|
|
MASIH setia pada yang satu, zaman berkasih-kasihan Fizz Fairuz bersama pelakon Almy Nadia belum pernah berakhir biarpun mereka sering dilingkari kontroversi. Aktor yang sedang meningkat naik itu mengakui, ibunya kerap bertanyakan soal jodoh tetapi dia menganggap jodohnya barangkali bagai tidak lari gunung dikejar.
Mengetepikan seketika kisah cintanya, lelaki kelahiran Raub, Pahang itu sedang ligat memusingkan karakter. Di kepalanya sudah bersusun judul filem dan karakter yang sedang menunggu. Sebaik sahaja berakhirnya drama bersiri Hotel Hasanah, dia akan bergegas ke lokasi Hantu Kapcai di bawah kendalian KRU Studio’s.
Sesudah itu, dua judul filem, Papadom 2 bersama Afdlin Shauki dan 5 Musibah arahan Adlin Aman Ramli sudah tertera dalam rutin lakonannya.
“Alhamdulillah selepas Nur Kasih The Movie, saya banyak beralih sisi, untuk filem, biasanya saya ditawarkan watak antagonis,” ujar Fizz yang cukup terkesan dengan karakter Aidil menerusi jenama Nur Kasih.
“Selama ini, saya selalu nampak bayangan Fizz Fairuz, nakal saya ada dalam setiap drama dan filem lakonan saya. Tapi watak Aidil, berbeza secara total,” katanya.
Lantaran impak ‘Aidil Nur Kasih,’ dia ditawarkan satu lagi watak pemuda warak dan budiman bernama Omar untuk dijayakan dalam Hotel Hasanah.
“Rujukan watak Omar adalah Aidil, tapi saya cuba bermain karakter yang baharu. Omar juga lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir tetapi Omar lebih tegas, lantang dengan prinsip dan lebih berjiwa korporat berbanding Aidil.
“Saya tak boleh teruskan Aidil kerana itu jenama Nur Kasih,” katanya yang menangis sepanjang menyaksikan pratonton filem lakonan bersama Tiz Zaqyah dan Remy Ishak itu, Rabu lalu.
Menanyakan Fizz tentang kenakalan hakikinya, dia mengakui nakalnya hanya dalam bab keluar melepak dan gemar berjenaka.
“Itu sahaja nakal saya. Orang kata saya jenis yang nakal khususnya dalam bab perempuan tapi saya hanya bergurau. Sebab itulah saya suka berkawan, bila dah lama kawan baru kita tahu skala gurauan yang boleh saya kongsikan dengan mana-mana kawan saya.
“Orang yang tidak kenal saya memang mudah salah tafsir,” katanya yang hanya menyimpan satu memori zaman nakalnya pada zaman remaja.
Dia bukan jenis remaja nakal tetapi ‘anak bapak’ selalu berkepit ke mana sahaja bapanya melangkah.
“Cuma, saya pernah pandu kereta kesayangan arwah bapa saya. Masa itu saya baru tingkatan dua, malangnya kawan saya sudah pandu kereta itu dan terlanggar rumah orang.
“Bahagian depan kereta remuk, tapi bapa tak marah saya sebaliknya dia menangis depan mak di dalam bilik. Katanya, dia kumpul duit bertahun-tahun nak beli kereta itu. Sedih sangat. Rasanya itu sahaja nakal paling dahsyat yang pernah saya buat.
“Seperkara lagi, saya pernah sebutkan nombor telefon seorang krew produksi dalam satu dialog drama Nur Kasih, kononnya itu nombor telefon saya, dan sebutan nombor itu ada semasa babak berkenaan ditayangkan.
“Akibatnya, beratus SMS masuk, ada yang mengajak saya kahwin dan minta nak jodoh saya dengan gadis pilihan masing-masing. Kelakar sangat.”
Berbalik kepada lakonan, selain Nur Kasih The Movie yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 19 Mei nanti, variasi watak Fizz lakonan di sisi Fathia, Balqis, Datuk Ahmad Tarmimi Saregar, Rosnah Johari, Afique Didi dan Azhan Rani itu dapat disaksikan setiap Rabu, Khamis dan Jumaat pukul 8.30 malam di saluran TV Al-Hijrah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: