaan bersahaja yang mengena dengan jiwa-jiwa remaja. Mudah dicerna dan jadi lagu tema kehidupan para peminat Avril. Dia bercerita tentang jatuh cinta, putus cinta, sedang cuba bercinta dan kenangan. Seperti komentar Avril, album ini menyentuh kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: