Tuesday, May 10, 2011

Puterawaja tekad cipta kejutan


PUTERAWAJA bertekad untuk mencipta kejutan pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo!.


JOHOR BAHRU - Penampilan sulung pasukan Puterawaja bawah 12 tahun pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! tahun ini bukan untuk makan angin.

Ia terbukti apabila pasukan Puterawaja yang ditubuhkan tiga tahun lalu semakin matang hasil pengalaman bertanding pada beberapa kejohanan futsal tempatan.

Pengurus pasukan, Zulaika Zairul Albar , 20, berkata, anak buahnya telah menunjukkan aksi yang meyakinkan dalam beberapa pertandingan sebelum ini termasuk berjaya menduduki tangga kedua pada Liga Super Futsal Kementerian Belia dan Sukan tahun ini.

Selain itu, katanya, hasil latihan dan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman pada setiap hujung minggu telah meningkatkan keyakinan, kemahiran dan taktikal pasukan.

"Pemain yang terpilih juga bukan calang-calang kerana pemilihan dibuat daripada semua sekolah di sekitar Johor Bahru dan hanya yang terbaik diambil," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Lebih menarik, katanya, pasukan tersebut dibentuk menggunakan peruntukan sendiri dan ia bertujuan melahirkan bakat-bakat bola sepak di negara ini.

Pada sesi latihan setiap minggu, Zulaika berkata, ia dikendalikan oleh jurulatih Johor FC, Shahril Nizam Khalil dan bekas pemain Johor dan Melaka, Musa Talib.

Jelasnya, antara yang ditekankan semasa latihan adalah kecergasan, kemahiran menguasai bola, taktikal dan persefahaman.

"Kejohanan ini bakal menjadi medan pendedahan yang berguna kepada pemain.

"Saya yakin mereka mampu menggegar jaring pasukan lawan sekali gus mencipta kejayaan pada penyertaan sulungnya," kata Zulaika.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: